Binaan Candi di Phanrang (Pandurangga) kini didalam Vietnam |
Semasa pemerintahan Dinasti Song di China, raja-raja Campa seperti Jaya Indrawarman I dan Parameswarawarman begitu taat setia dan patuh kepada Kerajaan China itu. Diantara 960 – 979 Masihi, sebanyak 12 utusan telah dikirimkan menghadap Maharaja China.
Semasa pemerintahan
Parameswarawarman, telah berlaku pergeseran antara Campa dengan Kerajaan Dai Viet (Vietnam). Pada tahun 982 Masihi, pemerintah Dai Viet, Le Hoan telah menyerang Campa dan
membunuh Parameswarawarman serta menawan ibu kotanya, Indrapura. Penggantinya
iaitu Indrawarman IV telah cuba
untuk mendapatkan bantuan dari China pada tahun 985 Masihi tetapi gagal.
Setelah kemangkatan Indrawarman
IV, takhta telah dirampas oleh seorang bangsa Vietnam yang bernama Luu Ki-tong dan mengisytiharkan dirinya
sebagai Raja Campa pada 986 Masihi. Tindakan orang Vietnam ini telah
menimbulkan marah seluruh rakyat, akan tetapi mereka tidak sanggup melawan
orang Vietnam yang kuat dan ramai itu. Oleh kerana itu ramai rakyat Campa
berhijrah ke Hainan dan Canton di tenggara China. Penghijrahan
ini berlaku dalam masa tiga tahun iaitu pada tahun 986, 987 dan 988 Masihi.
Penghijrahan ini dipimpin oleh rakyat Campa yang beragama Islam. Penghijrahan
986 Masihi dipimpin oleh Pu Lo E, kumpulan migran 987 dipimpin pula
oleh Li Nian Bing dan kumpulan
mingran 988 pula diketuai oleh Hu Xuan.
Perkataan Hu Xuan dikenal pasti sebagai nama Islam iaitu Husain, manakala perkataan Pu
telah diterima umum sebagai ganti perkataan Arab yang bermaksud Abu. Berkemungkinan besar, pelarian-pelarian Campa
ini adalah orang Cam Islam yang mungkin dipaksa oleh Luu Ki-tong menukar agama
mereka menyebabkan mereka meninggalkan Campa.
Setelah Luu Ki Tong meninggal
pada 988 Masihi, orang Cam telah bangkit memberontak di bawah pimpinan seorang
yang dikenali sebagai Hariwarman II dan
beliau telah dirajakan di Wijayapura. Tidak lama kemudian baginda telah
memindahkan pusat pentadbiran ke Indrapura. Semasa pemerintahan Hariwarman II
ini, Campa sering diancam oleh pihak Vietnam. Oleh itu pasda masa pemerintah
berikutnya yang hanya dikenali sebagai Yang
Pu Ku Wijaya Sri, pusat pemerintahannya kembali ke Wijayapura di selatan.
Yang Pu Ku Wijaya Sri ini telah
digantikan oleh seorang yang dikenali sebagai Hariwarman III pada tahun 1009 Masihi. Baginda hanya sempat
memerintah selama 10 tahun. Dalam masa pemerintahan penggantinya yang dikenali
sebagai Parameswarawarman II sekali
lagi orang Campa dikalahkan oleh pihak Vietnam pada 1026 Masihi. Pada tahun
1044 Masihi tentera Dai Viet sekali lagi menyerang Campa dan kali ini
memusnahkan ibu kotanya, Wijayapura. Pemerintah Campa pada waktu itu, Jaya Simhawarman II telah dikenakan
hukuman pancung.
Penggantinya adalah seorang daripada
panglima Campa yang dikenali sebagai Jaya
Parameswarawarman I. Salah sebuah prasasti yang ditinggalkannnya menyatakan
bahawa baginda tidak diterima oleh penduduk Pandurangga (Phan-rang) sebagai
raja mereka. Hal ini berlaku kerana penduduk Pandurangga ketika itu sudah
beragama Islam dan mereka menolak seorang Raja yang beragama Hindu. Berpunca
dari penolakan ini Jaya Parameswarawarman I telah menyerang penduduk
Pandurangga yang beragama Islam dan menawan mereka pada tahun 1050 Masihi. Sebagai
simbol kemenangan ini, Jaya Parameswarawarman telah mendirikan sebuah lingga di atas bukit Po Klaung Garai
yang berhampiran dan menegakkan tugu kemenangan. Baginda juga telah menjalinkan
perhubungan berbaik-baik dengan pihak Dai Viet dan China. Campa telah mengirimkan
utusan ke China pada tahun 1050, 1053 dan 1056 Masihi.
Bersambung : Bahagian 4
No comments:
Post a Comment