Friday, July 12, 2013

CAMPA : Bahagian 5

Kublai Khan, Maharaja China dan Pengasas Dinasti Yuan

Peperangan dan perbalahan antara orang Cam dan Khmer ini akhirnya tamat setelah Jaya Parameswarawarman II menaiki takhta. Ketika itu, orang Khmer sibuk untuk menangkis serangan-serangan musuhnya dari barat iaitu Siam dan puak-puak gasar yang sering menganggu wilayahnya. Oleh itu Jaya Parameswarawarman II mempunyai masa aman yang lama. Baginda dikatakan meluangkan masa pemerintahannya membaiki sistem parit dan tali air serta bangunan-bangunan yang rosak akibat yang begitu lama. Mengikut satu prasasti, semua lingga di selatan telah didirikannya kembali. Baginda juga telah membaiki candi-candi yang terdapat di komplek Mi-son di utara. Namun di akhir pemerintahannya, perbalahan dengan Dai Viet telah timbul kembali ekoran tuntutannya ke atas tiga wilayah yang diserahkan oleh Rudrawarman II pada tahun 1069 Masihi sebagai penebus dirinya. Dai Viet telah menyerang Campa kerana tuntutan ini pada 1252 Masihi. Orang Vietnam telah berjaya menewaskan tentera Campa  dan merampas banyak harta benda serta menawan ramai pegawai dan kerabat diraja Campa. Raja Jaya Parameswarawarman dipercayai telah terbunuh dalam peperangan itu.

Pada tahun 1283 – 1285, Kublai Khan dari China telah menghantar tenteranya untuk menundukkan negara-negara di Indo-China. Walaupun beberapa kejayaan telah diperoleh, namun akhirnya tentera Monggol ini telah dikalahkan dengan teruknya oleh pihak Vietnam dan Campa. Sogatou pemimpin tentera Monggol yang ditugaskan menawan Campa telah dibunuh dan dipenggal kepalanya sebaik sahaja mendarat di Campa. Setelah kekalahan tentera Monggol ini, Indrawarman V yang memerintah Campa pada masa itu telah mengirim utusan mengadap Kublai Khan. Utusan itu tiba di China pada 6 Oktober 1285 Masihi serentak dengan utusan dari Kemboja. Dengan itu, orang Champa dan Kemboja tidak lagi diganggu oleh orang Monggol.

Namun dalam hal ini ianya berlainan dengan catatan Marco Polo yang singgah di Campa itu pada tahun 1285 Masihi dimana beliau mengatakan Sogatou tidak mati di Campa. Dia dikatakan telah memimpin tentera Monggol memusnahkan negara itu sehingga rajanya (Indrawarman V) terpaksa mengirimkan utusan mengaku kalah kepada Kublai Khan. Marco Polo juga mencatatkan bahawa daja dan rakyat negeri itu masih kafir dan negeri itu banyak menghasilkan gajah, kayu gaharu dan kayu eboni.

Setelah kemangkatannya pada 1285 Masihi, baginda digantikan oleh puteranya yang bergelar Jaya Simhawarman III. Sekitar 1292 Masihi, Kublai Khan menghantar angkatan perangnya untuk menyerang Jawa. Simhawarman ini telah berjaya menghalang tentera itu dari mendarat di Campa. Dalam usahanya untuk berbaik-baik dengan jirannya, Simharwarman III telah mengahwini Puteri Tapasi, puteri Jawa dan kemudian berkahwin pula dengan puteri Vietnam iaitu Puteri Huyen Tran yang digelar Parameswari pada tahun 1306 Masihi. Simhawarman ini telah mangkat pada tahun 1307 Masihi.

Pada tahun 1312 Masihi, Maharaja Tran Anh-ton dari Dai Viet telah menyerang Campa dan menawan rajanya Jaya Simhawarman IV. Baginda telah ditawan dan mangkat di Tongkin pada 1313 Masihi. Selepas itu Maharaja Dai Viet dianggap sebagai Maharaja Penaung Campa. Pengganti Jayasimhawarman hanya dianggap sebagai pemerintah bahawahan oleh Dai Viet. Pada 1314 Masihi, orang Campa yang dipimpin oleh Che Nang telah bangkit memberontak dan cuba memerdekakan Campa. Akan tetapi pada tahun 1318 Masihi, beliau telah dikalahkan dan terpaksa lari berlindung di Jawa.

Dengan bantuan orang Monggul, seorang Panglima Campa yang dikenali sebagai Che A-nan telah berjaya memerdekakan Campa. Dalam masa pemerintahan baginda, seorang Padera Kristian dari fahaman Fransiskan yang bernama Odoric de Pordenone telah melawan Campa. Beliau mencatatkan bahawa penduduk dan raja Campa beragama Hindu dan adat sati di amalkan di sana. Adat Sati adalah merupakan amalan Hindu yang mana isteri si mati akan dibakar bersama-sama mayat suami yang meninggal terlebih dahulu.  Che A-nan telah meninggal duni pada tahun 1324 Masihi dan digantikan oleh menantunya Tra-hao Bo-de yang merampas kuasa dari putera mahkota, Che Mo. Dalam pemerintahannya inilah Ibnu Battuta telah melawat Campa dan beliau mencatat Campa sebagai Tawalisi.

