KUNTALA (KAN-T’O-LI)
Bunga Kantoli |
Kuntala merupakan sebuah Negara
Kota perdagangan yang penting dan telah muncul di Sumatera sekitar abad ke-5
Masihi. Kerajaan berkemungkinan wujud kesan dari aktviti perdagangan yang aktif
di antara China dan kepulauan Asia Tenggara pada waktu itu. Daripada
catatan-catatan China menunjukkan kerajaan ini menjalankan perdagangan hasil
yang dibawa dari Asia Barat di samping barangannya sendiri. Pada abad ke-5
Masihi, barangan tempatan Asia Tenggara masih belum popular di China. Oleh kerana
itu, barang dagangan Kan-T’o-Li yang
di bawa ke China sebahagian besarnya adalah hasil-hasil dagangannya dengan
Parsi atau negara-negara lain di Asia Tenggara.
Catatan China buat pertama kali
menyebut tentang kerajaan ini pada tahun 441 Masihi, apabila Kuntala menghantar
perwakilannya ke istana China. Utusan kedua dihantar pada tahun 455 Masihi
ketika kerajaan itu diperintah oleh seorang raja yang dikenali sebagai Sri Waranarendra (454-464 Masihi). Raja
ini dipercayai beragama Hindu. Utusan dari Kuntala ini berterusan sehinngga
tahun 502 Masihi. Pada 502 Masihi, satu utusan telah dikirimkan oleh Raja Gautama Subhadra yang beragama
Budha ke istana Liang yang baru mengambil alih pemerintahan China Selatan sehingga tahun 556 Masihi.
Utusan dari Kan-To-li yang berikutnya yang dihantar ke China adalah pada tahun
518 dan 520 Masihi ketika ianya diperintah oleh Raja Vijayawarman. Setelah pada itu, Kantoli tidak lagi mengirim
utusan sehingga tahun 560 Masihi iaitu setelah Selatan China diperintah oleh
Bangsa Ch’en. Perutusab terakhir dari Kantoli adalah pada tahun 563 Masihi.
Seterusnya, tiada lagi nama kerajaan ini dicatat dalam rekod China.
Kantoli ini sering disebut dalam
rekod China pada abad 5 dan 6 Masihi namun lokasinya tidak dapat dipastikan
dengan tepat. Liang Shih (502 – 556 Masihi)
mencatatkan bahawa negeri Kantoli ini terletak di sebuah pulau di laut selatan. Adat istiadatnya sama dengan
Kemboja dan Campa. Negeri ini dikatakan menghasilkan pakaian yang
berbunga-bunga, kapas dan pinang. Catatan Liang Shih ini tidak menentukan
lokasi yang tepat negeri ini di laut selatan. 7 abad kemudian, nama Kantoli ini
disebut semula dalam Ming Shih (Sejarah
Ming). Ming Shih mencatatkan bahawa Kantoli adalah nama lama bagi San-fo-tsi
(Suwarnabhumi). Kenyataan daripada Ming Shih ini menjelaskan sedikit
sebanyak tentang kedudukan Kantoli. Sekiranya catatan Ming Shih ini benar, maka
Kantoli ini boleh dikatakan terletak di muara Sungai Batang Hari yang merupakan
pelabuhan utama San-fo-tsi. Slamet Muljana menyatakan bahawa kantoli mungkin
nama asal sebuah tempat yang bernama Tungkal
berhampiran Jambi.
Pada abad ke-5 dan 6 masihi,
Kantoli telah memainkan peranan penting dalam perdagangan Po-ssu (barang-barang dagangan Parsi). Mengikut O.W. Wolters,
ketika Kantoli menghantar utusan, terdapat juga beberapa kerajaan dari Asia
Tenggara menghantar utusan mereka ke China dan ini menunjukkan bahawa aktiviti
perdagangan begitu memuncak di rantau ini ketika Kansu ditakluki oleh
Kerajaan Wei Utara. Peraka ini telah menyebabkan raja Liu Sung dari selatan
terpaksa menggunakan jalan laut untuk mendapatkan barang mewah dari Barat.
Justeru itu, Kantoli mengambil kesempatan ini untuk memainkan peranan penting
dalam perdagangan timur-barat.
Setelah bangsa Liang mengambil
pemerintahan bahagian selatan China pada tahun 502 Masihi, perdagangan antara
China dan Kepulauan Asia Tenggara semakin meningkat. Oleh kerana itu, Kantoli
telah menghantar lebih banyak utusan iaitu pada tahun 518, 520, 560 dan 563
Masihi. Antara barangan ufti yang dihantar ke China merupakan bau-bauan dan
ubat-ubatan. Dupa, Mur, dan Kemenyan dari Asia Barat dan Gaharu, Kemenyan serta
kapur barus dari Asia Tenggara mungkin barang yang dihantar oleh kerajaan
Kantoli.
Menjelang abad ke 7 masihi, nama
Kantoli tidak lagi disebut dalam rekod China. Hal ini berkemungkinan kerajaan
ini sudah tidak lagi wujud atau ditakluki oleh kerajaan tetangga. Pada abad
ke-7 masihi juga telah muncul berita tentang dua buah kerajaan lain di sekitar
laut selatan dalam rekod Cina iaitu Kerajaan
Malayu dan Sriwijaya. Berkemungknan
besar, Kerajaan Malayu telah menakluki Kantoli ini, memandangkan kedua-dua
kerajaan ini wujud di Muara Sungai Batang Hari, Jambi.
Mengikut Sejarah Baru Wangsa Tang kerajaan Malayu buat pertama kalinya mengirimkan utusan ke China pada tahun 644
masihi, iaitu ketika kerajaan Kantoli sudah tidak lagi wujud. Kemungkinan besar,
di antara tahun 563 Masihi hingga 644 Masihi itu telah berlaku pergolakan besar
di Pantai Timur Sumatera hingga menyebabkan Kantoli runtuh dan wujudnya
Kerajaan Malayu dan Sriwijaya.
No comments:
Post a Comment