Friday, June 14, 2013

PERKEMBANGAN PERDAGANGAN DI ASIA TENGGARA : EMAS

Maharaja Rom : Vespasian 

Pedagang India mula berlumba-lumba keluar mencari Pulau / Semenanjung / Bumi Emas ini apabila bekalan emas dari empayar Rom terhenti ekoran Maharaja Vespasian (69-79 Masihi) telah mengharamkan pengeksportan wang-wang syiling emas Rom yang merupakan punca emas bagi India setelah bekalan emas dari kawasan Siberia tersekat akibat kekacauan yang berlaku di Asia Tenggara.

Penciptaan kapal-kapal layar dan teknik pelayaran yang lebih baik juga telah menggalakkan ahli pelayaran dan pedagang keluar mencari pulau-pulau emas itu. Sesetengah kapal itu dikatakan boleh membawa muatan seberat 600 – 700 tan kargo. Sejarahwan India menyatakan bahawa penduduk pesisir pantai India sudah pun mempunyai kemahiran belayar di laut lepas sejak beberapa abad selepas Masihi.

Perkembangan dalam agama Budha juga telah membawa kepada perhubungan perdagangan di antara India dengan Asia Tenggara. Mazhab pecahan yang dikenali sebagai Budha Mahayana telah membuka peluang kepada pengikut-pengikutnya menceburkan diri ke dalam dunia yang dinamik dan berkembang kerana ianya tidak menekankan aspek peningkatan diri untuk mencapai nirwana. Pada masa ini, pelaut-pelaut India lebih ramai menyembah dewa yang dikenali sebagai Budha Dipamkara, yang dianggap sebagai “dewa penenteram gelombang”. Disamping itu pedagang-pedagang India yang beragama Budha ini tidak terikat dengan hukum manu seperti pedagang Hindu yang mengharamkan pelayaran menyeberang laut.

Seawal abad ketiga masihi telah wujud sebuah pusat agama Budha di pinggir Delta Sungai Merah di Vietnam. Ia mempunyai tidak kurang dari 20 buah candi dan lebih dari 500 orang sami yang tinggal disitu. Di samping itu, Sriwijaya di pantai timur Sumatera juga telah menjadi pusat agama Budha Mahayana yang penting sekitar abad keenam masihi.

Kepentingan perdagangan Cina juga telah memabawa kepada kemajuan perdangangan kelautan melalui Asia Tenggara. Kekacauan di bahagian Asia Tengah telah menyebabkan oihak Cina terpaksa iaitu dari Dinasti Han 190-225 Masihi terpaksa mencari jalan dagangan melalui jalan laut di selatan bagi menghubungkan China dengan dunia Barat. Disamping itu galakan yang diberi oleh Dinasti Wu 220-264 Masihi di Selatan China untuk mengimport barang-barang dari barat seperti kain kapas India, barang-barang kemas, getah-getah pokok, mutiara, batu permata, barang-barang kaca dan sebagainya telah meningkatkan perdagangan melalui jalan laut ini, dan jalan ini pastilah melalui Kepulauan Nusantara.

Dalam usaha memperoleh barang-barang dagangan dari luar inilah, pelaut-pelaut Cina kemudiannya telah menemui jalan baru yang merentasi Laut China Selatan di sebelah timurnya. Jalan baru ini membawa kapal-kapal Cina ke Borneo, Jawa dan Sumatera Selatan. Dengan penemuan jalan baru ini telah menembungkan pedagang-pedagang Cina dengan pedagang-pedagang India yang memang telah lama berdagang di pelabuhan-pelabuhan Nusantara terutama di sekitar Selat Sunda. Pertembungan ini telah meningkatkan perdagangan yang sedia telah terjalin.

Kemunculan pedagang-pedagang dari China di pelabuhan-pelabuhan kepulauan ini telah menggembirkan pedagang tempatan kerana ianya telah memecahkan monopoli Funan dan pada ketika itu banyak pelabuhan-pelabuhan ini berlumba-lumba mengaku tunduk kepada kerajaan Cina. Di antara negeri-negeri ini ialah sebuah negeri di selatan Sumatera yang dikenali oleh orang Cina sebagai Ko-ying dan sebuah lagi ialah di barat Jawa yang orang Cina kenali sebagai Ho-lo-tan.

 Kemunculan negeri-negeri yang kaya dan kuat di sekitar selatan Sumatera telah berjaya mengekang aktiviti lanun di Selat Melaka dengan menggunakan khidmat pelaut-pelaut Melayu yang arif tentang perairan rantau ini dan jasa mereka telah dibayar cara pemberian hadiah (kekayaan) dan pangkat (kuasa). Setelah kegiatan lanun di selat Melaka dibenteras, pedagang dari India tidak lagi perlu merentasai Segenting Kra, keadaan ini telah mewujudkan beberapa negeri baru disekitar pantai timur Sumatera di pesisir Selat Melaka. Hal ini telah membolehkan sebuah negeri baru yang dikenali oleh orang Cina sebagai Kan-to-li muncul dan mengambil alih peranan ko-ying dan Ho-lo-tan sebagai penguasa kelautan sekitar Asia Tenggara kerana kedudukan negeri ini lebih strategik.   


Perdagangan secara terus dengan China telah menggalakkan lebih banyak negeri Kuala Sungai di Jawa dan Sumatera menghantar hasil-hasil mereka terus ke China. Kapal-kapal dari kawasan ini telah belayar terus ke China membawa barang-barang seperti rempah ratus dan membawa balik barang-barang China seperti seperti sutera, tembikar dan alat-alat besi. Hingga abad ke 11 Masihi, perdagangan kawasan Nusantara dan China dikawal oleh kapal-kapal orang Melayu. Kapal Melayu juga mengendalikan perdagangan antara Sri Lanka dan kepulauan Asia Tenggara kerana sehingga abad ke-6 masihi kapal-kapal Parsi tidak pernah melampaui pulau itu ke Timur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...