Monday, July 8, 2013

FUNAN – Pemerintahan dan Sistem Politik Bahagian 1


Fan Shih-man pembangun Empayar Funan

Semenjak penubuhan Funan telah dibahagikan kepada tujuh buah wilayah yang setiap satunya ditadbir oleh anak-anak dari keturunan Kaundinya secara bebas. Persekutuan wilayah-wilayah Funan ini mewujudkan sebuah negara Funan yang kuat. Akan tetapi dalam masa pemerintahan Hun P’an-Huang (Houen-p’an-houang), pada separuh kedua abad kedua Masihi, wilayah-wilayah ini telah disatukan di bawah pemerintahan pusat Funan. Wilayah-wilayah itu telah ditawan dan Hun P’an-huang menghantar putera dan cucu-cucunya memerintah setiap satu daripadanya. Mereka digelar Raja Kecil.

Hun P’an-huang kemudian telah mendirikan sebuah kota yang baru di kawasan pedalaman, berhampiran dengan pertembungan Sungai Mekong dengan anak-anak sungai Tonle Sap kira-kira 200KM dari laut yang kemudian dijadikannya sebagai ibu kota kerajaan Funan. Kota ini dikenali sebagai Wyadhpura (Wijayapura) yang bermaksud “Kota Pemburu”. Lagenda tempatan menceritakan bahawa kota itu ditubuhkan ketika Hun P’an-huang pergi berburu gajah dikawasan itu, iaitu berhampiran dengan Bukit Ba Phnom, gunung suci orang Funan. Dikatakan kota ini dilingkari oleh tembok yang diperbuat daripada bata.
Pada awal abad ke-3 Masihi, pemerintahan Funan jatuh ke tangan seorang jeneral yang bukan daripada keturunan Hun P’an-huang yang bernama Fan Shih-man. Lagenda Funan menceritakan bahawa Fan Shih-man telah dipilih oleh rakyat untuk menduduki Funan menggantikan Raja Pan-Pan iaitu putera Hun P’an-huang  yang telah meninggal dunia.

Sebelum meninggal, Raja Pan-Pan telah menyerahkan kuasanya kepada Fan Shih-man, dikatakan Raja Pan-Pan ini hanya sempat memerintah selama tiga tahun. Ada sarjana menyatakan bahawa Fan Shih-man ini merampas kuasa sebaik Raja Pan-Pan meninggal dunia di samping itu, beliau juga mampu menundukkan para pembesar kerana beliau memegang kuasa tentera yang besar. Semasa pemerintahan beliau, pengaruh India semakin meluas di Funan.

Di bawah pemerintahan Fan Shih-man yang mengikut G.Coedes namanya dalam Sanskrit adalah Sri Rama telah menggelarkan dirinya Raja Agung, wilayah kekuasan Funan menjadi bertambah luas, malah telah merupakan sebuah empayar. Pada mulanya beliau telah menawan seluruh Delta Mekong sehingga ke Kuala Tonle Sap dan kemudian ke utara sampai ke bahagian selatan wilayah Campa. Selepas itu beliau telah mengadakan ekspedisi laut menawan bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu.

Mengikut Sejarah Leang; Fan Shih-man merupakan seorang yang berani dan berkebolehan dan dengan menggunakan kekuatan telah menundukkan kerajaan-kerajaan yang berdekatan. Semua menjadi taklukannya. Baginda mengambil gelaran Yang dipertuan Agung Funan. Baginda telah memerintahkan dibina kapal-kapal yang besar dan telah menyeberangi lautan-lautan besar dan menyerang lebih daripada sepuluh kerajaan. Baginda telah memperluaskan wilayahnya hinga lima ke enam ribu li. Apabila baginda ingin menakluk “sempadan emas” [mungkin Suvarnabhumi] beliau telah jatuh sakit.

Kempen ini jelas menunjukkan tujuannya untuk menguasai terus pusat-pusat perdagangan di kedua-dua belah semenanjung itu, dari kawasan Segenting Kra hingga ke Burma. Dengan cara ini mengukuhkan pengaruh Funan ke atas aliran perdagangan melalui Asia Tenggara. Dalam Sejarah Leang, menyatakan baginda telah menawan 10 buah kerajaan dalam kempennya itu termasuk sebuah pusat perdagangan utama di utara Segenting Kra bernama Tun-sun. Kawasan kekuasannya meliputi 3200KM. Baginda juga telah cuba menawan Chin-lim (hilir Myanmar mungkin juga Tanah Melayu) tetapi gagal kerana baginda jatuh sakit dan mati kemudiannya iaitu pada tahun 225 Masihi.

