Friday, June 7, 2013

MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?

Tengkolok DiRaja, dipakai kebanyakkan Sultan-Sultan Melayu

Bangsa Melayu adalah bangsa yang paling ramai menghuni Alam Nusantara yang kini kita kenali sebagai Asia Tenggara. Bangsa Melayu dalam konteks Malaysia adalah sebuah bangsa peribumi yang sejak turun temurun berasal dari satu bahagian Dunia yang dikenali sebagai Tanah Melayu iaitu di Semenanjung ini. Namun, tahukah kita dari mana asal kita yang sebenarnya?

Penghuraian mengenai perkara ini, generasi kini terpaksa merujuk kepada catatan dan rekod bangsa imperialis kerana rujukan Bangsa Melayu ini sudah hilang entah kemana.

Pengembara barat pada abad ke-16 masihi seperti Tom Pires, John Davis, William Dampier dan J.A.Pope menyatakan bahawa semua penduduk di kawasan Selat Melaka ini dikenali sebagai Malayan/Malay (Melayu). Namun, hal ini masih dipersoalkan kerana ianya tidak dapat menentukan siapakah Malayan dan siapa pula Malay. Sekiranya mereka ini membuat penafsiran pada bahasa yang dituturkan ianya tidak dapat memastikan siapakah benar-benar Bangsa Melayu itu kerana pada waktu itu, Bahasa Melayu merupakan Lingua Franca dan ianya digunakan hingga abad ke-20 Masihi di Kepulauan Nusantara ini. Setiap bangsa yang singgah pada pelabuhan-pelabuhan di kawasan ini perlu menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan perdagangan. Mereka yang tidak pandai berbahasa Melayu dianggap Kampungan (Ahmad Jelani Halim: 2008).

J.B. Tavernier, seorang pengembara Perancis menyatakan bahawa bahasa Melayu telah digunakan di seluruh kawasan timur wilayah Maharaja Mongul. Bahasa Melayu ini sangat penting sama seperti pentingnya Bahasa Latin di Eropah.

Orang Melayu tidak tertumpu dalam sesebuah negara bangsa atau nation state seperti bangsa India yang dikenali mengikut negara mereka. Tidak ada sempadan fizikal bagi Bangsa Melayu. J.W.Crawfurd menyatakan bahawa orang Melayu menghuni separuh daripada Pulau Sumatera, termasuk seluruh pantai timur dan sebahagian dari pantai barat pulau itu. Mereka juga menghuni sekitar Pulau Borneo (Kalimantan) dan merupakan seluruh penduduk Semenanjung Tanah Melayu, kecuali orang Aslinya. Crawfurd juga menjelaskan bahawa dalam kumpulan bangsa Melayu itu terdapat juga ramai yang bukan daripada keturunan Melayu tulen, akan tetapi telah menerima  pakai bahasa, adat resam dan agama orang Melayu dan akhirnya setelah masa berlalu tidak dapat dibezakan lagi daripada orang Melayu sebenar.

Kenyataan Crawfurd ini mungkin tepat kerana Tun Seri Lanang, penyusun Kitab Sejarah Melayu mengakui bahawa beliau berbangsa Melayu, namun beliau juga mengaku adalah keturunan Mani Purindam, seorang pedangang India yang datang ke Melaka dalam zaman Sultan Muhammad Syah.

Sebenarnya, pengertian bangsa Melayu itu lebih luas dari apa yang dibincangkan di atas. Perkataan bangsa itu lebih kepada membawa pengertian ras (ras melayu). Ras Melayu ini merangkumi seluruh kelompok manusia daipada ras Melayu-Polinesia.

Ikuti artikel seterusnya dengan tajuk:

MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?

Peradaban Melayu Zaman Pra Sejarah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...