Saturday, May 25, 2013

CATATAN CHINA TENTANG “PAN-PAN” DAN KAITANNYA DENGAN PANTAI TIMUR SEMENANJUNG MALAYSIA

Lakaran Perjalanan  I-Tsing dari Canton ke Tan mo lo ti
Sudah tersurat, catatan tentang Nusantara ini banyak dijumpai dalam rekod orang-orang Tionghua. Di Nusantara ini juga mempunyai rekod pada batu bersurat atau ianya lebih digemari dengan memangil prasasti. Dalam kajian ilmiah, prasasti ini penting sebagai sumber rujukan untuk pengesahan dari rekod-rekod pengembara Tionghua itu.

I-Tcing @ I-Tsing adalah seorang pendeta Budha dari China yang banyak mencatat dengan lengkap tentang Nusantara ini melalui bukunya yang berjudul Nan-hai-chi-kuei-nai-fa-ch’uan (Record) dan Ta-T’ang-si-yu-ku-fa-kao-seng-chu’uan (Memoire). Dua buku ini telah menjadi bahan rujukan utama buat para pengkaji sejarah kuno nusantara.

I-Tsing ini sering berulang alik antara Kwan-Tung dan Tan-mo-lo-ti melalui pelbagai negara seperti yang tercatat dalam record dan memoire. Negara-negara penting dalam kedua-dua buku ini adalah : 
1)      Lo-jeng-kuo
2)      Ka-cha
3)      Mo-lo-yeu
4)      Shih-li-fo-shih
5)      Mo-ho-sin
6)      Ho-ling
7)      Po-li
8)      Tan-Tan
9)      Pan-Pan
10)   Fo-Shih-pu-lo
11)   A-Shan
12)   Lang-ya-hsiu
13)   To-ho-lo-po-ti

Sebelum ini, telah dihuraikan sedikit mengenai Tan-Tan, dan kali ini Pan-Pan akan disentuh mengikut pandangan I-Tsing dan juga beberapa sarjana moden untuk kita melihat apa itu Pan-Pan.

Kepulauan Nusantara ini telah mencatat sejarah sebelum masihi lagi dan kerajaan ketika itu menggunakan jalan laut untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan juga hubungan diplomatik mahupun ketika melakukan pencerobohan. Begitu juga dengan I-Tsing yang menggunakan kapal dari Canton ke India untuk mendalami  ajaran Budha. Beliau menjelaskan bahawa jalan pelayaran dalam proses ulang alik ini boleh dilalui dengan dua cara iaitu mengharungi terus Laut China Selatan atau menyusur pantai. Negara-negara dalam rekod I-Tsing boleh ditemui sekiranya menaiki kapal dan belayar menyusur pantai di Lautan Selatan dan ianya akan melalui Teluk Siam dan Pantai Timur Semenanjung Malaya (Malaysia), berikut adalah rekod-rekod tentang Pan-Pan:


  1. I-Tsing menyebut Pan-Pan dalam rangkaian negeri-negeri di Lautan Selatan yang memeluk agama Budha, sesudah Tan-Tan.
  2. Di tempat lain, I-Tsing menyatakan bahawa Tan-yuen berangkat dari Chio-chih (Tongkin), tetapi meninggal di Pan-Pan, di sebelah utara Ho-ling.
  3.  Chiu Tang Shu menghuraikan bahawa Pan-Pan terletak di sebelah barat daya Lin-i (Campa), di sudut laut. Di sebelah utara terpisah oleh laut sempit dengan Lin-i. Dari Chio-chou letaknya sejauh 40 hari pelayaran. Negeri ini bersempadan dengan Langya-hsiu.
  4. Negara Tou-ho-lo (Dvaravati) di sebelah selatan bersempadan dengan Pan-Pan, di sebelah utara dengan Kia-lo-sheh-fu, di sebelah timur dengan Chen-la, dan disebelah barat dengan laut besar. Dari Canton letaknya sejauh lima bulan perjalanan.
  5. Hsian Tang Shu menyatakan bahawa di sebelah selatan Pan-Pan terletak Ko-lo atau Ko-lo-fu-shao-lo.
  6.  Tung Tien mengatakan bahawa Ko-lo atau Ko-lo-fu-shao-lo, menurut huraian Dinasti Han, terletak di tenggara Pan-Pan.

Prof. G. Coedes berpendapat bahawa Pan-Pan terletak di Semenanjung di Pantai Teluk Siam, namun lokasinya tidak dinyatakan dengan tegas. Dr. Quaritch Wales mengira bahawa Wieng Sra adalah pusat pertama bagi Pan-Pan sama dengan Pran-puri (Pranpun), kerana menurut rekod Shui Shu, Tu-ho-lo di sebelah selatan Pan-Pan dan ianya harus ditafsirkan “di tenggara”. Demikianlah pendapat para sarjana sejarah tentang Pan-Pan. Nyata sekali di sini bahawa Pan-Pan itu merujuk kepada Patani sekarang ini, dan jika Patani dikaitkan kita tidak boleh lari lagi dari sejarah awal BANGSA MELAYU. Hubungan Tan-Tan, Pan-Pan dan Mo-lo-yu itu sendiri adalah akrab dan ianya terjalin sebelum wujudnya Empayar Sriwijaya.

Kedudukan Pan-Pan berdasarkan lakaran dari Wikipedia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...