Salah Satu Ukiran Patung yang ada di Angkor |
Pada akhir abad ke-8 Masihi,
dikatakan kerajaan Jawa telah menyerang dan menawan Kemboja. Serangan ini
tidak dapat dipastikan dari arah mana sebenarnya. Sejarahwan berpendapat
Kemboja berkemungkinan diserang oleh Jawa
sebenar, atau Sriwijaya atau Tanah Melayu. Campa juga telah diserang pada
masa yang sama dan ianya berlaku pada 774 Masihi dan 787 Masihi. Mengikut
catatan Arab, kerajaan Kemboja telah diserang oleh Zabaq (Muara Sabak /
Sriwijaya) semasa pemerintahan rajanya yang bernama Mahipatiwarman kerana perbuatan raja itu menghina Maharaja
Sriwijaya. G Akan tetapi jelas disini bahawa tindakan Jawa atau Sriwijaya
menyerang Kemboja ini mengambil kesempatan kelemahan negara itu yang berada
dalam pemerintahan yang lemah pada abad ke-8 Masihi. Mengikut satu prasasti,
Kemboja ini dapat ditawan semasa pemerintahan Sanjaya.
Pembebasan Kemboja daripada
penaklukan Sriwijaya ini telah dilakukan oleh pemerintah Cenla Air yang bernama
Jayawarman II yang juga merupakan
pengasas kerajaan Angkor. Jayawarman II dikatakan berasal dari Sriwijaya namun
begitu, beliau masih mempunyai pertalian darah dengan kerajaan Cenla. Jayawarman
II adalah anak saudara Raja
Jayendradhiipatiwarman. Mengikut Coedes,
keluarga Jayawarman telah melarikan diri ke Jawa semasa berlakunya
kekacauan di Kemboja dan juga mungkin mereka telah ditawan oleh tentera Jawa
yang sering menyerang negara itu. Jayawarman II dikatakan kembali
ke Kemboja sekitar tahun 800 Masihi dan menaiki takhta pada 802 Masihi di
Indrapura dan beliau telah berusaha menyatukan kembali Kemboja@Cenla yang
ketika itu sudah berpecah belah.
Semasa pemerintahan Jayawarman II
ini, baginda telah melantik seorang Brahman bernama Sivakaiwalya menjadi penasihatnya. Dengan bantuan daripada Brahman
inilah akhirnya Jayawarman berjaya mewujudkan sebuah kuil Hindu (fahaman Siva) di Asia Tenggara, iaitu Dewaraja (Raja-Tuhan). Kultus ini
menumpukan kepada penyembahan lingga sebagai
peribadi suci raja yang diberikan Siva kepadanya. Kemakmuran Kemboja dianggap
bergantung kepada lingga itu. Ia didirikan
diatasa kemuncak gunung suci, sama ada gunung asli atau gunung buatan yang
didirikan di tengah-tengah ibu kota negara itu. Gunung ini dianggap sebagai
paksi alam sejagat. Konsep Gunung Suci ini mungkin diperkenalkan oleh
Jayawarman II daripada negara purba Funan dan juga mungkin dari Jawa kerana
beliau pernah berada di Jawa sebelum mejadi Raja Kemboja. Disamping itu
kedua-dua negara itu mengakui mempunyai raja-raja yang bergelar Sailendra
yang bermaksud Raja Gunung atau Raja
dari Gunung.
Berdasarkan inskripsi Sdok Kak Thom, Jayawarman II diiringi
oleh Sivakaiwalya kemudian telah memindahkan ibu kotanya ke bahagian utara Tonle Sap dan membina sebuah kota yang
dikenali sebagai Hariharalaya. Kemudian,
Jayawarman telah meninggalkan Hariharalaya dan membina Kota Amarendrapura setelah itu, Jayawarman
ini memerintah pula dari Mahendraparwata.
Di sini beliau telah menjemput seorang Brahman dari Janapada bernama Hiranyadama untuk mengangkat martabatnya
sebagai chakrawartin, (pemerintah
alam sejagat) dan membebaskan dirinya daripada bergantung kepada Jawa. Hiranyadama
telah mengadakan ritual (upacara) vinasikha
untuk menempatkan Jayawarman II sebagai “tuhan seluruh alam” (dewaraja). Beliau dikatakan telah
mengajar Sivakaiwalya cara-cara mengendalikan upcara-upacara suci vinasikha, nayottata, samoha dan siraocheda. Sivakaiwalya dan keluarganya
telah dipilih sebagai orang yang bertanggungjawab dalam pengendalian
penyembahan dewaraja ini. Orang lain
tidak dibenarkan dan Sivakaiwalya diangkat sebagai purohita (Ketua Sami@Penasihat).
Jayawarman II telah meninggal
dunia di Hariharalaya pada tahun 850 Masihi setelah memerintah selama 48 tahun.
Setelah kemangkatannya, beliau digelar Parameswara. Baginda telah digantikan
oleh puteranya iaitu Jayawardhana (850
– 857 Masihi) dengan gelaran Jayawarman
III. Setelah kemangkatakan Jayawarman III, baginda telah digantikan oleh Indrawarman pada tahun 877 Masihi.
Indrawarman bukanlah putera Jayawarman III tetapi putera seorang raja yang
kurang jelas latarbelakangnya yang dikenali sebagai Raja Prithivindrawarman.
Dalam pemerintahan Indrawarman,
usaha-usaha telah dijalankan untuk memajukan pertanian. Baginda telah membina
empangan bagi membentuk tasik-tasik tiruan yang airnya digunakan untuk
pertanian dalam musim kemarau. Pada tahun 879 Masihi, baginda memerintahkan
dibina sebuah menara yang diperbuat daripada bata di Preah Ko untuk memperingati bapa, ibu, datuk neneknya di sebelah
ibu Jayawarman II serta isterinya
(isteri Jayawarman II). Patung kedua yang terakhir ini disembah sebagai Siva
dan Dewi. Pada tahun 881 Masihi pula Indrawarman telah membina sebuah tugu yang
besar daripada batu untuk menempatkan lingga
diraja Indreswara. Setelah mangkatnya pada 889 Masihi, baginda digelar
Isvaraloka.
No comments:
Post a Comment