Friday, July 12, 2013

CAMPA : Bahagian 4

Aksesori orang-orang Dai Viet

Peperangan antara Campa dengan Dai Viet sekali lagi tercetus pada 1068 Masihi ketika pemerintahan Rudrawarman III yang naik takhta Campa pada 1061 Masihi. Kali ini Rudrawarman yang menyerang kedudukan Dai Viet di utara namun serangan ini berjaya dipatahkan. Pihak Dai Viet telah membalas serangan tersebut dengan Rajanya, Li Thanh-ton telah dapat merempuh masuk ke dalam Kota Wijaya dan membakar semua rumah yang dibangunkan di dalam dan di luar tembok Kota itu. Raja Rudrawarman telah ditawan dan di bawa ke Tongkin tetapi kemudian dibebaskan pada tahun 1069 Masihi setelah menyerahkan tiga wilayah Campa di utara kepada pihak Dai Viet sebagai bayaran untuk menebus pembebasan dirinya. Walaupun bebas, baginda gagal menduduki kembali takhtanya.

Pada tahun 1074 Masihi, seorang yang bernama Dewatamurti (Thang) telah naik takhta Campa dengan gelaran Hariwarman IV. Beliau telah berjaya menghalau orang Vietnam dari Campa tetapi kemudiannya mengaku tunduk dan membayar ufti kepada Dai Viet. Beliau juga telah dapat mengalahkan serangan-serangan dari Kemboja pada tahu  1074 dan 1080 Masihi. Hariwarman IV telah berusaha memulihkan kembali kemuliaan Campa seperti sebelumnya. Beliau hanya memerintah beberapa tahun sahaja sebelum turun takhta untuk mengabdikan diri kepada tuhan dengan bertapa dab beliau telah mangkat pada tahun 1081 Masihi.

Sekitar 1081 – 1086 Masihi, Campa berada dalam keadaan huru hara kerana perebutan takhta antara Jaya Indrawarman II anak Hariwarman IV dengan bapa saudaranya, Putera Pang. Akhirnya Jayaindrawarman II telah dapat mengatasi bapa saudaranya itu. Di bawah pemerintahan baginda, Campa aman seketika dengan hubungan antara Dai Viet dan China telah dapat dipulihkan.

Pada tahun 1145 Masihi, pihak Khmer telah menyerang Campa dan menawan sebahagian besar negara itu termasuk ibu kotanya. Pemerintah yang baru naik pada masa itu, Rudrawarman IV terpaksa berpindah lebih jauh ke selatan. Baginda kemudian telah dapat mengalahkan tentera Khmer yang datang dan meyerang wilaya Wijayapura. Kemudian baginda digantikan oleh Jaya Hariwarman I. Raja ini telah berjaya mematahkan serangan-serangan orang Vietnam dan Khmer ke atas Champa dan menyatukan kembali negeri itu yang telah berpecah-pecah akibat serangan daripada luar.

Di katakan bahawa di istana raja ini terdapat seorang pegawai bernama Jaya Indrawarman berasal dari Gramapura yang ahli dalam pelbagai bidang termasuk kepandaian bermain senjata, sastera, falsafah dan nujum. Dia juga banyak membina Candi di Mi-son yang merupakan sebuah kawasan di mana terdapatnya beberapa kompleks candi yang dibina oleh raja-raja dan pembesar Campa.

Pada tahun 1167 Masihi, Jaya Indrawarman berjaya merampas kuasa daripada putera Jaya Hariwarman I. Di bawah Jaya Indrawarman, Campa kembali kuat. Ia berjaya menyerang Kemboja dan merampas kekayaan Angkor (Chen la) pada tahun 1177 Masihi. Kerosakkan Angkor ini telah menimbulkan kebencian yang berpanjangan oleh pihak Kemboja. Oleh kerana itu, sekitar 1190 Masihi, pemerintah Kemboja iaitu Jayawarman III telah meminta bantuan seorang putera Campa iaitu Vidyanandana yang bermaustautin dinegaranya untuk menyerang Campa. Komplot ini telah berjaya dan Vidyanandana telah berjaya menangkap Jaya Indrawarman dan di bawa ke Kemboja.


Kekosongan takhta itu telah diisi dengan seorang kerabat Diraja bergelar Suryajayawarmandewa. Manakala Vidyanandana juga telah menubuhkan kerajaan di Pandurangga dengan gelaran Suryawarmandewa. Dengan ini, Campa telah terbahagi dua. Tidak lama kemudian Suryawarmandewa (Vidyanandana) telah dapat menyatukan seluruh Campa dan mengisytiharkan dirinya bebas daripada Kemboja.

Sambungan : Bahagian 5

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...