Kerajaan Langkasuka merupakan salah sebuah kerajaan Melayu tertua yang pernah wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Mengikut Liang-shu, sebuah catatan China, Langkasuka ditubuhkan pada abad ke-2 Masihi. Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan bahawa Kerajaan Langkasuka ini berkait rapat dengan Kerajaan Keda Tua (Kataha/Kadaram), malah ia merupakan dua kerajaan kembar yang menguasai sebahagian besar bahagian utara semenanjung Tanah Melayu dari Pantai Timur ke Pantai Baratnya. Hikayat Merong Mahawangsa mencatatkan bahawa kedudukan kota itu adalah di sekitar Gunung Jerai di Kedah hari ini.
Daripada kajian yang dijalankan oleh ahli sejarah kemudiannya, dakwaan Hikayat Merong Mahawangsa itu tidak dapat dipertahankan. Melalui catatan Arab dan China jelas menunjukkan bahawa kedudukan Langkasuka itu adalah di antara Singgora dengan Kelantan dan lebih tepat ia dikatakan berkedudukan di kawasan Patani sekarang ini.
Langkasuka ini dikenali dengan beberapa nama iaitu sebagai Lang-ya-shiu, Lang-hsi-chia dan Lang-chia-shu. Dalam catatan Arab, ia dikenali sebagai Langasyuka, manakala dalam inskripsi Tanjore, peninggalan raja Rajendra Cola I dari kerajaan Cola (India Selatan), ia dikenali sebagai Ilangasoka.
Semenjak dari penubuhannya, Langkasuka telah dikuasainya oleh kerajaan Funan sehinggalah ke separuh kedua abad ke-6 Masihi apabila ia dapat memerdekakan dirinya. Semasa ia dikuasai Funan, Langkasuka menjadi pelabuhan utama Funan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu yang mengendalikan perdagangan di antara China dan India. Di samping itu Langkasuka juga dikenali oleh pedagang-pedagang asing sebagai pengeluar gaharu dan kapur barus yang bermutu tinggi. Akan tetapi sekitar abad ke-9 Masihi kepentingan Langkasuka semakin merosot hingga Tang-shih (Sejarah Tang) tidak lagi menyebut apa-apa tentang Langkasuka.
Mengikut catatan China, pada abad ke-6 Masihi, iaitu selepas merdeka daripada Funan, Langkasuka telah mengirimkan empat utusan ke istana China. Ia terus menghantar utusan sepanjang abad ke-7 dan 8 Masihi. Langkasuka menjadi transit pendeta-pendeta Budha dari China untuk ke India. Mereka akan berjalan merentasi Semenanjung ke Kataha dari mana mereka akan belayar ke India.
Pada peringkat awal kewujudan kerajaan Langkasuka dan Kedah ini, kedua-duanya dipengaruhi oleh agama Budha Hinayana. Kemudiannya, Kedah telah dipengaruhi oleh agama Hindu, namun ia tidak berlaku di Langkasuka.
Setelah ditawan Sriwijaya, Langkasuka mula hilang fungsinya sebagai pelabuhan utama. Sejak abad ke-8Masihi, pelaut-pelaut Cina nampaknya lebih mengutamakan jalan laut disebelah pesisir timur Laut China Selatan, iaitu ke Brunei dan kemudiannya terus ke pelabuhan-pelabuhan Sriwijaya di Selat Sunda dan Selat Melaka. Di samping itu, mubaligh-mubaligh Budha enggan singgah di Langkasuka kerana perubahan kepercayaan di Kedah. Mereka lebih suka singgah di ibu kota Sriwijaya, Palembang kerana penduduknya beragama Budha.
Mengikut catatan Nagarakartagama, pada abad ke-14, Langkasuka telah ditawan oleh Majapahit. Di bawah kekuasaan Majapahit kedudukan Langkasuka semakin merosot hingga tidak ada lagi catatan tentangnya hingga ke abad 16 Masihi, apabila ia disebut sekali lagi oleh seorang pelaut Arab iaitu Sulaiman al-Masri dalam pelayarannya pada 1511 Masihi. Namun, orang Portugis di Melaka tidak pernah mengetahui tentang wujudnya Langkasuka pada masa itu. Yang mereka tahu hanyalah Patani.
Majapahit...??? Buke Langkasuka jatuh akibat selalu diserang bangsa siam??
ReplyDelete:) jangan terkeliru saudara... Inskripsi Nagarakartagama ada menyebutkan tentang penawanan Langkasuka... Di samping itu sila rujuk tentang Majapahit Barat... Namun, serangan Siam adalah salah satu punca kemerosotan Langkasuka. Pengaruh Siam mula menonjol apabila Langkasuka menukar nama kepada Patani.
ReplyDeleteSiam dan Thai masih perlu d perhalusi lagi kerna wangsa thai telah menghakmilikkan sejarah siam utk wangsa mrk
ReplyDeleteTahniah admin saya amat bersetuju dengan tulisan anda di atas tentang kewujudan Langkasuka yang merupakan warisan Melayu Patani/ Kelantan. Jangan layan yang mengarut dan tidak berpijak pada kenyataan
ReplyDelete