Monday, July 8, 2013

Funan: Pemerintahan dan sistem Politik Bahagian 2


Pengaruh India semakin mendalam

Pemerintah-pemerintah Funan juga terdiri daripada kalangan orang tempatan selain daripada Seorang Brahma dari India, Kaundinya dan keturunannya. Namun, pemerintahan daripada orang tempatan berkahir sekitar abad ke-5 Masihi, apabila penduduk-penduduk Funan menjemput seorang Brahmin dari P’an P’an menjadi raja mereka.

Sarjana sejarah berpendapat bahawa pada abad itu telah berlaku perbalahan antara puak-puak yang terdapat di Funan. Perbalahan ini menyebabkan telah berlaku kekacauan dan peperangan saudara. Ekoran dari masalah dalaman ini, ketua-ketua puak telah mejemput seorang pemimpin daripada P’an P’an yang juga bernama Kaundinya untuk mengamankan keadaan. Dalam perkara ini, para sarjana turut mengandaikan Raja P’an P’an merampas kuasa dan menjadi Raja Funan ekoran dari kelemahan pentadbiran Funan, terdapat juga sarjana sejarah membuat usul bahawa Raja P’an P’an itu juga dari kerabat Raja Funan dan sudah menjadi amalan kepada pemerintah Funan untuk menempatkan keturunan mereka sebagai pegawai di kawasan-kawasan mereka takluki. Apa pun andaian sekalipun, kekacauan antara puak di Funan telah mewujudkan satu Dinasti P’an P’an yang lebih keindiaan di Funan.

Dengan tertubuhnya Dinasti P’an P’an di Funan, didapati pengaruh budaya India semakin mendalam diamalkan. Sejak dari zaman ini, penggunaan bahasa Sanskrit semakin meluas sebagai bahasa rasmi. Takwim Saka India juga telah digunakan. Penyembahan terhadap dewa-dewi India juga mula jelas kelihatan terutama penyembahan linga-Siva dan Maheswara. Terdapat juga penyembahan terhadap lukisan-lukisan Lokeswara Bodhisattwa Mahayana dan Dewa Wisnu. Raja-Raja Funan juga mula menggunakan gelaran sanskrit iaitu warman pada nama-nama mereka.

Pengaruh India di Funan jelas dikembangkan oleh Dinasti P’an P’an, namun ianya berkembang sekitar kawasan P’an P’an yang terletak di Segenting Kra kerana di sini merupakan sebuah bandar pelabuhan entrepot yang merupakan tempat pertemuan pada pedagang dan saudagar-saudagar India dan para Brahmin. Ibu Kota Funan, Wijayapura yang terletak jauh ke pedalaman jarang-jarang dikunjungi saudagar India dan menyebabkan pengaruh India hanya tertumpu di kawasan-kawasan perdagangan antarabangsa sekitar utara Semenanjung itu sahaja. Perdagangan di antara pelabuhan tempatan dan China dijalankan oleh pedagang dan pelaut Melayu.

Sungguhpun hubungan Funan dengan India semakin rapat, ia masih menghantar utusan ke China yang ketika itu dibawah Dinasti Chin. Catatan Istana China tentang kerajaan baru Funan ini merekodkan telah mengirimkan utusannya pada 434 Masihi dan sekali lagi pada 484 Masihi.

Pengasas Dinasti P’an P’an ini tidak diketahui nama sebenarnya, namun ramai sejarawan seperti Coedes dan R.K. Hall menamakannya Kaundinya. Putera beliau kemudiannya telah mengambil alih kuasa dengan nama Jayawarman. Dalam zaman Jayawarman, Funan bangkit semula sebagai sebuah kuasa yang kuat sehingga kerajaan China telah menganugerahkan baginda dengan gelaran “Jeneral Penenteraman Selatan dan Raja Funan”.

Setelah kemangkatan Jayawarman berlaku perang saudara di Funan di mana putera sulungnya iaitu Gunawarman telah berjaya mengalahkan adiknya yang hanya dikenali oleh Fan Tang oleh orang Cina. Fan Tang telah melarikan diri ke Champa di mana beliau telah menubuhkan sebuah kerajaan yang dikenali Lin Yi. Mengikut Coedes, kebangkitan ini berlaku dalam zaman Jayawarman lagi dan Fan Tang bukanlah pengasas kerajaan Lin Yi. Fan Tang hanya meraja Lin Yi setelah kemangkatan rajanya yang bernama Chen-che’ng pada tahun 484 Masihi.

Untuk mengukuhkan kedudukannya dan untuk mengesahkan tuntutannya ke atas takhta Funan, pemerintah keturunan P’an P’an telah mewujudkan satu ciri baru yang dapat membezakan kedudukan raja-raja daripada pembesar-pembesar. Perkara ini dilakukan untuk mengelakkan rampasan kuasa daripada pembesar. Dengan ciri baru ini, sesiapa yang bukan dari keturunan raja tidak layak untuk menjadi raja. Perubahan-perubahan ini termasuk penggunaan lebih banyak kata-kata India, penyembahan dewa-dewi India, perwujudan birokrat Brahman telah menjadikan raja-raja Funan lebih istimewa daripada elit-elit lain. Organisasi baru ini bertujuan untuk mengelakkan perpecahan dan perebutan takhta yang merupakan ciri penting dalam era sebelumnya.

Sungguhpun pengindiaan pemerintahan ini berjaya dilaksanakan, ianya tidak menghalang dari wujudnya penentangan. Para elit lama berasa tidak puas hati dan telah menyertai Fan Tang dengan melarikan diri ke Lin Yi. Dari sini mereka menjadi kepada pengancam kepada kerajaan Funan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...