Showing posts with label tan-tan. Show all posts
Showing posts with label tan-tan. Show all posts

Friday, October 18, 2013

TAN-TAN & PAN PAN DUA NEGERI MELAYU YANG SERING DI LUPAKAN

Pendahuluan

Semenanjung Malaysia ini pernah menyaksikan pelbagai kerajaan pernah wujud hinggalah sekarang. Sehingga 1957 terdapat dua belas negeri yang berlainan wujud di semenanjung. Sejarah 12 negeri ini cukup panjang untuk dikaji dan diselidik secara individu. Suatu masa dahulu, semenanjung ini juga pernah wujud pelbagai negeri dan sering dilawati oleh wakil-wakil dari Istana China. Namun, pengkaji tempatan gemar merujuk kepada Chih Tu dan Cheih Cha, dan sering melupakan tentang Tan Tan dan Pan Pan.

Tan Tan
Tan Tan pernah kami terbitkan di pautan ini. Perspektif artikel tersebut ditulis berdasarkan kepada pandangan Prof. Slamet Mulyana, seorang sejarahwan Belanda berbangsa Indonesia. Artikel tersebut menyimpulkan bahawa Tan Tan ini terletak di Tendong, satu daerah dalam jajahan Pasir Mas di Kelantan. Slamet Mulyana menjustifikasikan Tendong sebagai Tan Tan berdasarkan kedudukan Tendong di arah Barat Daya Telemong di Terengganu yang pada hematnya sama dengan To lo mo seperti mana yang tercatat dalam rekod China. Kali ini kami sampaikan satu lagi maklumat tentang Tan Tan menerusi perkspektif yang berbeza dan juga lebih tepat berbanding dengan pandangan dalam artikel kami yang terdahulu.

Menurut Paul Wheatly yang menterjemah rekod China yang bertajuk Tung Tien, Tan Tan ini buat pertama kali muncul dalam rekod China semasa pemerintahan Dinasti Sui dan terletak di arah Barat Daya To lo mo. Wheatly menyatakan bahawa To Lo Mo ini sama dengan Taruma sebuah kerajaan kuno di Jawa yang kini menjadi Jakarta.

Bedasarkan Tung Tien, Tan Tan ini digambarkan mempunyai struktur pentadbiran yang kompleks dengan mempunyai raja yang dikenali sebagai Sha Li dan Sha Li yang memerintah pada waktu itu bernama Shih ling chia. Ibu Kota Tan Tan mempunyai 20,000 keluarga dan rajanya agak sibuk kerana setiap hari baginda mempunyai dua sesi bertemu dengan rakyat iaitu pada waktu pagi dan petang. Baginda mempunyai 8 orang menteri yang dikenali sebagai Pa Tso yang terdiri daripada Brahman. Hasil negeri ini adalah emas, perak, kayu putih, kayu sapan dan buah pinang. Tanaman ruji adalah padi, manakala haiwan peliharaan adalah rusa, kambing, babi, gagak, angsa, itik, musang dan kijang. Burungnya pula terdiri daripada burung kenyalang dan merak.

Dari gambaran ini kita boleh bayangkan bahawa Tan Tan ini sebuah negeri yang makmur dan kaya, kerana itu ianya menarik perhatian pedagang China untuk singgah. Namun, tiada rekod menunjukkan Tan Tan menghantar perwakilan ke China.

Menjadi hal yang menarik untuk diperhatikan adalah mengenai lokasi Tan Tan yang sebenar. Mengikut Paul Wheatly berdasarkan inskripsi dari China, Tan Tan berkait rapat dengan Chih Tu kerana mereka berada di laluan dari laut selatan. Lokasi Chih Tu telah kita kenal pasti iaitu terletak di Pantai Timur Semenanjug di sekitar lembangan Sungai Kelantan manakala Tan Tan berkedudukan sedikit ke selatan di Kuala berkemungkinan di Besut atau di Kuala Terengganu.

Justifkasi dari Whealty ini agak kemas kerana di Besut pernah wujud satu kerajaan yang besar, begitu juga Kuala Terengganu yang kini merupakan ibu negeri Terengganu.

