Thursday, July 4, 2013

FUNAN – Penubuhan dan Era Kegemilangannya

 Batu Bersurat Funan

Sekitar abad pertama masihi telah muncul negeri-negeri yang dikatakan mendapat pengaruh India, salah sebuah daripadanya yang terawal yang dikenali oleh orang Cina sebagai Funan atau B’iu-nam. Nama ini muncul dalam rekod-rekod Cina sekitar 220 – 280 Masihi dan ianya hilang pada abad ke-7 Masihi dan sarjana sejarah mengandaikan Funan hilang dari sejarah sekitar tahun 627 Masihi.

Funan dianggap sebagai negeri pertama yang menerima pengaruh India di Asia Tenggara, ia diperintah oleh raja-raja yang mempunyai nama-nama Sanskrit. Kewujudan negeri ini hanya ditemui melalui sumber-sumber Cina dan catatan-catatan pada prasasti yang ditinggalkannya. Di samping menggunakan nama-nama Sanskrit, raja-raja negeri ini juga menggelar diri mereka sebagai sailaraja atau Raja Gunung, bangsa Funan terdiri daripada suku kaum Melayu.

Pusat pemerintahannya terletak di bahagian hilir Sungai Mekong, akan tetapi kawasan pemerintahannya meliputi selatan Vietnam, lembah tengah Mekong, lembah Chao Praya dan Semenanjung Tanah Melayu. Funan mempunyai pelabuhan utamanya Oc-Eo terletak di pinggir Teluk Siam, manakala ibu kotanya Wijayaputra terletak lebih kurang 200KM dari laut berhampiran bukit Ba Phnom.

Maklumat awal tentang Funan diperoleh daripada tulisan perwakilan Cina yang melawat negara itu sekitar pertengahan abad ke-3 Masihi. Perwakilan tersebut terdiri daripada K’ang Tai dan Chu Ying. Laporan asal K’ang Tai telah hilang dan ianya telah dimuatkan dalam T’ai P’ing yu lan yang ditulis antara 977 – 983 Masihi menyatakan bahawa raja pertama Funan bernama Hun T’ien atau Sanskritnya Kaundinya, namun terdapat beberapa nama yang diberikan kepada raja ini dalam beberapa catatan Cina yang lain; dalam Chin Su menamakannya Houen-houei; dalam Nan Ch’i Shu namanya Houen-t’ien; dalam Liang Shu dia dipanggil Houen-t’ien; dalam T’ung Tien dia dinamakan Houen-houei. Catatan-catatan itu juga memberi nama yang berlainan bagi tempat asal Kaundinya. Dikatakan bahawa beliau telah datang dari India atau mungkin juga dari Tanah Melayu atau dari pulau-pulau di selatan.

Lagenda tempatan menjelaskan bahawa Kaundinya kemudian telah mengahwini pemerintah tempatan, seorang wanita yang dikenali sebagai Liu-Yeh (Daun Teratai). Pada masa itu, penduduk Funan dikatakan masih bertelanjang bogel. Dengan kedatangan Kaundinya barulah pendudukanya mula berpakaian. Namun, yang berpakaian selepas itu hanyalah orang perempuan. Orang lelakinya masih berbogel sehinggalah K’ang Tai, salah seorang wakil Cina yang melawat negara itu pada abad ke-3 Masihi antara tahun 245-250 Masihi berjaya memujuk pemerintahnya supaya memerintah orang lelakinya memakai kain.

Lagenda yang dicatatkan oleh orang Cina agak berbeza daripada lagenda yang dicatatkan pada sebuah inskripsi (prasasti) yang ditemui di Campa. Inskripsi itu mencatatkan bahawa seorang Brahmin bernama Kaundinya  telah melemparkan lembing beliau ke satu arah untuk menentukan letak Ibu Kota negeri yang akan dibinanya. Selepas itu beliau telah mengahwini seorang puteri tempatan di mana lembingnya itu terpacak. Puteri itu dikenali sebagai Soma anak kepada Raja Naga. Daripada keturunan merekalah Funan dan jajahan takluknya diperintah.

Terdapat sarjana sejarah mengatakan crita  daripada lagenda itu mungkin tidak pernah berlaku kerana elemen asas daripada lagenda itu juga terdapat dalam cerita rakyat di tempat-tempat lain di India dan Asia Tenggara. Lagenda ini merupakan satu kesatuan budaya tempatan dengan budaya India. Kaundinya dianggap mewakili elemen budaya dan agama India manakala puteri melambangkan kepercayaan dan cara hidup dan kesuburan tempatan. Perkahwinan itu bukan sahaja satu usaha untuk menerangkan tentang penerobosan budaya India ke Asia Tenggara tetapi juga asal usul raja-raja Asia Tenggara.

Sebelum kedatangan pengaruh India ke Funan, kedudukan wanita dalam masyarakat itu agak tinggi, malah mereka menerima pemerintahan seorang wanita. Perkara ini ditunjukkan dalam lagenda tentang bagaimana Liu-ye (Raja Perempuan Funan) memimpin satu angkatan pelaut-pelaut Melayu menyerang kapal-kapal pedagang yang melintasi kawasan mereka. Di samping itu pelaut-pelaut Cina yang belayar di kawasan ini juga berasa hairan kerana disini wanita yang memilih lelaki.

