TANAH MERAH satu daerah yang
sinonim tercatat dalam buku-buku sejarah yang lokasinya terletak di Kelantan.
Daerah ini sungguh terkenal semenjak ianya dikaitkan dengan satu nama dalam
catatan China Purba iaitu Chih Tu.Ramai antara kita terus mengia dan percaya begitu sahaja tanpa
membuat semakan. Sebenarnya, kita tidak boleh salahkan audien kerana hal ini
tiada tercatat dalam mana-mana catatan dari Bangsa Melayu. Ia hanya dijumpai
setelah pengkaji dari Barat membuka catatan-catatan kuno dari China.
Selain dari Chih Tu, masih ada
beberapa nama China yang merujuk kepada kerajaan-kerajaan kuno yang wujud di
Semenanjung Tanah Melayu seperti Fo lo an
(Terengganu), Lang Chia Su (Langkasuka), Chieh Cha (Kedah) dan beberapa
nama lagi. Fokus kini hanya pada The Red
Earth Land seperti mana tercatat dalam Chih Tu Kuo Chi. Rekod kuno China ini
telah diterjemahkan oleh Professor Paul Wheatly dalam Bahasa Inggeris yang
dibukukan dalam The Golden Khersonese
dan kami cuba terjemahkan ke Bahasa Melayu mengikut kefahaman kami yang terhad.
Berikut adalah terjemahan dari
Bahasa Inggeris mengenai Chih Tu dari teks Bahasa Cina kuno:
Kerajaan Chih Tu adalah sebahagian dari Funan, ianya terletak di Lautan
Selatan. Melalui jalan laut ianya dapat dicapai lebih dari 100 hari. Tanahnya
berwarna merah dan dari rupa tanah inilah kerajaan ini mendapat namanya. Di
timur ianya berjiran dengan Kerajaan Po
Lo La, di arah barat terletak Po Lo
So, dan di sebelah selatan adanya Ho
Lo Tan manakala di sebelah utaranya adalah lautan. Jarak negara ini beberapa
li. Chu Tan adalah nama keluarga
bagi Raja dan nama peribadinya adalah Li
fu to se. Beliau tidak mengetahui
apa-apa tentang negara-negara jauh. Bapanya memberi kuasa kepadanya untuk
menyebarkan ajaran Budha dan Li fu to se meneruskan amanat bapanya itu. Beliau
telah memerintah selama enam belas tahun dan mempunyai tiga orang isteri dari
kalangan anak-anak raja yang berjiran dengannya.
Takhtanya terletak di kota Seng-chih. Kota
ini mempunyai tiga pintu gerbang yang mempunyai beberapa ratus lapis. Setiap
pintu gerbang diwarnakan dengan dengan warna yang berkilauan, patung-patung
disusun dan ia dihiasi dengan bunga emas serta loceng suci. Wanita-wanita
memainkan alat muzik dan memegang bunga emas serta bau-bauan. Empat orang
lelaki memakai pakaian adat chin-kang di
sebelah pagoda Budha sebagai pengawalnya. Mereka mengawal diluar pintu gerbang
dengan dilengkapkan peralatan perang, ada juga bertugas di dalam kota dengan
memakai pakaian putih sepanjang jalan di dalam kota dan mengumpul bunga dalam
bakul putih. Semua bangunan dalam istana mempunyai tiang yang banyak dengan
pintu terletak di sebelah utara. Rajanya bersemayam di atas singgahsana bertingkat menghadap arah utara dengan memakai
pakaian berwarna merah-ros dengan mahkota emas berlarik serta memakai rantai
yang berhias pelbagi permata. Empat orang hamba di sebelah kiri dan kanannya
dan ratusan askar berkawal disekitar istana. Di atas singgahsana raja terdapat
ukiran kayu berkilauan dengan dilapisi emas, perak dan lima jenis kayu wangi
dan dibelakang singgahsana tersebut digantung lampu yang berkilauan. Di tepi
singgahsana terpacak dua cermin logam dan sekeliling singgahsana penuh dengan
peralatan dan perhiasan yang kebanyakkannya diperbuat daripada emas dan dihiasi
dengan batu permata. Beberapa ratus orang brahman duduk berhadapan di kedudukan
antara timur dan barat. Pegawainya terdiri daripada: seorang Sa t’o chia lo, dua orang T’o na ta yu, tiga orang Chia li mi chia untuk menguruskan hal
berkenaan hubungan politik; seorang Chu
lo mo ti mentadbir undang-undang jenayah. Setiap bandar melantik Na ya chia dan sepuluh orang Po ti.