Pan Pan
Rekod China paling awal mencatatkan tentang kerajaan ini adalah Liang Shu pada bahagian Funan yang mengisahkan mengenai Kaundinya II yang menaiki takhta Funan. Kisahnya bermula apabila Funan tiada pengganti setelah kematian Chu Chan Tan. Kaundinya telah dilantik menjadi pengganti Raja Funan itu. Kaundinya ini juga merupakan seorang Brahman dari India dan dalam perjalanan beliau ke Funan beliau telah singgah di Pan Pan. Beginilah nama Pan Pan timbul dalam rekod China.

Mengikut pembacaan kami, nama Pan Pan ini dalam bahasa Sanskrit sinonim dengan Tambralingga dan hal ini banyak dibicarakan. Kami juga pernah menyatakan hal ini dalam artikel-artikel terdahulu semasa kami membuat penghuraian mengenai kerajaan Funan dan Champa. Namun, kali ini kita melihat Pan Pan dari sudut rekod China.

Liang Shu adalah catatan pertama yang merekod tentang Pan Pan. Namun setelah itu Pan Pan ini mempunyai bahagian khusus dalam Liang Shu setelah mereka mula menghantar delegasi ke Istana China pada tahun 424 – 453, 454-456, 457-464, 527, 529, dan 534. Selain dari itu, satu lagi rekod China juga mencatatkan kedatangan delegasi dari Pan Pan pada tahun 532 iaitu Nan Shih.

Setelah itu, nama Pan Pan ini timbul dalam rekod-rekod China yang berlainan. Rekod daripada Ma Tuan Lin dalam Wen hsien Tung Kao menghuraikan Pan Pan dengan jelas. Ma Tuan Lin menyatakan Kerajaan Pan Pan memulakan hubungan dengan China semasa pemerintahan Dinasti Liang (502 – 557), namun Wheatly menyatakan ianya bermula lebih awal lagi iaitu pada tahun 424. Kerajaan ini digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang kuat dan mewah. Rakyatnya hidup aman dan damai serta mempunyai kelengkapan tentera yang mencukupi serta mempunyai produk makanan yang unik.

Dari catatan Ma Tuan Lin ini, Wheatly menyimpulkan bahawa Pan Pan terletak di kawasan Pantai Timur semenanjung atau lebih tepat di kawasan segenting kra berhadapan dengan Champa dan dipisahkan oleh Teluk Siam. Pan Pan ini mempunyai perkaitan rapat dengan Patani kerana ibu negeri Patani sewaktu kegemilangannya terletak di kawasan Segenting Kra.

Tan Tan dan Pan Pan adalah nama China. Namun kita yakin nama Melayu bagi dua negeri ini adalah Terengganu (Tan Tan) dan Patani (Pan Pan). Terengganu adalah sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia manakala Patani berada di bawah Thailand (Siam).

Kesimpulan

Tan Tan dan Chih Tu membuka lembaran sejarah bahawa negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung mempunyai sejarah yang panjang dan unik. Pan Pan pula membuka pintu untuk kita teliti kegemilangan Bangsa Melayu. Apa yang pasti, kenapa sejarah negeri-negeri Pantai Timur tidak begitu menonjol dalam pengisahan sejarah Malaysia. Kita banyak mempelajari tentang sejarah Melaka, Johor dan Perak serta Pulau Pinang. Kenapa kita kurang mengetahui tentang sejarah negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak serta Sabah. Mungkinkah ada agenda tersembunyi?

Friday, May 24, 2013

“TAN-TAN” KERAJAAN SILAM YANG PERNAH WUJUD DI KELANTAN

Suatu waktu dahulu, di negeri Kelantan pada masa sekarang telah wujud beberapa buah kerajaan tua yang disebut dalam pelbagai catatan terutama dalam catatan China, India, Arab dan Parsi serta dalam catatan Eropah.

Antara nama negeri yang sering disebut adalah:
1) Medang Ghana
2)      Medang Kamulan
3)      Raktamrittika
4)      Tan-Tan
5)      Chih-Tu

5 nama kerajaan ini terletak dalam sempadan Kelantan pada zaman ini, nama Kelantan ini juga sebenarnya nama tua tetapi ianya diterjemah oleh pencatat mengikut maksud bahasa ibunda mereka.

