Lambang Om salah satu falsafah dalam agama Hindu |
Pendahuluan:
Proses perkembangan pembudayaan
India di Nusantara telah dijelaskan pada posting sebelum ini iaitu ianya
terdapat 3 hipotesis iaitu Visya, Kastria dan yang akan dijelaskan ini iaitu
Brahmin.
Hipotesis Visya telah dijelaskan
bahawa ianya berlaku ekoran perkembangan aktiviti perdagangan antara rantau ini
dengan India yang digerakkan oleh orang dari kasta Visya. Hipotesis Kastria
pula adalah melalui proses peperangan dan penjajahan yang dilakukan oleh orang
dari Kasta Kastria.
Jadi, bagaimana pula dengan
Hipotesis Brahmin ini?
Mengikut hipotesis ini kebudayaan
India telah disebarkan oleh golongan kasta tertinggi dalam susun lapis
peringkat tertinggi dalam masyarakat India iaitu kasta Brahmin. Mereka ini
dikatakan telah belayar bersama golongan Visya ke timur. Sebagai contoh,
penubuhan KERAJAAN FUNAN membuktikan penglibatan golongan Brahmin di Asia Tenggara,
hal ini dapat dilihat apabila KAUNDINYA seorang Brahmin telah datang ke FUNAN
bersama-sama dengan pedagang (Visya) dan berkahwin dengan puteri tempatan.
Beliau kemudiannya telah ditabal menjadi raja negeri itu dan dengan itu perkara
ini telah menyatakan pengaruh India di rantau ini.
Namun, hipotesis ini mempunyai
kelemahan dan beberapa persoalan telah diutarakan berkenaan hipotesis iaitu:
1) Kenapakah Brahmin ini mahu meninggalkan
India sedangkan dengan berbuat demikian mereka akan hilang martabat yang tinggi
itu?
2) Brahmin bukan mubaligh dan agama Hindu
bukan bersifat universal kerana seseorang itu akan dianggap sebagai seorang
Hindu apabila dia dilahirkan dalam keluarga Hindu.
3) Berkahwin dengan penduduk tempatan
merupakan pantang larang bagi golongan Brahmin kerana orang asing dianggap
tidak bersih.
Bagaimanapun, dalam satu laporan
Cina tentang Tun-sun di utara Segenting Kra pada abad ke-5 masihi ada
menyatakan bahawa terdapat lebih daripada 1000 orang Brahmin berada disana.
Penduduk Tun-sun dikatakan mengikut agama mereka dan ramai antara mereka itu
(Brahmin) mengahwini wanita-wanita tempatan dan kebanyakkan mereka telah
menetap di Tun-sun.
Teori-Teori lain
Bosch menyatakan bahawa
pengembangan kebudayaan India dimulakan oleh mubaligh agama Budha kerana
sekitar abad ke-2 SM, ramai mubaligh Budha telah dihantar keserata dunia oleh
Asoka, pemerintah kerajaan Mauraya (330 - 180 Masihi). Bosch menjelaskan,
antara mubaligh ini telah sampai ke Asia Tenggara dan menyebarkan agama itu
dirantau ini dan mereka tidak hanya berdakwah kepada orang biasa tetapi mereka
juga memasuki istana-istana raja dan memujuk mereka supaya memeluk agama Budha.
Pendeta-pendeta Budha ini telah mengajar pihak istana tentang kita-kita agama
Budha yang tertulis dalam bahasa Sanskrit. Setelah ramai penduduk rantau ini
memeluk agama Budha, ada antara mereka telah ke India untuk melanjutkan
pelajaran dalam agama ini, kemudiaannya mereka inilah menyebarluaskan
unsur-unsur India dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara.
