Lokasi Kerajaan Cenla |
Nama Cenla (Kemboja) mula diketahui daripada catatan Sejarah Sui. Berdasarkan catatan tersebut, kita dapat ketahui bahawa Cenla ini pada asalnya merupakan wilayah takluk Funan. Namun, semasa pemerintahan Raja She-to-ssu-ma (Chitrasena), Cenla telah menjadi begitu kuat sehingga berjaya menawan Funan. Tidak seperti Funan dan Campa yang didirkan seluruhnya oleh suku bangsa Melayu, kerajaan Kemboja ini didirikan oleh gabungan Bangsa Melayu dan Khmer. Pada peringkat awal meman jelas Kerajaan Kemboja ini diasaskan oleh Dinasti Melayu akan tetapi kemudian ianya telah dikuasai oleh orang Khmer khususnya setelah terbentuk kerajaan Angkor.
Mengikut lagenda Kemboja, asal
usul bangsa Kemboja ini adalah daripada
seorang petapa bernama Kambu Swayambhuwa yang berkahwin
dengan seorang bidadari bernama Mera hadiah
daripada Dewa Siva. Dari merekalah lahirnya zuriat raja-raja Kemboja. Raja yang
pertama adalah Srutawarman dan diikuti oleh puteranya Sreshthawarma. Sebuah inskripsi yang ditemui di Kemboja mencatatkan tentang penubuhan
kerajaan Kemboja. Inskripsi itu telah diterjemahkan oleh seorang sejarahwan
Asia Tenggara yang terkemuka iaitu R.C.
Majumdar :
Adityavamsa, raja Indraprastha telah murka terhadap salah seorang puteranya dan membuangnya dari negeri. Baginda telah sampai ke sebuah negara yang bernama Kok Thlok dan menjadikan dirinya tuan dengan mengalahkan raja asal negara itu. Pada satu petang baginda berjalan-jalan di atas sebuah beting pasir apabila secara mengejut air naik pasang dan menyebabkan baginda terpaksa bermalam di situ. Seorang Nagi (bidadari) yang sangat rupawan telah datang bermain di atas pasir itu dan raja tadi kerana tertawan dengan kecantikkanya bersetuju mengahwininya. Dengan itu Naga-raja, bapa kepada gadis itu telah memperluaskan lagi kawasan pemerintahan bakal menantunya dengan meminum air yang menyeliputi negara itu, membina sebuah ibu kota untuknya menukar nama kerajaan itu kepada Kemboja.
Orang Kemboja menganggap diri
mereka sebagai Bangsa Matahari manakala orang Funan sebagai Bangsa
Bulan. Dalam masa
pemerintahan kedua-dua raja ini, Kemboja (Cenla) telah mengisytiharkan mereka
merdeka dari Funan. Semasa pemerintahan Raja Bhawawarman yang
mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemerintah Funan, Cenla telah menjadi kuat hingga mampu memerangi wilayah-wilayah
berhampiran. Bhawawarman yang merupakan cucu kepada pemerintah Funan ketika itu
berjaya menjadi raja Cenla hasil daripada perkahwinannya dengan salah seorang
Puteri Cenla. Hal ini diperkuatkan dengan jumpaan sebuah prasasti di Kemboja yang
mencatatkan asal keturunan raja-rajanya daripada Kaundinya dan Naga Soma
seperti leluhur pemerintah Funan dan Raja
Rudrawarman dari Funan sebagai pengasas dinastinya.
Pengganti Bhawawarman, Chitrasena
telah menaiki takhta sekitar 600 Masihi dengan gelaran Mahendrawarman telah meluaskan kuasanya. Walau bagaimanapun, ia
tetap menjalinkan hubungan berbaik-baik dengan Campa. Kemudian beliau
digantikan oleh anakandanya, Isanawarman,
wilayah Cenla menjadi bertambah luas dengan menguasai wilayah-wilayah yang
dahulunya dikuasai oleh Funan. Semasa pemerintahan Isanawarman inilah, Cenla
menghantar utusan ke China buat pertama kalinya pada 616 Masihi dan berterusan
sehingga beliau mangkat pada 635 Masihi. Semasa pemerintahan Isanawarman ini,
pusat pemerintahan Cenla terletak di Isanapura.
