Wednesday, June 19, 2013

Hipotesis perkembangan pengaruh India di Asia Tenggara



 
Patung Budha Dipankara (Penenang Gelombang)

 Pembuka Bicara

Terdapat 3 hipotesis utama tentang proses perkembangan pengaruh India dia Asia Tenggara ini, iaitu hipotesis Visya, Kastria dan Brahmin. Hipotesis Visya buat pertama kali dikemukakan oleh N.J. Krom dan disokong oleh G.Coedes dan beberapa sarjana lain. Krom menyatakan bahawa orang India yang mula-mula datang ke Asia Tenggara sebagai pedagang dan ada antara mereka telah berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap disini. Demi kepentingan anak-anak mereka, pendeta-pendeta Brahmin telah dijemput dari India untuk mengajar anak-anak mereka. Pendeta-pendeta ini kemudiannya dikatakan telah berjaya mempengaruhi pemimpin tempatan dan menyusun Pentadbiran mengikut sistem raja-raja India. Mereka juga dikatakan telah memperkenalkan undang-undang, adat istiadat DiRaja, kesusateraan dan kepercayaan India dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara.

Hipotesis Visya

Hipotesis ini dikemukakan oleh Krom dan ianya telah dikembangkan lagi oleh Coedes yang mengatakan bahawa orang India datang secara beramai-beramai ke rantau ini untuk mencari Emas. Namun Coedes mempersoalkan tentang kedatangan orang Brahmin yang dikatakan oleh Krom.

Coedes telah mengemukakan pendapatnya tentang perkembangan kebudayaan India di Asia Tenggara ini berlaku dari kesan perdagangan. Para pedagang India yang terdiri daripada kasta Visya merupakan pembawa budaya India ini dan dalam masa perhubungan mereka dengan penduduk tempatan telah menyebarkan budaya mereka itu.

Coedes menjelaskan bahawa EMAS menjadi faktor utama kedatangan beramai-ramai pedagang India ke rantau ini. Pada dua abad sebelum memasuki tahun Masihi, India telah hilang sumber emas dari Siberia kerana berlaku kekacauan di Asia Tengah yang telah menyekat jalan perdagangan emas itu. Hal ini telah membuatkan India terpaksa mengimport bekalan emas dari ROM pada abad pertama Masihi. Namun aktiviti ini telah mengancam kestabilan ekonomi Rom hingga menyebabkan Maharaja Vespasian (69-79 Masihi) terpaksa mengharamkan pengeksportan syiling emas itu. Perkara ini telah menyebabkan India sekali terpaksa mencari sumber lain untuk bekalan emas dan tumpuan mereka kali ini mereka mengalihkan perhatian mereka ke Suwarnabhumi (Bumi Emas) dan Suwarnadwipa (Pulau/Semenanjung) yang terdapat di Asia Tenggara. 

Begitulah kenyataan tentang hipotesis Visya. Ianya telah membuka jalan buat para pengkaji dalam merintis jalan mencari asal usul dan ianya juga telah menimbulkan beberapa persoalan, antaranya ialah: 

1) Bagaimanakah para pendeta yang terdiri daripada golongan Visya itu dapat menyebarkan agama Hindu dan Bahasa Sanskrit yang kompleks dan hanya difahami oleh golongan kasta atasan  iaitu Brahmin.

2) Bagaimanakah mungkin golongan Brahmin ini yang menganggap menyeberangi lautan atau "air hitam" dan berhubung dengan orang gasar asing  sebagai satu pencemaran.

Untuk soalan pertama, Krom telah menjelaskan bahawa para Brahmin itu telah dijemput oleh golongan Visya untuk menjadi guru kepada anak-anak mereka. Namun ini tidak menyelesaikan persoalan ini malah telah merumitkannya lagi. Kasta Brahmin ini merupakan kasta tertinggi dalam masyarakat Hindu dan mereka dilarang bercampur gaul dengan kasta-kasta rendah tetapi juga di luar kasta.

Soalan kedua ini juga telah dikemukakan Coedes dengan alasan untuk mewajarkan bahawa golongan Visyalah yang telah membawa budaya India ke Asia Tenggara dengan menyatakan bahawa bukan golongan Brahmin tetapi pendeta-pendeta Budha yang menyuburkan Budaya India ini.

Coedes mengatakan dengan tertubuhnya agama Budha sekitar abad ke 6 SM, ramai orang India yang telah memeluk agama ini dan dengan berbuat demikian membolehkan mereka menghapuskan halangan-halangan kasta dan kepercayaan tidak boleh bergaul dengan orang asing. Mengikut pandangan Coedes pendeta-pendeta Budha ialah golongan cendiakiawan yang mengikuti golongan Visya belayar ke Asia Tenggara dengan tujuan untuk menyebarkan agama Budha. Mereka ini jugalah yang menyebarkan budaya India dan bahasa Sanskrit yang kompleks itu kepada penduduk tempatan. Pada peringkat awal, ramai penduduk Asia Tenggara yang menyembah salah satu daripada dewa agama itu yang dikenali sebagai Budha Dipankara (Penenteram Gelombang) yang dianggap sebagai dewa pelindung pelaut-pelaut. Berhala-berhala dewa ini banyak ditemui di sekitar Semenanjung.

Dipankara sebenarnya salah seorang pendeta Budha yang pernah belayar ke Suwarnadwipa (Semenanjung Emas) untuk menuntut ilmu dari seorang pendeta Budha yang terkenal pada masa itu bernama Chandrakirti. Nama sebenarnya ialah Dipankara Sri Jnana atau Atisa. Beliau telah menuntut di Suwarnadwipa selama 12 tahun dan menjadi seorang pendeta yang terkenal. Beliau telah dijemput oleh pemerintah Tibet dan dijadikan ketua agama Budha Tibet dengan gelaran Supreme Lord (Tuhan yang agung). Di kalangan pelaut-pelaut beliau diingati sebagai seorang pendeta yang dapat mententeramkan laut yang bergelora dan akhirnya beliau disembah sebagai Dewa Penaung Pelaut.

Teori Visya yang dikemukakan Krom dan Coedes ini menggambarkan bahawa penyebaran Budaya India berlaku dalam keadaan aman dan beransur-ansur melalui perdagangan dengan golongan elit tempatan. Oleh kerana itu, didapati unsur-unsur Budaya India kebanyakkan terdapat di istana-istana pemerintah.

Bersambung : Hipotesis Kastria

1 comment:

  1. suvarnabumi = semenanjung emas
    suvarnadwipa = pulau emas

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...