Friday, July 19, 2013

Kemboja Silam : Angkor 4


1220 Masihi, tentera Angkor telah berundur dari Campa dan menyerahkan takhta Campa kepada seorang putera Cam yang bernama Angsaraja, iaitu putera kepada Jaya Hariwarman II yang pernah tinggal di istana Angkor. Pengunduran tentera Angkor ini adalah berpunca daripada kemangkatan Jayawarman VII. Selepas kematian Jayawarman VII, agama Budha mulai mundur di Kemboja. Penyembahan Budharaja digantikan kembali dengan Dewaraja. Lokeswara digantikan dengan Lingga.

Pengunduran tentera Angkor dari Campa menandakan permulaan kelemahan kerajaan Angkor. Tidak lama kemudian, kerajaan Melayu Tambralingga telah membebaskan dirinya daripada Angkor. Orang Siam mula menguasai wilayah-wilayah yang dahulunya dikuasai oleh orang Khmer di hulu Menam Chao Phraya.
Antara raja-raja Kemboja yang utama selepas Jayawarman VII ialah Jayawarman VIII (1243 – 1295 Masihi). Baginda dikatakan raja yang paling lama memerintah Angkor. Namun sepanjang pemerintahan baginda, tiada apa-apa keistimewaan kecuali perkembangan agama Hindu  hingga mempengaruhi Istana. Semasa pemerintahan beliau juga, orang Siam di bawah taklukannya telah bangun memberontak dan membebaskan wilayah mereka, iaitu wilayah yang hari ini merangkumi Negara Thai moden.

Salah seorang pembesar Siam itu yang merupakan menantu Jayawarman VII bernama Rama Khambeng telah mengisytiharkan dirinya merdeka daripada kekuasaan Angkor. Beliau telah dapat mengalahkan pasukan tentera Gabenor Angkor di hulu Sungai Chao Phraya dan kemudian menubuhkan sebuah kerajaan sendiri bernama Sukhotai.

Semasa pemerintahan Jayawarman VIII ini juga orang Monggol telah menyerang Campa dan Kemboja pada tahun 1283 Masihi, tentera Monggol itu dikatakan telah dipimpin oleh seorang panglima tentera yang bernama Sulaiman telah dapat dikalahkan oleh pihak Angkor dan mereka ditawan atau kemungkinan dibunuh kesemuanya. Walaupun demikian pada tahun 1285 Masihi, Angkor telah mengirimkan utusan ke China untuk meminta maaf dan berjanji untuk membayar ufti kepada Kublai Khan.

Mengikut laporan yang ditulis oleh Duta China ke Kemboja, Chou Ta Kuan, yang melawat negara itu pada 1296 Masihi, keadaan Kemboja begitu teruk akibat peperangan dengan Siam. Ketika itu dilaporkan Jayawarman VIII telah tua dan pada tahun 1295 Masihi telah turun takhta untuk menempatkan menantunya Putera Srindrawarman sebagai raja. Justeru itu, disamping menghadapi serangan dari Siam, Angkor juga berada dalam kancah perang saudara antara menantu Jayawarman VIII dengan puteranya yang berasa kecewa tidak diangkat menjadi raja. Selain dari itu, Angkor ketika di bawah pemerintahan Jayarawarman VIII ini menghadapi perbalahan agama antara penganut agama Budha dan Hindu.

Srindrawarman memerintah Angkor hingga 1307 Masihi. Setelah itu baginda turun takhta dan digantikan oleh putera mahkotanya iaitu Srindrajayawarman (1307 – 1327 Masihi). Pewaris ini tidak dapat dipastikan perhubungan sebenar dengan Srindrawarman. Di bawah pemerintahannya agama Budha berkembang semula, disamping itu catatan-catatan yang ditulis pada masa ini menggunakan bahasa pali, tidak lagi bahasa Sanskrit. Pada tahun 1309 Masihi, baginda telah mengirimkan perutusan ke China dan pada 1335 Masihi, telah menghantar satu lagi delagasi ke Genting Cua Rao untuk menyambut lawatan maharaja Dai Viet, Tran Hien-tong.

Sekitar tahun 1352 Masihi, Angkor telah diserang oleh sebuah kerajaan baru orang Siam iaitu Kerajaan Ayuthia yang menggantikan Sukhothai. Ramadhipati, pengasas Ayuthia telah menyerang Angkor ketika dibawah pemerintahan Lampongraja (1346 – 1351 Masihi). Akhirnya Angkor telah menyerah kalah pada tahun 1353 Masihi dan seorang putera Siam telah diangkat menjadi rajanya. Akan tetapi pada tahun 1357 Masihi, salah seorang adik Lampongraja yang lari ke Laos telah dapat menawan semula kota itu kembali dan ditabalkan sebagai raja dengan gelaran Suryawarman Rajadhiraja.

Hal ini telah membuatkan Ayuthia menyerang Angkor semula tetapi dapat dipertahankan oleh Suryawarman. Baginda kemudian telah membuat perhubungan dengan China dan menghantar ufti. Suryawarman telah mangkat pada 1377 Masihi dan digantikan oleh anak saudaranya iaitu putera kepada Lampongraja bernama Paramrama dengan gelaran Samdaach Kambhudhiraja. Pada tahun 1380 Masihi, setelah kemangkatannya, baginda telah digantikan oleh adiknya Dhammasokarajadhiraja.

Semasa pemerintahan raja inilah iaitu pada tahun  1393 Masihi, Raja Siam, Ramesuan telah menyerang Angkor. Kota itu dikepung hampir setahun hingga akhirnya dia menyerah kalah. Raja Dhammasokarajadhiraja telah mati terbunuh dalam pertempuran. Pihak Siam telah menempatkan puteranya yang bernama Indraraja sebagai Raja Kemboja. Namun beliau telah mati dibunuh oleh orang Kemboja.


Hingga ke tahun 1430, Kerajaan Angkor masih menjadi pusat pentadbiran dan kebudayaan orang Kemboja. Akan tetapi pada 1431 pemerintahnya pada masa itu Suryawarman (Chao Ponhea Yat) telah mengambil keputusan untuk meninggalkan begitu sahaja Kota Angkor kerana ianya terlalu terbuka dan sukar untuk dipertahankan. Baginda telah memindahkan ibu kotanya ke Basan dan kemudian ke Quatre-Bras di sekitar Phom Penh hari ini pada 1446 Masihi. Dengan itu tamatlah keagungan Angkor yang menjadi nadi dan pusat budaya orang Khmer selama lebih kurang 6 abad. Namun, kerajaan Kemboja berterusan dari pusat barunya di Phnom Penh dan Lovek hingga ditewaskan Siam pada 1595 Masihi. 

2 comments:

  1. Angkor telah mengirimkan utusan ke China untuk meminta maaf dan berjanji untuk membayar ufti kepada Kublai Khan.

    Mengapa ???

    ReplyDelete
  2. Pernyataan ini adalah versi angkor utk jaga maruah mereka di kalangan rakyat. Hakikatnya mereka kalah di bantai tentera mongul.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...