Catatan Sejarah Sui dan tulisan Ma
Tuan-li, ada menyebut semasa pemerintahan Isanawarman 616 – 635 Masihi, ibu
kotanya didiami oleh dua puluh ribu keluarga. Ditengah-tengah kota terdapat
balairong tempat raja menerima
penghadapan oleh pegawai dan rakyat jelatanya. Direkodkan juga, bahawa Cenla
menguasai 30 buah kota lain yang setiap satunya dihuni oleh beberapa ribu
keluarga. Setiap kota itu ditadbirkan oleh seorang gabenor. Tamadun Kemboja
(Cenla) pra-Angkor ini banyak dipengaruhi oleh jirannya Campa terutama dalam
hal-hal pertanian, agama dan seni. Isanawarman sendiri telah mengahwini seorang
puteri Campa.
Selepas pemerintahan Isanawarman,
Cenla telah diperintah oleh seorang yang tidak jelas asal keturunannya iaitu Bhavawarman dan baginda digantikan pula
oleh puteranya iaitu Jayawarman 1 sekitar
657 Masihi. Baginda mangkat pada tahun 690 Masihi. Oleh kerana baginda tidak
mempunyai perwaris lelaki, Cenla telah diperintah oleh seorang raja perempuan
yang dikenali sebagai Jayadewi.
Ketika di bawah pemerintahan Jayadewi ini, keadaan di Cenla menjadi teruk
dengan berlakunya pemberontakan demi pemberontakan hingga Cenla berpecah
menjadi dua. Kawasan utaranya yang terdiri daripada gunung dan lembah-lembah
dikenali sebagai Cenla Darat, manakala bahagian selatannya yang dipinggir laut
dan diselaputi tasik dikenali sebagai Cenla Air.
Pihak China mencatatkan bahawa
pada 717 Masihi, Cenla Darat yang dikenali oleh orang Cina sebagai Wen-tan telah mengirimkan utusan ke Cina
dan telah menghantar satu pasukan ke Vietnam bagi membantu satu ketua puak bagi
menentang China pada 722 Masihi. Tidak catatan China tentang wujudnya
perwakilan dari Chenla air. Hal ini berlaku kerana pada masa itu Cenla Air
sendiri terbahagi kepada beberapa wilayah yang bebas. Akan tetapi pihak China
ada mencatatkan bahawa kota utama Cenla Air itu adalah P’o-lo-ti-po dan pemerintahnya mendakwa berasal daripada keturunan
Kaundinya dan Naga Soma, pemerintah pertama kerajaan Funan. Salah seorang
daripada pemerintahnya, Baladitya telah dianggap sebagai pemerintah Angkor,
kemudiannya sebagai leluhur mereka dengan Kaundinya. Pihak yang berebut kuasa
di Cenla Air pada masa itu adalah Dinasti
Bulan dan Dinasti Matahari. Dinasti
Bulan berpusat di Aninditapura, mana Dinasti Matahari berpusat di Sambhupura.
Sekitar 753 Masihi, Cenla Darat
telah mengirim utusan ke China yang dipimpin oleh putera rajanya sendiri. Kemudian
beberapa utusan lain telah dihantar iaitu sekitar 771 – 799 Masihi. Namun Cenla
Air masih tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan China. Daripada batu
bersurat yang ditemui di kawasan Sambhupura (Sambor) bertarikh 770 – 781 Masihi
diketahui salah seorang rajanya bernama Jayawarman. Namun tidaklah diketahui
bilakah sebenarnya raja seluruh Cenla Air ini ditabalkan.
No comments:
Post a Comment