Botak dan bersubang menjadi kewajiban bagi semua orang lelaki. Perayaan
yang mereka sambut tidaklah dijelaskan. Badan mereka dilumur dengan minyak.
Menjadi budaya menyembah Budha tetapi penghormatan tidak terhingga diberi
kepada Brahman. Orang perempuan pula memintal rambut dan dililit pada leher
mereka. Pakaian lelaki dan wanita diperbuat daripada ros dan bahan berwarna
yang biasa. Sedangkan keluarga kaya mempunyai banyak kelonggaran, mereka hanya
boleh memiliki loket emas dengan kebenaran raja. Untuk perkahwinan, hari-hari
bertuah akan dipilih. Lima hari sebelum perkahwinan, keluarga pengantin akan
mengadakan kenduri. Kemudian, ayah kepada pengantin perempuan akan menghantar
anaknya itu ke tangan menantunya. Pada hari ketujuh upacara perkahwinan itu pun
selesai dan pasangan itu secara sah disatukan. Selepas perkahwinan, harta akan
dibahagikan dan rumah akan dibina, tetapi anak lelaki yang bongsu harus tinggal
dengan ayahnya. Semasa upacara kematian, ahli keluarga si mati akan berkabung
dengan memakai pakaian biasa. Mayat si mati akan di letakan atas rumah rakit
yang diperbuat dari buluh dan
dihanyutkan kemudian, ianya dipungut kembali dan dibakar dalam satu upcara yang
suci. Kemudian, abu si mati akan diisi dalam balang emas dan disimpan di kuil.
Ia sentiasa hangat walaupun di
waktu musim sejuk. Ianya selalu hujan dan panas beberapa hari. Ia tiada musim
khusus untuk bercucuk tanam. Cuaca sebegini sesuai untuk penanaman padi, chi, kacang putih dan sayur-sayuran.
Barangan lain dikumpul untuk dihantar ke China. Arak dihasilkan daripada
campuran gula dan akar kayu ungu. Ia berwarna kuning kemerahan dengan rasa yang
manis. Ia juga dikenali sebagai arak kelapa.
Setelah Yang Ti menaiki
takhta, beliau telah melantik beberapa orang pegawai yang mempunyai pengetahuan
tentang negara-negara asing untuk mengadakan hubungan diplomatik. Pada tahun
ketiga Ta-yeh (607M) Chang Chun, menteri pertahanan dan Wang Chun Cheng,
menteri sumber bahan mentah, telah memohon untuk menjadi duta ke Chih tu.
Maharaja amat bersetuju dan telah mengirimkan 100 gulung sutera berserta
pakaian mengikut musim dan ditambah 5000
jenis hadiah Raja Chih Tu. Dalam bulan sepuluh (november atau awal
disember), Chang Chun belayar dari
pelabuhan Nan Hai (Canton). Selama 24 hari belayar siang dan malam dengan angin
yang baik (monsun tenggara) mereka telah sampai di gunung Chiao shih. Mereka
meneruskan pelayaran kearah timur laut dan sampai di pulau Ling chieh po pa to yang mengadap ke arah Lin yi (Campa) pada arah barat dan pulau ini mempunyai kuil di atas
puncaknya. Kemudian belayar ke arah selatan dan tiba di Shih tzu Shih (Pulau Batu Singa) tambahan di sekitarnya terdapat
rantaian pulau besar dan kecil. Selepas dua atau tiga hari pelayaran mereka
nampak gunung negara Lang ya shu. Kemudian mereka terus belayar ke arah selatan
ke pulau Chi lung (Sangkar Helang)
dan mereka tiba di sempadan Chih Tu dan mereka telah dijemput oleh Brahman Chiu mo lo dengan tiga puluh
jong yang dihantar oleh raja. Tetuang ditiup, gendang dipalu untuk meraikan
delegasi dari Sui dan kapal Chang
Chun telah ditambat dengan rantai besi. Ia mengambil masa sebulan untuk tiba ke
ibu negeri.