Paling menarik, adalah tentang Tan-Tan kerana ianya disebut oleh I-Tsing iaitu seorang pendeta agama Budha yang ulung sewaktu zamanya. Beliau telah menghasilkan dua buah buku catatan yang menghuraikan secara terperinci Alam Nusantara memandangkan beliau telah tinggal lama di Nusantara setelah berhijrah dari Canton, China.

I-Tsing menyatakan bahawa Tan-Tan adalah sebuah negeri dibawah naungan Sriwijaya. Ianya adalah sebuah negeri yang kaya dengan mineral berharga seperti Emas, Perak dan Kaca.
Prof. Hsu-ts’io yang telah mengumpulkan semua rekod Tan-Tan dari pengembara China dalam artikel yang berjudul I Notes on Tan-Tan dalam Jurnal M.B.R.A.S vol XX seperti berikut:

1)      Rekod dari Liang Shu:
Pada tahun 530, Raja Tan-Tan mengirimkan utusan dan mempersembahkan ucapan yang muluk-muluk kepada Maharaja. Maharaja ini disamakan dengan mahamurah, memerintah rakyatnya dengan ramah, kepercayaannya kepada Ratnaraya sangah tabah. Ajaran Budha benar-benar meresap dalam tingkah lakunya. Itulah sebabnya maka pendeta Budha mengerumuni beliau; pelantikan Pendeta Buddha makin bertambah, semuanya hormat kepada baginda, yang kasih sayangnya meliputi segala umat, sehingga makhluk dari lapan penjuru dunia berkumpul. Betapa besar kekuasaan beliau untuk menaklukkan semua negeri-negeri tetangga hampir-hampir tidak terkatakan.
Saya berharap mudah-mudahan baginda berkenan memandang saya dan memberi kesempatan kepada utusan saya untuk bertemu muka dengan baginda. Saya mohon agar baginda suka menerima hadiah saya yang tidak seberapa berupa dua arca gading, dua pagoda, sejumlah agnimani, kapas dan minyak wangi.
Pada tahun pertama masa pemerintahan Ya-tung (tahun 535), Raja Tan-Tan mengirim utusan lagi dengan membawa emas, perak, kaca, minyak wangi, rempah-rempah, dan pelbagai barangan lain.

2)      Rekod dari Sui Shu, susunan Wei Cheng:
Negeri P’o-Li dapat dicapai dari Chio-chih melalui Chih-tu dan Tan-Tan. Dari timur ke barat jauhnya sepanjang empat bulan perjalanan, dari selatan ke utara 45 hari perjalanan. Adat istiadat negeri P’o-li sama dengan adat istiadat negeri Kemboja. Hasil buminya sama dengan negeri Campa. Pada tahun ke-12 semasa pemerintahan Ta-yih (tahun 616), negeri itu mengirim utusan ke China untuk mempersembahkan ufti, namun pemberian itu tidak dilanjutkan. Di sebelah selatan P’o-li terletak negeri Pan-Pan dan Tan-Tan. Dua negeri ini memberikan hasilnya sebagai ufti. Baik adat istiadat dan hasil buminya adalah sama.

3)      Rekod Hsin T’ang Shu:
P’o-li terletak disebelah tenggara Huang-wang (Campa), dapat dicapai dari Kocin-China melalui Chih-tu dan Tan-Tan. Lebar dan panjangnya beberapa ribu li. Di situ banyak kudanya. Negeri itu juga disebut Mali. Di sebelah timurnya terletak negeri Lo-tha.

4)      Rekod Nan Shih, susunan Li Yen Shu – maklumatnya hampir sama dengan rekod Liang Shu.

