Tuesday, July 30, 2013

Kedah Tua


Kerajaan Kedah Tua ini dipercayai telah wujud sejak abad ke-2 Masihi dan ianya dikenali dengan pelbagai nama. Dalam bahasa Sanskrit ia dikenali sebagai Kataha, dalam bahasa Tamil, ianya dikenali sebagai Kadaram dan dalam bahasa Cina ia dirujuk sebagai Cheih-ch’a serta dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai Kallah.

Sejak dari penubuhannya, Kedah telah dikuasai oleh Kerajaan Funan sehinggalah ke separuh abad ke-6 Masihi apabila ia memperoleh kemerdekaanya. Namun, sekitar abad ke-9 Masihi, Kedah dikuasai pula oleh Kerajaan Sriwijaya.

Orang-orang Tamil ada menyebut mengenai Kedah dalam puisi mereka, Pattinappalai pada abad ke-2 atau 3 Masihi. Dikatakan dari pelabuhan itulah yang disebutnya Kalagam yang sama dengan Kadaram dan dari sinilah di bawa barang tertentu ke Kota Puhar (Kaverippattinam). Selain dari itu Kedah juga disebut dalam karya sastera Sanskrit dan Prakrit sebagai Kataha Dvipa dan kotanya pula Katahanagara.

Kedah telah menjadi sebuah pelabuhan yang penting semenjak abad ke-3 Masihi dan dikenali oleh orang China telah awal-awal lagi serta menjadi pelabuhan tempat pendeta-pendeta Budha Cina yang dalam perjalanan ke India. Pendeta-pendeta ini akan mendarat di Langkasuka dan berjalan kaki merentasi Segenting Kra menuju ke Kedah dari mana mereka akan belayar ke India. Berdasarkan kepada rekod yang ditulis oleh Ma Tuan-lin, Kedah pernah menghantar utusan ke China pada tahun 638 Masihi.

Pada peringkat awal kewujudan kerajaan Kedah Tua ini, ianya dipengaruhi oleh Budha Therawada (Hinayana). Beberapa buah patung Budha gaya Amarawati dan Gupta telah ditemui dinegeri ini. Namun pada antara abad ke-6 dan ke-7 Masihi ianya dipengaruhi oleh agama Hindu (Sivaisme). Pengaruh India yang diterimanya ini adalah berasal dari Pallawa, selatan India. Pengaruh Pallawa ini sungguh kuat di Kedah hingga semua Inskripsi awal yang dijumpai di Kedah tertulis dalam tulisan Pallawa.

Kolonel James Low melaporkan pada abad ke-19 Masihi sekitar 1840-an bahawa beliau pernah menemui peninggalan-peninggalan koloni India dan candi-candinya serta patung-patung telah pecah-pecah di sepanjang kaki Gunung Jerai di Kedah. Low juga telah menemui tujuh bahagian inskripsi dalam bahasa Sanskrit yang berasal dari abad ke-4 Masihi yang ditemuinya di Cherok Tok Kun di Seberang Prai. Beliau juga telah memperoleh dua inskripsi Budha dalam bahasa Sanskrit dari Bukit Meriam dan sebuah batu bersurat di Guar Kepah. Pada batu bersurat itu tertulis doa-doa dalam bahasa Sanskrit tulisan Pallawa untuk keselamatan pelayaran yang akan dilakukan oleh seorang nakhoda bernama Budhagupta yang tinggal di Raktamrittika (Tanah Merah).

Daripada peninggalan dan runtuhan yang ditemui di Kedah, hanya sebuah sahaja yang dijumpai di utara Gunung Jerai yang merupakan bahagian bawah Stupa abad ke-4 Masihi. Puing ini merupakan peninggalan kebudayaan India yang tertua pernah ditemui di Kedah. Pada peringkat awal, raja-raja Pallawa beragama Budha menyebabkan Kedah juga dipengaruhi oleh agama itu. Agama Budha telah bertapak dengan kukuhnya di Kedah sekitar abad ke-5 Masihi. Justeru itu, ditemui artifak-artifak kesan agama Budha Therawada (Hinayana) berupa stupa dan inskripsi di Kedah dan Sebarang Prai yang lebih awal daripada abad ke-7 Masihi. Antara tempat yang ditemui inskripsi dan stupa itu adalah di Cherok Tok Kun (Bukit Mertajam), Seberang Prai, Bukit Meriam, Bukit Choras di tebing Sungai Sala dan di tebing Sungai Bujang. Di samping itu terdapat juga inskripsi-inskripsi Budha Mahayana seperti yang dijumpai di Kampung Pangkalan Bujangdan di Kampung Sungai Mas.

