Pendahuluan
Semenanjung Malaysia ini pernah
menyaksikan pelbagai kerajaan pernah wujud hinggalah sekarang. Sehingga 1957
terdapat dua belas negeri yang berlainan wujud di semenanjung. Sejarah 12
negeri ini cukup panjang untuk dikaji dan diselidik secara individu. Suatu masa
dahulu, semenanjung ini juga pernah wujud pelbagai negeri dan sering dilawati
oleh wakil-wakil dari Istana China. Namun, pengkaji tempatan gemar merujuk
kepada Chih Tu dan Cheih Cha, dan sering melupakan tentang
Tan
Tan dan Pan Pan.
Tan Tan
Tan Tan pernah kami terbitkan di
pautan ini. Perspektif artikel tersebut ditulis berdasarkan kepada pandangan
Prof. Slamet Mulyana, seorang sejarahwan Belanda berbangsa Indonesia. Artikel
tersebut menyimpulkan bahawa Tan Tan ini terletak di Tendong, satu daerah dalam
jajahan Pasir Mas di Kelantan. Slamet Mulyana menjustifikasikan Tendong sebagai
Tan Tan berdasarkan kedudukan Tendong di arah Barat Daya Telemong di Terengganu yang pada hematnya sama dengan To lo mo seperti mana yang tercatat
dalam rekod China. Kali ini kami sampaikan satu lagi
maklumat tentang Tan Tan menerusi perkspektif yang berbeza dan juga lebih tepat
berbanding dengan pandangan dalam artikel kami yang terdahulu.
Menurut Paul Wheatly yang
menterjemah rekod China yang bertajuk Tung
Tien, Tan Tan ini buat pertama kali muncul dalam rekod China semasa
pemerintahan Dinasti Sui dan terletak di arah Barat Daya To lo mo. Wheatly
menyatakan bahawa To Lo Mo ini sama dengan Taruma
sebuah kerajaan kuno di Jawa yang kini menjadi Jakarta.
Bedasarkan Tung Tien, Tan Tan ini
digambarkan mempunyai struktur pentadbiran yang kompleks dengan mempunyai raja
yang dikenali sebagai Sha Li dan Sha Li yang memerintah
pada waktu itu bernama Shih ling chia. Ibu
Kota Tan Tan mempunyai 20,000 keluarga dan rajanya agak sibuk kerana setiap
hari baginda mempunyai dua sesi bertemu dengan rakyat iaitu pada waktu pagi dan
petang. Baginda mempunyai 8 orang menteri yang dikenali sebagai Pa Tso yang
terdiri daripada Brahman. Hasil negeri ini adalah emas, perak, kayu putih, kayu
sapan dan buah pinang. Tanaman ruji adalah padi, manakala haiwan peliharaan
adalah rusa, kambing, babi, gagak, angsa, itik, musang dan kijang. Burungnya
pula terdiri daripada burung kenyalang dan merak.
Dari gambaran ini kita boleh
bayangkan bahawa Tan Tan ini sebuah negeri yang makmur dan kaya, kerana itu
ianya menarik perhatian pedagang China untuk singgah. Namun, tiada rekod
menunjukkan Tan Tan menghantar perwakilan ke China.
Menjadi hal yang menarik untuk
diperhatikan adalah mengenai lokasi Tan Tan yang sebenar. Mengikut Paul Wheatly
berdasarkan inskripsi dari China, Tan Tan berkait rapat dengan Chih Tu kerana
mereka berada di laluan dari laut selatan. Lokasi Chih Tu telah kita kenal
pasti iaitu terletak di Pantai Timur Semenanjug di sekitar lembangan Sungai
Kelantan manakala Tan Tan berkedudukan sedikit ke selatan di Kuala
berkemungkinan di Besut atau di Kuala Terengganu.
Justifkasi dari Whealty ini agak
kemas kerana di Besut pernah wujud satu kerajaan yang besar, begitu juga Kuala
Terengganu yang kini merupakan ibu negeri Terengganu.
Pan Pan
Rekod China paling awal
mencatatkan tentang kerajaan ini adalah Liang
Shu pada bahagian Funan yang
mengisahkan mengenai Kaundinya II yang
menaiki takhta Funan. Kisahnya bermula apabila Funan tiada pengganti setelah
kematian Chu Chan Tan. Kaundinya telah dilantik menjadi pengganti Raja Funan
itu. Kaundinya ini juga merupakan seorang Brahman dari India dan dalam
perjalanan beliau ke Funan beliau telah singgah di Pan Pan. Beginilah nama Pan
Pan timbul dalam rekod China.
Mengikut pembacaan kami, nama Pan
Pan ini dalam bahasa Sanskrit sinonim dengan Tambralingga dan hal ini banyak
dibicarakan. Kami juga pernah menyatakan hal ini dalam artikel-artikel
terdahulu semasa kami membuat penghuraian mengenai kerajaan Funan dan Champa.
Namun, kali ini kita melihat Pan Pan dari sudut rekod China.
Liang Shu adalah catatan pertama
yang merekod tentang Pan Pan. Namun setelah itu Pan Pan ini mempunyai bahagian
khusus dalam Liang Shu setelah mereka mula menghantar delegasi ke Istana China
pada tahun 424 – 453, 454-456, 457-464, 527, 529, dan 534. Selain dari itu,
satu lagi rekod China juga mencatatkan kedatangan delegasi dari Pan Pan pada
tahun 532 iaitu Nan Shih.
Setelah itu, nama Pan Pan ini
timbul dalam rekod-rekod China yang berlainan. Rekod daripada Ma Tuan Lin dalam
Wen hsien Tung Kao menghuraikan Pan
Pan dengan jelas. Ma Tuan Lin menyatakan Kerajaan Pan Pan memulakan hubungan
dengan China semasa pemerintahan Dinasti Liang (502 – 557), namun Wheatly
menyatakan ianya bermula lebih awal lagi iaitu pada tahun 424. Kerajaan ini
digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang kuat dan mewah. Rakyatnya hidup aman
dan damai serta mempunyai kelengkapan tentera yang mencukupi serta mempunyai
produk makanan yang unik.
Dari catatan Ma Tuan Lin ini,
Wheatly menyimpulkan bahawa Pan Pan terletak di kawasan Pantai Timur
semenanjung atau lebih tepat di kawasan segenting kra berhadapan dengan Champa
dan dipisahkan oleh Teluk Siam. Pan Pan ini mempunyai perkaitan rapat dengan
Patani kerana ibu negeri Patani sewaktu kegemilangannya terletak di kawasan
Segenting Kra.
Tan Tan dan Pan Pan adalah nama
China. Namun kita yakin nama Melayu bagi dua negeri ini adalah Terengganu (Tan
Tan) dan Patani (Pan Pan). Terengganu adalah sebuah negeri dalam persekutuan
Malaysia manakala Patani berada di bawah Thailand (Siam).
Kesimpulan
Tan Tan dan Chih Tu membuka
lembaran sejarah bahawa negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung mempunyai
sejarah yang panjang dan unik. Pan Pan pula membuka pintu untuk kita teliti
kegemilangan Bangsa Melayu. Apa yang pasti, kenapa sejarah negeri-negeri Pantai
Timur tidak begitu menonjol dalam pengisahan sejarah Malaysia. Kita banyak
mempelajari tentang sejarah Melaka, Johor dan Perak serta Pulau Pinang. Kenapa
kita kurang mengetahui tentang sejarah negeri Kelantan, Terengganu, Pahang,
Sarawak serta Sabah. Mungkinkah ada agenda tersembunyi?
No comments:
Post a Comment