Thursday, July 11, 2013

CAMPA : Bahagian 1

Bunga Kemboja asas kepada Campa


PENDAHULUAN


Funan telah huraikan secara umumnya dan hampir terperinci. Maklumat lain, kami kira agak kurang bersesuaian dengan objektif blog APM ini. Pada posting mengenai Funan sebelum ini, kami ada juga menyentuh tentang negara bernama Lin-yi (Campa) dan kaitan dengan seorang raja Funan yang melarikan diri ekoran kekalahan dalam merebut kuasa di Funan.Oleh itu, dalam posting ini akan menceritakan tentang sebuah negara yang bernama Campa.


KISAH BERMULA

192 Masihi adalah tarikh kewujudan KERAJAAN CAMPA dan ianya dikesan melalui rekod China yang merujuk kerajaan ini sebagai Lin-yi . Seperti Funan, Campa ini juga didirikan oleh BANGSA MELAYU. Pada peringkat awal penubuhan Campa adalah sebuah negara agresif. Ia sering menyerang dan menggangu selatan China. Antara serangan Campa yang direkodkan oleh China adalah pada tahun 248 Masihi dan 270 Masihi. Pada tahun 270 Masihi, Campa telah dibantu oleh Funan menyerang wilayah K’iu-sou sehinggalah satu perjanjian damai telah ditandatangi antara kedua-dua pihak pada tahun 280 Masihi.

284 Masihi, Campa telah menghantar perutusannya yang pertama ke China dan berdasarkan rekod China, mereka menamakan pemerintah Campa yang menghantar utusan itu sebagai Fan-yi. Baginda kemudian digantikan oleh jeneralnya yang bernama Fan Wen pada 336 Masihi. Di bawah penguasaan Fan Wen, wilayah Campa telah meluas sehingga ke perbatasan Tonkin di Je-nan.

Di awal penubuhannya, tidak dapat dikesan adakah ianya menerima pengaruh India ataupun tidak. Namun, semasa pemerintahan  anak Fan Wen iaitu Fan Fo atau nama sanskritnya Bhadrawarman, pengaruh India telah terserap masuk dalam Bangsa Cam ini termasuklah dalam bidang agama dan kepercayaan. Di katakan Bhadrawarman merupakan pendiri Candi pertama di Campa di Lembah Mi-son. Candi ini adalah candi Hindu mazhab Siva dan dikenali sebagai Candi Siva-Bhadreswara sempena nama Fan Fo. Berpandukan kepada Inskripsi @ Prasasti Vo-Chanh, dipercayai pengasas dinasti yang bercorak India adalah seorang yang dikenali sebagai Sri Mara dan Dinasti ini telah ditubuhkan sekitar abad ke-2 Masihi.

Ibu kota Kerajaan Campa ketika itu terletak di Tra-kieu. Di sini telah dijumpai tiga inskripsi@Prasasti@Batu Bersurat menyatakan tentang sempadan Campa dan tentang mantera penyembahan kepada dewa pelindung tempatan yang mereka panggil “raja naga”. Di samping fahaman Siva, agama Budha juga berkembang di Campa berikutan sebuah patung Budha abad ke-4 Masihi yang diperbuat daripada gangsa telah ditemui di Dong-duong. Seperti juga di Funan, ada kemungkinan agama Budha lebih dahulu disebarkan daripada agama Hindu.

Memasuki abad ke-5 Masihi, kerajaan ini berkembang dengan pesat. Dalam masa pemerinthan Yang Mah, Campa sekali lagi telah menggangu wilayah-wilayah selatan China. Pada tahun 420 Masihi, baginda telah menyerang Tongkin dan meminta Mahajara China mengiktiraf kekuasannya. Pada tahun 431 Masihi, sekali lagi Campa menyerang Tongkin. Serangan-serangan ini telah menyebabkan Gabenor Tongkin, Tan Ho-tche melancarkan serangan habis-habisan ke atas ibu kota Campa iaitu K’iu-sou. Kota itu dapat ditawan dan Yang Mah II, pemerintah Campa ketika itu telah terbunuh dalam pertempuran. Pemerintah berikutnya Fan Chen tch’eng (Dewanika) telah berdamai dengan China dan mengirim tiga utusan menghadap Maharaja China, iaitu pada tahun 456, 458 dan 472 Masihi.

CAMPA DENGAN KESINAMBUNGAN FUNAN

484 Masihi, nampaknya pemerintahan Campa telah diambil oleh seorang putera pelarian dari Funan yang dikenali sebagai Fan Tang-ken-tch’ouen(Fan Tang). Gunawarman iaitu putera kepada Jayawarman dan abang Fan Tang, telah meminta bantuan daripada China untuk menundukan Fan Tang, akan tetapi permintaan itu tidak diperkenankan oleh Maharaja China.

492 Masihi, satu rampasan kuasa telah berlaku dalam Istana Campa. Fan Tang telah digulingkan oleh Tchou Nong, daripada keturunan Yang Mah. 6 tahun kemudian iaitu pada 498 Masihi, Tchou Nong dikatakan telah karam dilaut dan digantikan oleh Fan Wen-k’ouan, kemudian Fan Tien-k’ai dan P’i-ts’ouei-pa-mo (Vijayawarman). Vijayarman ini telah mangkat pada 529 Masihi dan meninggalkan takhta tanpa pewaris. Rakyat Campa kemudiannya telah melantik seorang Brahmin yang mengahwini salah seorang puteri Campa daripada keturunan raja-raja yang terdahulu sebagai pemerintah Campa. Brahmin tersebut dikenali sebagai Rudrawarman.

Rudrawarman telah digantikan dengan Chambuwarman (Fan Fan-tche), dan beliau telah mengisytiharkan Campa merdeka dari China semasa Dinasti Tch’en (557 – 589 Masihi) berada dalam keadaan huru-hara. Pada tahun 605 Masihi, tentera China telah menyerang Campa dan menawan ibu kotanya Tra-kieu, justeru itu Chambuwarman terpaksa menyembah Maharaja Yang Kien untuk meminta maaf.

Bersambung : Bahagian 2

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...