Selepas Perang Dunia kedua, telah
muncul satu hipotesis baru yang menyatakan penduduk Asia Tenggara itu sendiri
yang memainkan peranan dalam proses pengindiaan di rantau ini. Orang Asia
Tenggara, khususnya Bangsa Melayu Melayu merupakan pelaut yang handal mereka
dikatakan telah lama menguasai perdagangan di antara India - Asia Tenggara -
China. Sehingga abad ke-6 Masihi, jarang ada pelayaran terus dari India ke
China dan sebaliknya. Para pedagang dari dua tamadun ini menjadikan pelabuhan
di Asia Tenggara terutama di Segenting Kra sebagai hub perdagangan mereka.
Barang-barang mereka akan dimuatkan dalam kapal tempatan untuk dihantar ke
China atau India. Sebahagian kapal-kapal ini dimiliki oleh raja, oleh kerana
itu apa yang berlaku di India diketahui oleh raja.
Sekitar abad pertama masihi,
berlaku perubahan drastik dalam aspek kepercayaan di India. Agama Brahmin
(Hindu) yang telah pudar pada zaman Mauraya telah bangkit pada masa Gupta. Pada
abad ke-4 masihi, berlaku perubahan kepercayaan di India Selatan, di mana pihak
Brahmin telah dapat mempengaruhi pemerintah Pallawa untuk menukar agama mereka
dari Budha kepada Hindu terutama Mazhab Siva. Dalam agama Brahmin yang baru ini
kedudukan raja-raja dimuliakan.
Agama Budha yang bersifat
universal dan tidak mementingkan kasta dan darjat itu tidak begitu diminati
oleh raja-raja di Asia Tenggara walaupun ianya popular di kalangan rakyat.
Sebagai langkah mengkuduskan kedudukan raja-raja ini, para Brahmin telah dijemput
oleh raja-raja ini. Lantas, satu persoalan telah timbul sama dalam beberapa
posting sebelum ini.... Kenapa para Brahmin ini mahu datang ke Asia Tenggara?
Para Brahmin yang datang ke Asia
Tenggara ini pada masa itu bukanlah Brahmin asal yang merupakan orang Aria.
Mereka adalah orang Dravadia yang telah dibrahmikan melalui upacara wratyastoma
sebagai usaha golongan Brahmin untuk menambah bilangan pengikut agama Hindu
setelah muncul agama-agama penentang seperti Bhagavataisme, Budhisme dan
Jainisme.
Upacara ini juga boleh digunakan
untuk memulihkan kasta seseorang itu kerana telah melanggar pantang larangnya.
Upacara sama yang digunakan oleh para Brahmin yang dijemput itu untuk
mengembalikannya ke kasta asal mereka setelah menyeberang lautan dan menghindukan
masyarakat tempatan yang bukan Hindu, terutama golongan pemerintah. Justeru
itu, apabila dijemput oleh pemerintah tempatan Asia Tenggara untuk datang
menjadi purohita (penasihat) dan para Brahmin Draridia ini sanggup menerimanya.
Dan dengan cara beginilah budaya India
telah berkembang dengan pesatnya di Istana raja-raja tempatan di sini.
Artikel ini membicarakan tentang hipotesis-hipotesis utama yang menjadi rujukan oleh para pengkaji tentang pengembangan Budaya India di Asia Tenggara antaranya Hipotesis Visya, Hipotesis Kastrya dan Hipotesis Brahmin. 3 hipotesis ini menemukan satu persoalan utama Kenapa golongan Brahmin mahu datang ke Asia Tenggara?
Jawapannya : Mereka ini datang dalam pelbagai fasa berdasarkan kepada 3 teori ini dan proses pengembangan budaya India ini lebih memuncak ketika perkembangan agama Budha semasa zaman Mauraya dan ianya luntur semasa zaman Gupta dengan wujudnya upacara wratyastoma di mana golongan Brahmin boleh memulihkan semula kasta mereka setelah melanggar pantang larang. Namun, agama Budha tetap menjadi pilihan masyarakat di Asia Tenggara waktu itu.
Faktor kelumpuhan Empayar Mauraya juga menyebabkan pusat agama Budha berpindah dari India ke Indo China.
Sent from my iPad
dravidia yang dinyatakan merujuk kepada tempat di sekitar thailand dan myanmar sekarang
ReplyDelete