Na ya chia, putera raja dihantar untuk menyambut Chang
Chun dengan upacara sambutan yang sesuai. Mula-mula ia menghantar lelaki untuk
mempersembahkan dulang emas yang mengandungi bunga-bunga wangi, cermin dan sudu
emas, dua bekas minyak wangi; lapan pasu air suci, dan empat kaki kain putih dan
pakaian berlipat untuk setiap orang dalam delagasi gunakan untuk mandi. Hari
yang sama pada waktu Wei (pukul satu hingga tiga petang), putera raja sekali
lagi menghantar dua ekor gajah yang dilengkapi khemah diperbuat daripada bulu
merak untuk mengalu-alukan kedatangan duta dari China serta dulang emas yang
dihiasi bunga yang wangi untuk diletakan dikri. Seratus orang lelaki dan wanita
membunyikan loceng dan memukul gendang dan dua orang Brahman mengiringi
delegasi ke tempat di raja. Chang Chun mempersembahkan penghormatannya dalam
balairong di hadapan raja. Apabila ikrar sudah dibacakan oleh Chang Chun, semua
rombonganya dijemput untuk duduk dan musik india dimainkan. Apabila upacara ini
hendak berakhir, Chang Chun dan ahli rombongan memohon diri untuk kembali ke
tempat penginapan mereka, Brahman telah dihantar untuk meberikan mereka
makanan. Daun sebesar sepuluh kaki telah digunakan sebagai pinggan. Brahman
yang melayan Chang Chun telah berkata: “kami sekarang adalah penduduk Negara Berdaulat, dan kami bukan lagi
penduduk Chih tu. Makanlah makanan
yang kami hidangkan demi negara kamu yang gagah. Beberapa hari kemudian Chang
Chun dan ahli rombongannya telah dijemput menghadiri satu perayaan. Upacaranya
sama seperti sambutan perayaan pada pertemuan mereka yang pertama dengan
pengawal mengiringi mereka. Di hadapan raja disediakan dua buah meja yang penuh
dengan hidangan makan yang terdiri daripada pelbagai kuih muih, daging dan
buah-buahan. Chang Chun telah dijemput duduk di meja yang disediakan manakala
pengikutnya duduk di atas tanah. Semua orang mengambil gelas emas yang berisi
arak manakala pelayan memainkan muzik secara bergilir-gilir dan mereka diberi
hadiah yang berharga. Dalam masa yang sama Nan ya chia menawarkan barangan
tempatan sebagai penghargaan yang berupa emas, mahkota berbentuk kubis dan
kapur barus serta kepingan emas yang mengandungi dikri dan ditutup dengan bekas
emas. Brahman diarahkan mengiringi delegasi dengan menyiram minyak wangi serta
memainkan loceng dan gendang.
Dalam pelayaran pulang semasa tiba di kuala, mereka melihat sekawan
ikan berwarna hijau terbang di permukaan air. Selepas belayar di laut lebih
dari sepuluh hari ke arah tenggara, mereka telah nampak kawasan pergunungan Lin
i dan menerusi selat seluas seribu bahagian yang udaranya kering dan berwarna
kekuningan. Suasana sebegini dikatakan akibat hembusan nafas dari ikan besar.
Menerusi pesisir pantai utara, mereka telah sampai di Chio Chih. Pada musim bunga tahun ke enam Ta Yeh, Chang
Chun bersama-sama Na ya chia telah mengadap Maharaja di Hung nung. Chang Chung
telah dianugerahkan pangkat Ping i wei (pegawai keadilan). Na ya chia dan
pengikutnya pula telah dianugerahkan pangkat dan hadiah mengikut darjat mereka.
Dari terjemahan ini kita dapat
gambarkan bahawa Chih Tu bukan sembarangan negara walaupun ianya adalah sebuah
negara di bawah naungan Funan. Namun dari rekod China juga menunjukkan
kunjungan Chang Chun, duta dari China ke Chih Tu sebagai satu simbolik
pengiktirafan China kepada Chih Tu sebagai sebuah negara yang berdaulat dan
merdeka dari Funan. Hal ini dibuktikan dengan Maharaja Sui ketika itu juga
telah mengurniakan pangkat kepada putera Chih Tu iaitu Na Ya Chia dan secara
tidak langsung meletakan Chih Tu di bawah naungan China.
Seperti negara-negara kuno yang
lain, Chih Tu juga tenggelam di telan masa. Pengkaji Barat yang pertama
mengkaji tentang Chih Tu adalah Abel
Remusat (1829), de Rosny & Schlegal (1898), Aymonier (1903), Hirth and
Rockhil, Peliot (1903) dan Le May
(1938). Pada tahun 1829, Abel Remusat mentafsirkan Chih Tu terletak di
perairan Siam seperti mana yang
dicatatkan oleh sarjana dari China dan pernyataan ini dipersetujui oleh
pengkaji seterusnya.
