Haiwan-haiwan dalam rajah ini mewakili Negara dalam Wilayah utara Semenanjung Tanah Melayu dan salah satunya merupakan lambang untuk Tambralingga. |
Tambralingga adalah sebuah lagi
kerajaan Melayu yang dipercayai muncul di Segenting
Kra sekitar abad ke-2 Masihi. Pada awal Kewujudan ianya hanya tercatat
dalam sebuah kitab tua Tamil iaitu Kitab
Niddesa dengan menyebut sebagai Tambralinggam
dalam bahasa Tamil yang bermaksud Lingga
Tembaga. Nama kerajaan ini tidak tercatat dalam mana-mana catatan China.
Jika diamati dari masa kewujudannya pada abad ke-2 Masihi, kerajaan ini wujud
sezaman dengan Kedah Tua dan Langkasuka, namun ia telah hilang dari
sejarah selama lebih kurang 8 abad.
Ia hanya muncul semula sekitar
tahun 1030 Masihi apabila ia disebut dalam sebuah inskripsi di India Selatan
iaitu Inskripsi Tanjore. Walau
bagaimanapun, H.G.Q. Wales berpendapat
bahawa kerajaan itu terus wujud dan mengambil alih kerajaan Pan-Pan sekitar tahun 635 Masihi, iaitu
setelah penghantaran utusan Pan-Pan yang terakhir ke China.
Dalam catatan Cina, negara ini
dikenali sebagai Tan-ma-ling. Catatan
terawal tentang negara ini diperoleh dalam Sung
Shih (Sejarah Sung). Sung Shih mencatatkan
bahawa rakyat kerajaan ini tinggal dalam rumah yang diperbuat daripada kayu.
Mereka menggunakan emas dan perak sebagai bahan tukaran untuk perdagangan. Ibu
kotanya tidak berbenteng dan rajanya apabila keluar akan menunggang gajah atau
kuda. Dikatakan juga negara ini menghasilkan cula badak, gading gajah,
logam perunggu (gangsa) dan Kayu
Brezile. Ia juga menghasilkan beberapa jenis ubat-ubatan. Pada tahun 1001
Masih, pemerintahnya Tou Su Chi telah mengirimkan utusan ke China.
Chu-fan-chi karangan Chau
Ju-kua (1225 Masihi) mencatatkan bahawa Tan-ma-ling
(Tambralingga) merupakan salah sebuah jajahan takluk San-fo-tsi (Suwarnabhumi)
dan ia telah diperintah oleh seorang Temenggung dari kerajaan itu. Di
katakan juga pada tahun 1196 Masihi, ia pernah mengirim utusan ke China.
Perkara ini menjelaskan bahawa ia telah bebas daripada kekuasaan Suwarnabhumi
masa itu kerana kerajaan China hanya menerima perwakilan daripada
kerajaan-kerajaan yang merdeka.
Daripada Tao i chih lio yang ditulis pada 1349 Masihi, diketahui bahawa Tan-ma-ling mempunyai pemerintahnya
sendiri. Ia menghasilkan timah yang bermutu tinggi, mutiara, kapur barus, kulit
penyu, sarang burung, kayu gaharu dan juga lilin lebah (lilin kuning). Melalui San tsai t’u hui 1607 Masihi pula
diketahui bahawa negara itu tidak mempunyai raja, hanya seorang ketua sahaja.
Satu lagi sumber yang mencatatkan
tentang kewujudan Tambralingga ialah sebuah inskripsi yang dikenali sebagai inskripsi Caiya (Grahi). Caiya
merupakan sebuah bandar kecil di pantai timur Segenting Kra. Ia didirikan di
kawasan sebuah kota yang lebih tua dikenali sebagai Grahi atau Kia-lo-hi oleh orang Cina. Inskripsi ini
merupakan inskripsi tempatan. Ada kemungkinan Caiya (Grahi) adalah bekas ibu
kota kerajaan Tambralingga. Inskripsi 1230 Masihi ini juga mencatatkan dengan
jelas yang Grahi sebagai wilayah Tambralingga.
Inskripsi Grahi juga mencatatkan
tentang seorang raja pemerintahnya bernama Chandrabhanu
yang bergelar Sri Dharmaraja, Yang
Dipertuan Tambralingga. Namun, jika
mengikut catatan Cina, Tao- i Chih-lioh yang
ditulis sekitar tahun 1340an mengatakan Tan-ma-ling
tidak mempunya raja, ia hanya diperintah oleh seorang ketua sahaja.
Merujuk kepada
satu catatan Cina, Lai Wai tai ta Tambralingga terkenal sebagai sebuah negara
yang menghasilkan minyak wangi yang terbaik dan tiada tandingannya. Ia juga
menghasilkan kayu gaharu yang paling wangi, lilin kuning dan getah kino. Menurut
Tao-i Chih-lioh yang ditulis sekitar
1340, Tambralingga terdiri daripada dataran yang luas dan menghasilkan lebihan
bijirin. Penduduknya, lelaki dan perempuan menyanggul rambut mereka dan memakai
pakaian yang terdiri daripada sehelai baju putih dan kain sarung hitam yang
diperbuat daripada kapas. Mereka menggunakan satin, sulaman atau sejumlah timah
sebagai mas kahwin. Orang disini memasak air laut untuk dijadikan garam dan
menapai sekoi untuk dijadikan minunman
keras. Di samping itu, negara ini juga menghasilkan timah bermutu
tinggi, mutiara, kapur barus, kulit penyu, burung enggang, kayu laka dana
gaharu.
Sebenarnya
tidak banyak maklumat tentang Tambralingga ini yang merujuk kepada aspek
pemerintahan, namun dalam satu Inskripsi Kemboja ada mencatatkan bahawa ada
seorang putera daripada kerajaan Tambralingga yang bernama Suryawarman telah diangkat menjadi pemerintah Angkor pada tahun
1010 Masihi setelah merampas kuasa daripada raja sebelumnya Udayadityawarman I pada tahun 1002
Masihi. Beliau digelar sebagai Suryawarman
1 (1002 – 1050 Masihi).
Walaupun
perwakilan pertama kerajaan Tambralingga ke China dikirimkan pada tahun 1196
Masihi, akan tetapi Tambralingga hanya jelas telah dapat memerdekakan diri
daripada Suwarnabhumi (San-fo-tsi)
sekitar tahun 1230 Masihi. Pemeberontakan Tambralingga kepada Suwarnabhumi ini
telah dipimpin oleh Chandrabhanu. Inskripsi
Caiya mencatatkan tentang usaha Chandrabhanu meluaskan tanah jajahannya.
Mengikut Slamet Muljana mengandaikan
bahawa di bawah pemerintahan Chandrabhanu, kerajaan Tambralingga telah menjadi
sebuah kerajaan yang terkemuka di Asia Tenggara dan menjadi saingan kepada
kerajaan Suwarnabhumi. Pada tahun
1247 Masihi dan 1271 Masihi, Chandrabhanu telah melancarkan serangan ke atas Sri Lanka tetapi gagal menawannya. Kitab
Culawangsa mengesahkan secara
terperinci kedua-dua serangan ini.
Kita tidak
tahu bilakah sebenarnya kerajaan ini hilang terus dari sejarah kerana pada adab
ke-17 Masihi, ia masih disebut dalam catatan Cina, San tsai t’u hui. Namun, nampaknya kerajaan itu sudah begitu mundur
ketika itu kerana ia tidak beraja lagi sedangkan semenjak abad ke-11 Masih
hingga abad ke-13 Masihi diketahui ianya mempunyai raja dan kekuasaanya meluas
hingga meliputi seluruh utara semenanjung.