Selain dari Tun-sun, dipercayai juga Fan Shih-man telah menawan Langkasuka, Tambralingga, Chaiya dan Takuapa yang merupakan entrepot utama di Semenanjung pada masa itu. Perlu diingat, jalan perdagangan antara China dan India pada waktu itu tidak terus merentasi Teluk Siam tetapi menyusur sepanjang pantai. Dengan menguasai semua pelabuhan utama ini termasuk kawasan transit di semenanjung, Funan menguasai seluruh perdagangan Asia Tenggara.

Setelah kemangkatan Fan Shih-man pada 225 Masihi, telah berlaku perebutan takhta antara putera baginda Chin-cheng dengan seorang bernama Fan Ch’an iaitu anak saudara Fan Shih-man, akhirnya Fan Ch’an telah merampas kuasa dan membunuh Chin-cheng. Fan Ch’an merupakan pemerintah Funan yang terpenting kerana beliau merupakan Raja Funan yang pertama mengadakan perhubungan diplomatik dengan kerajaan China dan India. Dikatakan beliau telah mengirimkan salah seorang anggota keluarganya bernama Su-wu ke India untuk memperoleh maklumat tentang negara itu. Su-wu kemudian telah memudiki Sungai Gangga hingga sampai ke istana salah seorang putera kerajaan Kushana (Murunda). Di sini dia diterima dengan baik dan sebagai balasannya putera itu telah mengirim empat ekor kuda sebagai hadiah kepada Fan Ch’an. Lawatan ke India itu dianggarkan berlaku sekitar 240-245 Masihi. Fan Ch’an juga dikatakan telah mengirim utusan ke China sekitar 243 Masihi.

Pada pertengahan abad ke-3 Masihi, iaitu lebih kurang 20 tahun berkuasa, Fan Ch’an telah mati dibunuh oleh seorang yang dikenali sebagai Ch’ang iaitu salah seorang putera Fan Shih-man yang bangkit menuntut bela atas kematian abangnya. Ketika rampasan kuasa yang dilakukan oleh Fan Ch’an, Ch’ang masih seorang kanak-kanak. Hari demi hari beliau telah mengumpulkan satu pasukan yang kuat dari puak sebelah ibunya dan telah melancarkan rampasan kuasa daripada Fan Ch’an. Namun, kebangkitan ini tidak berpanjangan apabila Ch’ang digulingkan oleh Fan Hsun (Fan Siun) pada tahun 245 Masihi.

Era pemerintahan Fan Hsun memperlihatkan Funan mencapai puncak keagungannya baik dalam bidang ketenteraan mahupun dalam bidang perdagangan. Dalam masa pemerintahan beliau, Dinasti Wu dari China telah menghantar dua orang dutanya iaitu K’ang Tai dan Chu Ying untuk melawat dan membuat laporan tentang Funan. Dalam laporan mereka menyatakan Funan sebuah negara yang kaya dan mewah. Mereka juga melaporkan bahawa kerajaan Funan telah menggunakan banyak perbendaharaan kata India akan tetapi teori politik dan falsafah kepercayaan mereka masih lagi tempatan dan tidak terpengaruh oleh unsur-unsur India. Mereka juga dikatakan telah mempunyai buku-buku dan arkib dan tulisan mereka mirip tulisan India.
Fan Hsun memerintah Funan dalam jangka masa yang panjang dan sepanjang masa itu, Funan telah menghantar utusan diplomatik ke China pada tahun 268 Masihi, 286 Masihi, dan 287 Masihi. Beliau telah membagunkan Funan, menurut Sejarah Leang (Liang Shu), beliau mengadakan majlis mengadakan majlis mengadap empat kali sehari untuk orang asing dan rakyatnya. Beliau juga telah memerintahkan supaya orang lelaki Funan berpakaian. Sejak dari zaman Kaundinya, hanya orang perempuan yang berpakaian. Pakain orang lelaki ketika era Fan Hsun berupa sehelai kain sarung yang diikat di pinggan dikenali sebagai kan-man.

Pada tahun 270 hingga 280 Masihi, Fan Hsun telah mengadakan pakatan dengan Fan Hiong, pemerintah Champa (Lin-yi) untuk menyerang wilayah-wilayah kekuasaan China di Tong-kin. Serangan-serangan Funan dan Champa ini berterusan sehingga satu perjanjian damai diadakan pada 280 Masihi.

Begitulah kekuatan dan kemegahan Funan dan tahun-tahun seterusnya sedikit demi sedikit Funan mula hilang seri. Negara taklukannya banyak mengishtiharkan merdeka seperti Raktamrittika. Ikuti bahagian Kedua Funan: Pemerintahan dan sistem Politik Bahagian 2.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...