Akan tetapi pada akhir abad ke-6 Masihi dan abad ke-7 Masihi telah berlaku pembaharuan dalam agama rasmi Kerajaan Pallawa. Raja-rajanya mula menerima agama Hindu (Sivaisme). Oleh kerana itu, Kedah juga mengamalkan agama Hindu. Berikutan itu, pendeta-pendeta Budha dari China mula berkurangan singgah di Kedah.

Mengikut laporan I-Tsing, Kedah telah dikuasai oleh Sriwijaya sekitar abad ke-7 Masihi namun agama Hindu masih menjadi anutan penduduk di Kedah. Orang Hindu di Kedah boleh bekerjasama dengan erat dengan orang-orang Budha dari Sriwijaya. Di Lembah Bujang telah ditemui bukti-bukti tentang penyembahan Siva dan Ganesa. Namun, terdapat juga candi-candi di bina bagi penyembahan Hindu atau Budha tantrik seperti yang terdapat di Bukit Batu Pahat.

Kedah menjadi sebuah pusat perdagangan yang maju sekitar abad ke-9 Masihi. Pada masa ini pusat pemerintahannya terletak di bahagian tengah Lembah Bujang. Ia merupakan pelabuhan utama kerajaan Sriwijaya masa itu. Akan tetapi pada awal abad ke 10 Masihi, nampaknya ibu kota kerajaan ini telah dipindahkan ke Kuala Sungai Merbok. Kemungkinan besar kuala itu lebih sesuai dijadikan pelabuhan.

Seawal abad ke-9 juga,  Kedah telah mempunyai hubungan dengan Dunia Arab (Islam). Buktinya ianya telah jumpaan syiling setengah dirham Zaman Khalifah al-Mutawalul (847 – 861 Masihi) bertarikh 848 Masihi telah dijumpai di Lembah Bujang. Di samping itu, perdagangan dengan China juga agak pesat zaman ini. Serpihan-serpihak tembikar dan kaca Zaman Tang telah ditemui di lembah itu.

Permusuhan antara Kerajaan Cola di Selatan India dengan Sriwijaya menyebabkan pihak Cola telah menyerang dan merosakkan Palembang dan Kedah sekitar 1025  Masihi. Selepas pengunduran tentera Cola, Kedah telah bangkit semula sebagai sebuah pelabuhan yang penting hingga mampu memberontak melawan Sriwijaya pada 1068 Masihi. Kerajaan Sriwijaya dengan bantuan Cola telah berjaya mematahkan pemberontakan itu. Di katakan Raja Wirarajendra Cola telah membantu Raja Sriwijaya dalam menundukan pemberontakan orang Kedah itu.

Pada abad ke 11 Masihi, Kedah menjadi semakin penting dengan pertambahan pedagang Arab (Islam) di Asia Tenggara. Orang memanggilnya Kallah. Mengikut pandangan Sarjana sejarah, H.G.Q Wales, pada orang Arab ada dua Kallah. Sebelum abad ke-11 Masihi, pelabuhan yang dipanggil Kallah oleh orang Arab itu sebagai Takuapa yang terletak di Pantai Barat wilayah Tambralingga di utara Kataha (Kedah). Akan tetapi  pada abad ke-11, pelabuhan Kallah yang disebut oleh pedagang-pedagang Arab itu adalah Kedah (Pengkalan Bujang).

Semasa perhubungan antara Kedah dan Dunia Arab semakin rancak, Kallah merupakan pelabuhan etrepot yang besar. Sejak abad ke 11 Masihi perdagangan dengan pihak China juga menjadi lebih pesat. Pelabuhan Bujang ketika itu menjadi pelabuhan antarabangsa yang penting bagi hasil dagangan timur-barat. Di samping peninggalan objek-objek dari Timur Tengah seperti lampu kaca Arab, botol-botol Arab dan tembikar Parsi, telah dijumpai juga di kawasan ini serpihan-serpihan tembikar China Zaman Sung dan Yuan.


Pada abad ke-13 Masihi, agama Budha Hinayana (Therawada) telah muncul kembali di sekitar Semenanjung hasi kegiatan seorang pemerintah Tambralingga yang dikenali sebagai Candrabhanu. Walaupun demikian tidak ada bukti yang menunjukkan perkembangan Budha Hinayana berasal dari Sri Lanka itu telah mempengaruhi Kedah. Candrabhanu nampaknya hanya menumpukan perhatian ke kawasan utara Kedah. Kedah pada abad ke-13 Masihi itu kelihatannya masih dikuasai oleh Sriwijaya.

1 comment:

  1. assalamualaikum, maaf menganggu Tuan Awang Adil. Boleh saya tahu nama buku rujukan yang Tuan Awang Adil gunakan untuk menulis tentang Kedah Tua ini?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...