Peperangan dan perbalahan antara
orang Cam dan Khmer ini akhirnya tamat setelah Jaya Parameswarawarman II menaiki takhta. Ketika itu, orang Khmer
sibuk untuk menangkis serangan-serangan musuhnya dari barat iaitu Siam dan
puak-puak gasar yang sering menganggu wilayahnya. Oleh itu Jaya
Parameswarawarman II mempunyai masa aman yang lama. Baginda dikatakan
meluangkan masa pemerintahannya membaiki sistem parit dan tali air serta
bangunan-bangunan yang rosak akibat yang begitu lama. Mengikut satu prasasti,
semua lingga di selatan telah
didirikannya kembali. Baginda juga telah membaiki candi-candi yang terdapat di
komplek Mi-son di utara. Namun di akhir pemerintahannya, perbalahan dengan Dai
Viet telah timbul kembali ekoran tuntutannya ke atas tiga wilayah yang
diserahkan oleh Rudrawarman II pada tahun 1069 Masihi sebagai penebus dirinya. Dai
Viet telah menyerang Campa kerana tuntutan ini pada 1252 Masihi. Orang Vietnam
telah berjaya menewaskan tentera Campa
dan merampas banyak harta benda serta menawan ramai pegawai dan kerabat
diraja Campa. Raja Jaya Parameswarawarman dipercayai telah terbunuh dalam
peperangan itu.
Pada tahun 1283 – 1285, Kublai Khan dari China telah menghantar
tenteranya untuk menundukkan negara-negara di Indo-China. Walaupun beberapa
kejayaan telah diperoleh, namun akhirnya tentera Monggol ini telah dikalahkan dengan teruknya oleh pihak Vietnam dan
Campa. Sogatou pemimpin tentera
Monggol yang ditugaskan menawan Campa telah dibunuh dan dipenggal kepalanya
sebaik sahaja mendarat di Campa. Setelah kekalahan tentera Monggol ini, Indrawarman V yang memerintah Campa
pada masa itu telah mengirim utusan mengadap Kublai Khan. Utusan itu tiba di
China pada 6 Oktober 1285 Masihi serentak dengan utusan dari Kemboja. Dengan itu,
orang Champa dan Kemboja tidak lagi diganggu oleh orang Monggol.
Namun dalam hal ini ianya
berlainan dengan catatan Marco Polo
yang singgah di Campa itu pada tahun 1285 Masihi dimana beliau mengatakan
Sogatou tidak mati di Campa. Dia dikatakan telah memimpin tentera Monggol
memusnahkan negara itu sehingga rajanya (Indrawarman V) terpaksa mengirimkan
utusan mengaku kalah kepada Kublai Khan. Marco Polo juga mencatatkan bahawa daja
dan rakyat negeri itu masih kafir dan negeri itu banyak menghasilkan gajah,
kayu gaharu dan kayu eboni.
Setelah kemangkatannya pada 1285
Masihi, baginda digantikan oleh puteranya yang bergelar Jaya Simhawarman III. Sekitar 1292 Masihi, Kublai Khan menghantar
angkatan perangnya untuk menyerang Jawa. Simhawarman ini telah berjaya
menghalang tentera itu dari mendarat di Campa. Dalam usahanya untuk
berbaik-baik dengan jirannya, Simharwarman III telah mengahwini Puteri Tapasi, puteri Jawa dan kemudian
berkahwin pula dengan puteri Vietnam iaitu Puteri
Huyen Tran yang digelar Parameswari pada tahun 1306 Masihi. Simhawarman ini
telah mangkat pada tahun 1307 Masihi.
Pada tahun 1312 Masihi, Maharaja
Tran Anh-ton dari Dai Viet telah menyerang Campa dan menawan rajanya Jaya Simhawarman IV. Baginda telah
ditawan dan mangkat di Tongkin pada 1313 Masihi. Selepas itu Maharaja Dai Viet
dianggap sebagai Maharaja Penaung Campa. Pengganti Jayasimhawarman hanya
dianggap sebagai pemerintah bahawahan oleh Dai Viet. Pada 1314 Masihi, orang
Campa yang dipimpin oleh Che Nang
telah bangkit memberontak dan cuba memerdekakan Campa. Akan tetapi pada tahun
1318 Masihi, beliau telah dikalahkan dan terpaksa lari berlindung di Jawa.
Dengan bantuan orang Monggul,
seorang Panglima Campa yang dikenali sebagai Che A-nan telah berjaya memerdekakan Campa. Dalam masa pemerintahan
baginda, seorang Padera Kristian dari fahaman Fransiskan yang bernama Odoric
de Pordenone telah melawan Campa. Beliau mencatatkan bahawa penduduk dan
raja Campa beragama Hindu dan adat sati di amalkan di sana. Adat Sati adalah
merupakan amalan Hindu yang mana isteri si mati akan dibakar bersama-sama mayat
suami yang meninggal terlebih dahulu. Che A-nan telah meninggal duni pada tahun 1324
Masihi dan digantikan oleh menantunya Tra-hao
Bo-de yang merampas kuasa dari putera mahkota, Che Mo. Dalam pemerintahannya
inilah Ibnu Battuta telah melawat
Campa dan beliau mencatat Campa sebagai Tawalisi.