Namun, pengkaji-pengkaji
seterusnya menolak siam sebagai tapak Chih Tu termasuklah seorang pengkaji dari
Barat iaitu Kern yang menyatakan
bahawa Chih tu ini terletak di Semenanjung
Tanah Melayu. pada tahun 1919, Ferrand
menyatakan Chih Tu terletak di Segenting Kra, kemudian Moen
dan Coedes menyatakan Chih Tu
terletak di Patalung tetapi dibangkang oleh Briggs yang menyatakan bahawa ianya terletak di Patani dan ianya
disokong oleh Luce, manakala Wales dengan penuh yakin menyatakan
ianya terletak di Kedah.
Pengkaji Bangsa Asia juga tidak
ketinggalan dalam mengkaji tentang Chih Tu. Khun Ciri Vadhana Anadra dan Takakuwa Komakichi (1925) menyatakan
bahawa Chih Tu ini terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu. selain dari itu,
pengkaji Jepun di bawah Sekolah Sejarah Geografi pada tahun 1920-50an giat mengkaji
tentang lokasi kerajaan-kerajaan kuno dan dalam hal ini mereka lebih fokus
kepada selatan Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Sumatera. Contohnya, Kuwata Rokuro (1919) menyatakan
Palembang sebagai Chih Tu, Miyaki
Ichisada (1950) menyatakan Jambi, manakala Adachi Kiroku & Yamamoto Tatsuro (1951) menyatakan Selatan Semenanjung
Tanah Melayu.
Terdapat juga pengkaji dari China
sendiri iaitu Feng Cheng Chun dan Hsu Yun Tsio. Feng Cheng Chun
menyatakan Chih Tu Terletak di tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu manakala
Prof. Hsu menyatakan ianya terletak di Singgora. Dr. Kern mengaitkan Chih Tu
ini dengan Raktamrittika yang bermaksud Tanah Merah dalam Inskripsi sanskrit dari Kedah dan
ditambah dengan terdapatnya nama TANAH
MERAH dalam peta topografi Malaysia pada masa ini.
Apa yang menarik disini adalah
mengenai lokasi Ibu Negeri Chih Tu yang bernama Seng Chih (Kota Singa). Catatan dari Chih Tu Kuo Chi menyatakan
seperti berikut:
“Takhtanya terletak di kota Seng-chih. Kota
ini mempunyai tiga pintu gerbang yang mempunyai beberapa ratus lapis.”
“Kemudian mereka terus belayar ke arah selatan ke pulau Chi lung (Sangkar Helang) dan mereka
tiba di sempadan Chih Tu dan mereka telah dijemput oleh Brahman Chiu mo lo dengan tiga puluh jong yang dihantar oleh raja.
Tetuang ditiup, gendang dipalu untuk meraikan delegasi dari Sui dan kapal Chang Chun telah ditambat
dengan rantai besi. Ia mengambil masa
sebulan untuk tiba ke ibu negeri.”
Sebulan perjalanan daripada
pelabuhan, dan ini bermakna ianya terletak di pedalaman kawasan semenanjung dan
sudah semestinya kota ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu
yang kini merupakan kawasan hutan tebal. Paul
Wheatly menyatakan ianya terletak sama ada di Ulu Kelantan atau Ulu Pahang.
Dapatan kajian tempatan menyatakan bahawa di Hulu Kelantan wujud pusat
pemerintahan Cik Siti Wan Kembang iaitu di Gunung Chintawangsa dan di Ulu
Pahang yakni di Merapoh dalam daerah Kuala Lipis yang juga wujud tapak kota
kuno.
Ini menunjukkan bahawa Chih Tu
ini adalah sebuah negara yang besar di Semenanjung Tanah Melayu suatu masa
dahulu. Merangkumi Kelantan, hulu Pahang dan hulu Terengganu dan ianya mendapat
pengiktirafan daripada Mahajara China. Nama sanskritnya adalah Raktamrittika
dan menurut pengkaji sejarah tempatan dari Kelantan iaitu Nakula, Raktamrittika ini telah
mengisytiharkan kemerdekaan daripada Funan dan menamakan negara mereka sebagai Sriwijaya
Mala.