Setelah penubuhannya, kerajaan Funan berkembang dengan pesat di bawah pemerintahan Kaundinya. Ia berkembang daripada sebuah pangkalan lanun kepada sebuah negeri perdagangan laut antara bangsa yang terkemuka di Asia Tenggara. Kedudukan pelabuhan utamanya Oc-Eo yang bertentangan dengan Segenting Kra telah menjadikannya pelabuhan persinggahan utama bagi kapal yang belayar  dari pelabuhan-pelabuhan di sekitar Segenting Kra  ke China. Perlu diingat sekitar abad pertama hingga abad ke-4 Masihi, laluan perdagangan laut India-China adalah melalui Teluk Benggala  kemudian melalui jalan darat menyeberangi Segenting Kra ke Teluk Siam. Setelah itu, barang-barang ini akan diangkut oleh kapal-kapal Funan atau China ke pelabuhan-pelabuhan di tenggara China. Di sini kita dapat lihat pelabuhan Oc-Eo merupakan tempat pertemuan utama bagi pedagang-pedagang di mana barang-barang dagangan saudagar-saudagar asing itu dapat ditukarkan dengan aman.  Pemerintah-pemerintah Funan juga telah memainkan peranan penting memajukan perdagangan ini. Mereka telah memberi jaminan keselamatan kepada pedagang-pedagang yang singgah di pelabuhan-pelabuhan Funan.

Funan bukan sahaja sebuah negara yang menumpukan aspek maritim dalam ekonominya. Funan juga telah mencapai kemajuan dalam bidang pertanian dan ini ada dicatatkan oleh K’ang T’ai dengan melaporkan bahawa orang Funan menyemai sekali dan menuai tiga kali. Funan ketika itu dikatakan telah mempunyai sistem parit dan tali air yang sofistikated, di mana mereka dapat mengawal kelebihan air dan juga mengalirkan garam ke tanah-tanah pertanian. Sistem pengairan yang baik ini telah membolehkan Funan dapat mengeluarkan lebihan tanaman yang kemudiannya akan menampung golongan pedagang tempatan dan luar negeri yang kian bertambah dengan berkembangnya perdagangan antarabangsa pada masa itu.

Semasa zaman kegemilangan Funan, pemerintah-pemerintahnya memperoleh kekayaan melalui dua sumber iaitu daripada pelabuhan dan hasil bumi dari kegiatan pertanian. Kebanjiran pedagang di pelabuhan-pelabuhan Funan membolehkan pemerintahnya mengutip cukai dari kapal yang singgah dan menggunakan kemudahan yang terdapat di pelabuhan itu. Petani-petani Funan yang tekun juga telah menyumbangkan perkembangan ekonomi Funan pada waktu itu. Terbukti, Funan adalah negara yang makmur.

Kemakmuran Funan bukan sahaja dari hubungan perdagangan antara India dan China sahaja malah terdapat hubungan Funan dengan Empayar Rom. Perkara ini dibuktikan dari ekskavasi di tapak Oc-Eo dan penyelidik telah menemui barang-barang buatan Rom abad ke-2 Masihi hingga abad ke-4 Masihi yang terdiri daripada serpihan-serpihan kaca, syiling emas zaman Marcus Aurelius (161-180 Masihi) dan pingat emas Zaman Antonius Pius (152 Masihi). Selain itu Funan juga telah menghasilkan produk mereka sendiri yang dijadikan bahan eksport. Diantara barang yang diketahui wujud pada masa itu ialah manik-manik kaca dan lencana berukir yang diperbuat dari timah.
Marcus Aurelius

Antonius Pius


Orang Funan juga dikatakan telah pandai mengukir dan kepandaian ini adalah adaptasi dari kepandaian seni ukir dan seni bina agama-agama India. Jumpaan awal hasil seni ukir ini ialah dua buah patung Budha berdiri tegak yang diperbuat dari kayu. Kepandaian mengukir ini semakin maju sehinggalah abad ke-6 Masihi orang disini telah mampu mengukir patung-patung Wisnu dan Budha yang sungguh cantik dan halus ukirannya yang dibuat daripada batu. Keindahan ukiran orang Funan ini telah menarik perhatian bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga istana Cina. Dikatakan pada tahun 503 Masihi, pemerintah Funan telah mengirimkan sebuah patung Budha yang diperbuat daripada batu karang dan sebuah Stupa yang diperbuat daripada gading kepada Maharaja Cina. Arkitek-arkitek Funan juga telah mampu membina biara-biara dan candi yang diperbuat daripada batu dan bata di kawasan di mana tiada bukti batu untuk memudahkan memperoleh bahan itu.


Orang Funan juga adalah pembina kapal dan perahu yang handal. Mengikut catatan T’ai p’ing yu lan, perahu-perahu orang Funan ini pangjang-panjang dan boleh membawa sehingga 100 orang. Haluan dan buritannya berbentuk seperti kepala dan ekor ikan, dan setiap perahu itu dihiasi dengan perhiasan yang diperbuat daripada besi. Di samping itu, orang Funan juga mampu membina kapal-kapal besar bagi menyeberang lautan. Kapal-kapal itu dikatakan boleh mengangkut 600-700 orang penumpang dan anak kapal serta 1000 tan kargo. 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...