Semasa zaman pemerintahan Che Bong Nga, Campa bangkit kembali dan
menurut sejarahwan, Coedes menyatakan kebangkitan Campa ini ibarat “sinar penghabisan matahari terbenam”
kerana selepas ini Campa terus mereput
dan akhirnya hilang dari sejarah.
Pemerintahan Che Bong Nga ini
bermula sekitar 1360 Masihi. Baginda telah berjaya mengadakan perhubungan
berbaik-baik dengan pemerintah Ming yang pertama iaitu Ming Tsai-tsu yang telah mengesahkan baginda sebagai pemerintah
Campa pada 1369 Masihi. Seterusnya, Che Bong Nga telah melancarkan kempen bagi
menebus maruah orang Campa. Dari tahun 1361 – 1390 Masihi, baginda melancarkan
serangan demi serangan ke atas kerajaan Dai Viet:
- 1368 tentera Campa telah dapat mengalahkan tentera Vietnam di satu tempat bernama Gua Cam dan merampas harta benda di pelabuhan Da Li.
- 1371 tentera Campa telah menyerang Tongkin dan merampas harta benda Hanoi.
- 1377 tentera Vietnam dikalahkan berhampiran Wijayapura dan pada tahun juga pemerintah Dai Viet, Raja Tran Due-ton meninggal dunia. Sekali lagi tentera Cam menyerang Tongkin dan merampas harta benda Hanoi.
- 1384 Tongkin sekali lagi diserang melalui jalan darat.
- 1389, serangan ke atas Tongkin dan tentera Campa mara sampai ke daerah Hung-yen di bahagian utara wilayah itu.
Pada bulan Februari 1390, nasib
malang telah menimpa Che Bong Nga akibat pengkhianatan pegawainya yang
menyebabkan perahunya telah dikepung oleh orang Vietnam dan bagida telah
dibunuh. Kematian baginda telah menyebabkan tentera Campa terpaksa berundur ke
Tongkin.
Setelah kembali ke Campa, salah
seorang jeneralnya telah melakukan rampasan kuasa dan menyingkirkan putera Che
Bong Nga. Jeneral ini dikenali sebagai Jaya
Simhawarman atau Lai Khai oleh
Vietnam telah menyerahkan wilayah utara Campa yang ditawan kembali oleh Che
Bong Nga kepada kerajaan Dai Viet. Pada tahun 1400 Masihi, beliau telah
digantikan oleh puteranya, Ngauk Klaung Vijaya
dan pada tahun 1432, baginda menggelarkan dirinya sebagai Indrawarman VI.
Pada tahun 1402, Ngauk Klaung
Vijaya telah menyerahkan wilayah Indrapura kepada Dai Viet untuk mengelakkan
peperangan. Dengan ini, tanah suci orang Cam, di mana terletaknya kompleks
candi Mi-son telah jatuh ke tangan
orang asing. Akan tetapi pada 1407 Masihi, mengambil kesempatan kekalahan Dai
Viet di tangan China, Campa telah merampas kembali tanah suci mereka itu. Selepas
itu, Ngauk Klaung Vijaya telah menyerang Kemboja dan membebaskan
wilayah-wilayahnya yang dikuasai oleh kerajaan itu.
Selepas pemerintahan Ngauk Klaung
Vijaya atau Indrawarman ini yang berakhir pada 1411, Campa mula merosot dengan
drastik. Pada tahun 1446, ibu kota Campa, Wijayapura telah diduduki buat
pertama kali oleh pihak Vietnam. Tetapi kemudiannya dapat dirampas kembali. Akhirnya
pada 1471, Wijayapura sekali lagi diduduki oleh Vietnam dan pendudukan kali ini
telah menghancukan seluruh kerajaan Campa. Seramai 60.000 orang Campa telah
terkorban dan kira-kira 30.000 orang termasuk rajanya telah ditawan oleh pihak
Vietnam. Masyarakat Cam yang lain terutama yang beragam Islam telah melarikan
diri ke Kemboja, Tanah Melayu terutama ke Melaka dan ke Jawa.
Selepas itu, keadaan Campa mula
aman, barulah muncul satu pemerintahan baru, jauh di bahagian selatan. Kerajaan
ini kemudiannya telah dapat dikuasai oleh orang Islam pada sekitar separuh
kedua abad ke-17 Masihi.
BERSAMBUNG: CAMPA DI ERA KESULTANAN ISLAM
No comments:
Post a Comment