Semasa zaman pemerintahan Che Bong Nga, Campa bangkit kembali dan menurut sejarahwan, Coedes menyatakan kebangkitan Campa ini ibarat “sinar penghabisan matahari terbenam” kerana selepas ini Campa terus mereput dan akhirnya hilang dari sejarah.

Pemerintahan Che Bong Nga ini bermula sekitar 1360 Masihi. Baginda telah berjaya mengadakan perhubungan berbaik-baik dengan pemerintah Ming yang pertama iaitu Ming Tsai-tsu yang telah mengesahkan baginda sebagai pemerintah Campa pada 1369 Masihi. Seterusnya, Che Bong Nga telah melancarkan kempen bagi menebus maruah orang Campa. Dari tahun 1361 – 1390 Masihi, baginda melancarkan serangan demi serangan ke atas kerajaan Dai Viet:

  • 1368 tentera Campa telah dapat mengalahkan tentera Vietnam di satu tempat bernama Gua Cam dan merampas harta benda di pelabuhan Da Li.
  • 1371 tentera Campa telah menyerang Tongkin dan merampas harta benda Hanoi.
  • 1377 tentera Vietnam dikalahkan berhampiran Wijayapura dan pada tahun juga pemerintah Dai Viet, Raja Tran Due-ton meninggal dunia. Sekali lagi tentera Cam menyerang Tongkin dan merampas harta benda Hanoi.
  • 1384 Tongkin sekali lagi diserang melalui jalan darat.
  • 1389, serangan ke atas Tongkin dan tentera Campa mara sampai ke daerah Hung-yen di bahagian utara wilayah itu.
Pada bulan Februari 1390, nasib malang telah menimpa Che Bong Nga akibat pengkhianatan pegawainya yang menyebabkan perahunya telah dikepung oleh orang Vietnam dan bagida telah dibunuh. Kematian baginda telah menyebabkan tentera Campa terpaksa berundur ke Tongkin.

Setelah kembali ke Campa, salah seorang jeneralnya telah melakukan rampasan kuasa dan menyingkirkan putera Che Bong Nga. Jeneral ini dikenali sebagai Jaya Simhawarman atau Lai Khai oleh Vietnam telah menyerahkan wilayah utara Campa yang ditawan kembali oleh Che Bong Nga kepada kerajaan Dai Viet. Pada tahun 1400 Masihi, beliau telah digantikan oleh puteranya, Ngauk Klaung Vijaya dan pada tahun 1432, baginda menggelarkan dirinya sebagai Indrawarman VI.

Pada tahun 1402, Ngauk Klaung Vijaya telah menyerahkan wilayah Indrapura kepada Dai Viet untuk mengelakkan peperangan. Dengan ini, tanah suci orang Cam, di mana terletaknya kompleks candi Mi-son telah jatuh ke tangan orang asing. Akan tetapi pada 1407 Masihi, mengambil kesempatan kekalahan Dai Viet di tangan China, Campa telah merampas kembali tanah suci mereka itu. Selepas itu, Ngauk Klaung Vijaya telah menyerang Kemboja dan membebaskan wilayah-wilayahnya yang dikuasai oleh kerajaan itu.

Selepas pemerintahan Ngauk Klaung Vijaya atau Indrawarman ini yang berakhir pada 1411, Campa mula merosot dengan drastik. Pada tahun 1446, ibu kota Campa, Wijayapura telah diduduki buat pertama kali oleh pihak Vietnam. Tetapi kemudiannya dapat dirampas kembali. Akhirnya pada 1471, Wijayapura sekali lagi diduduki oleh Vietnam dan pendudukan kali ini telah menghancukan seluruh kerajaan Campa. Seramai 60.000 orang Campa telah terkorban dan kira-kira 30.000 orang termasuk rajanya telah ditawan oleh pihak Vietnam. Masyarakat Cam yang lain terutama yang beragam Islam telah melarikan diri ke Kemboja, Tanah Melayu terutama ke Melaka dan ke Jawa.

Selepas itu, keadaan Campa mula aman, barulah muncul satu pemerintahan baru, jauh di bahagian selatan. Kerajaan ini kemudiannya telah dapat dikuasai oleh orang Islam pada sekitar separuh kedua abad ke-17 Masihi.