5)      Rekod dari Tung Tien susunan Tu You:
Berita tentang Tan-Tan kita ketahui pada masa pemerintahan Maharaja Sui. Letaknya di sebelah barat laut To lo modan di sebelah tenggara Chen Chow. Nama bangsa rajanya adalah Sha li.  Namanya sendiri Shih ling Chia. Ibu kotanya didiami oleh 20 000 keluarga.
Negeri ini mempunyai beberapa daerah untuk memudahkan pentadbiran kerajaan. Setiap hari, Rajanya akan berada di istana pada waktu pagi selama 2 jam dan 2 jam lagi disebelah petang. Mempunyai 8 orang menteri dari kalangan Pendeta. Wajah baginda diliputi bedak wangi, memakai mahkota terbuka bersabuk pita, pakaiannya berwarna awan pagi, sandalnya dibuat dari kulit, baginda akan menaiki tandu jika keluar tidak jauh dari istana dan akan menaiki gajah jika jauh dari istana. Dalam peperangan tetuang akan dibunyikan, genderang akan dipalu dan panji-panji akan di kibarkan. Undang-undangnya tidak pilih kasih. Barangsiapa mencuri akan dikenakan hukuman mati. Hasilnya: emas, perak, kayu cendana, kayu sapan, dan pinang. Juga menghasilkan padi. Binatang ternaknya : kambing, babi, ayam, angsa, itik, kijang dan rusa. Disitu ada burung kocin dan merak. Buah-buahan dan rumput air: anggur, delima, labu, lugenaria vulgaris, gangang dan teratai. Sayur mayurnya : brambang, bawang dan akar.

6)      Rekod dari Hsin Tang Shu, susunan Au Yang Hsiu
Tan-Tan terletak di sebelah tenggara Chen Chow dan di sebelah barat To lo mo, terbahagi kepada beberapa daerah. Di negeri itu terdapat banyak kayu cendana. Nama bangsa rajanya Sha-li dan namanya sendiri Shih Ling Chia. Baginda menjalankan tugasnya setiap hari dan mempunyai 8 menteri. Baginda memakai minyak wangi, mengenakan mahkota dengan pelbagai bulu-bulu yang mahal-mahal. Dalam perjalanan dekat, baginda naik kereta, tetapi dalam perjalanan jauh, naik gajah. Dalam peperangan tetuang dibunyikan dan genderang dipalu. Pencuri besar-kecil dihukum berat.
Pada masa pemerintahan Chien feng (666-667) dan Tsu-Cheng (668-669), negeri itu mempersembahkan ufti berupa hasil dalam negerinya. Negeri Lo yueh terletak 5000 li dari laut di sebelah utaranya. Di sebelah barat daya berbatasan Ko Ku Lo, menjadi pusat pertemuan para pedagang dan pusat lalu lintas. Adat istiadatnya sama dengan negara To-ho-po-ti (Dwarawati). Tiap tahun ada perahu dari negeri itu datang di Kanton, nakhkodanya memberi laporan ke istana.

7)      Rekod Nan-hai-chi-kuei-nei-fa-chuan, karangan I-Tsing;
Tan-tan termasuk salah satu negeri laut Selatan yang memeluk agama Budha, dan disebut sesudah Ho-ling.

8)      Rekod dari Tung Chih susunan Cheng-Ts’iao sama dengan rekod Tung Tien

9)      Rekod semasa pemerintahan Dinasti Ching
Tan-Tan terletak di pantai laut sejauh 130 hentian di sebelah barat daya Amoy. Adat istiadat, pakaian dan hasil buminya sama dengan Johor. Pelayaran dari Amoy ke Johor sejauh 180 hentian, ke Sengora dan Patani sejauh 150 hentian. Satu hentian kira-kira 60 li.

10)   Rekod dari Ming Shih
Tan-Tan dalam rekod Ming Shih, menurut Prof. Hsu, jelas sama dengan Kelantan. Nama Kelantan tidak disebut.

Prof. Hsu menduga bahawa Tan-Tan dari rekod Ming Shih, yang jelas sama dengan Kelantan, disebabkan kesilapan dalam menulis, kata “lan-tan” dijadikan “tan-tan”; “Ke” pada “Kelantan” kerana tidak mendapat tekanan, ianya diabaikan.


Berdasarkan rekod Ling-shu, Tan-Tan terletak di sebelah barat laut To-lo-mo. To-lo-mo adalah nama sungai di Terengganu, namanya sekarang adalah Telemong. Di sebelah barat laut Terengganu ialah Kelantan. Demikianlah, mungkin sekali Tan-Tan itu nama penempatan yang sekarang ini terletak 10 batu dari muara Sungai Kelantan antara 5-6 batu dari Kota  Bharu. Nama penempatan itu sekarang adalah Tendong. Itulah kesimpulannya.

Kedudukan antara Telemong dan Tendong

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...