BERSAMBUNG: CAMPA DI ERA KESULTANAN ISLAM



CAMPA : Bahagian 4

Aksesori orang-orang Dai Viet

Peperangan antara Campa dengan Dai Viet sekali lagi tercetus pada 1068 Masihi ketika pemerintahan Rudrawarman III yang naik takhta Campa pada 1061 Masihi. Kali ini Rudrawarman yang menyerang kedudukan Dai Viet di utara namun serangan ini berjaya dipatahkan. Pihak Dai Viet telah membalas serangan tersebut dengan Rajanya, Li Thanh-ton telah dapat merempuh masuk ke dalam Kota Wijaya dan membakar semua rumah yang dibangunkan di dalam dan di luar tembok Kota itu. Raja Rudrawarman telah ditawan dan di bawa ke Tongkin tetapi kemudian dibebaskan pada tahun 1069 Masihi setelah menyerahkan tiga wilayah Campa di utara kepada pihak Dai Viet sebagai bayaran untuk menebus pembebasan dirinya. Walaupun bebas, baginda gagal menduduki kembali takhtanya.

Pada tahun 1074 Masihi, seorang yang bernama Dewatamurti (Thang) telah naik takhta Campa dengan gelaran Hariwarman IV. Beliau telah berjaya menghalau orang Vietnam dari Campa tetapi kemudiannya mengaku tunduk dan membayar ufti kepada Dai Viet. Beliau juga telah dapat mengalahkan serangan-serangan dari Kemboja pada tahu  1074 dan 1080 Masihi. Hariwarman IV telah berusaha memulihkan kembali kemuliaan Campa seperti sebelumnya. Beliau hanya memerintah beberapa tahun sahaja sebelum turun takhta untuk mengabdikan diri kepada tuhan dengan bertapa dab beliau telah mangkat pada tahun 1081 Masihi.

Sekitar 1081 – 1086 Masihi, Campa berada dalam keadaan huru hara kerana perebutan takhta antara Jaya Indrawarman II anak Hariwarman IV dengan bapa saudaranya, Putera Pang. Akhirnya Jayaindrawarman II telah dapat mengatasi bapa saudaranya itu. Di bawah pemerintahan baginda, Campa aman seketika dengan hubungan antara Dai Viet dan China telah dapat dipulihkan.

Pada tahun 1145 Masihi, pihak Khmer telah menyerang Campa dan menawan sebahagian besar negara itu termasuk ibu kotanya. Pemerintah yang baru naik pada masa itu, Rudrawarman IV terpaksa berpindah lebih jauh ke selatan. Baginda kemudian telah dapat mengalahkan tentera Khmer yang datang dan meyerang wilaya Wijayapura. Kemudian baginda digantikan oleh Jaya Hariwarman I. Raja ini telah berjaya mematahkan serangan-serangan orang Vietnam dan Khmer ke atas Champa dan menyatukan kembali negeri itu yang telah berpecah-pecah akibat serangan daripada luar.

Di katakan bahawa di istana raja ini terdapat seorang pegawai bernama Jaya Indrawarman berasal dari Gramapura yang ahli dalam pelbagai bidang termasuk kepandaian bermain senjata, sastera, falsafah dan nujum. Dia juga banyak membina Candi di Mi-son yang merupakan sebuah kawasan di mana terdapatnya beberapa kompleks candi yang dibina oleh raja-raja dan pembesar Campa.

Pada tahun 1167 Masihi, Jaya Indrawarman berjaya merampas kuasa daripada putera Jaya Hariwarman I. Di bawah Jaya Indrawarman, Campa kembali kuat. Ia berjaya menyerang Kemboja dan merampas kekayaan Angkor (Chen la) pada tahun 1177 Masihi. Kerosakkan Angkor ini telah menimbulkan kebencian yang berpanjangan oleh pihak Kemboja. Oleh kerana itu, sekitar 1190 Masihi, pemerintah Kemboja iaitu Jayawarman III telah meminta bantuan seorang putera Campa iaitu Vidyanandana yang bermaustautin dinegaranya untuk menyerang Campa. Komplot ini telah berjaya dan Vidyanandana telah berjaya menangkap Jaya Indrawarman dan di bawa ke Kemboja.


Kekosongan takhta itu telah diisi dengan seorang kerabat Diraja bergelar Suryajayawarmandewa. Manakala Vidyanandana juga telah menubuhkan kerajaan di Pandurangga dengan gelaran Suryawarmandewa. Dengan ini, Campa telah terbahagi dua. Tidak lama kemudian Suryawarmandewa (Vidyanandana) telah dapat menyatukan seluruh Campa dan mengisytiharkan dirinya bebas daripada Kemboja.

Sambungan : Bahagian 5

CAMPA : Bahagian 3

Binaan Candi di Phanrang (Pandurangga) kini didalam Vietnam

Semasa pemerintahan Dinasti Song di China, raja-raja Campa seperti Jaya Indrawarman I dan Parameswarawarman begitu taat setia dan patuh kepada Kerajaan China itu. Diantara 960 – 979 Masihi, sebanyak 12 utusan telah dikirimkan menghadap Maharaja China.

Semasa pemerintahan Parameswarawarman, telah berlaku pergeseran antara Campa dengan Kerajaan Dai Viet (Vietnam). Pada tahun 982 Masihi, pemerintah Dai Viet, Le Hoan telah menyerang Campa dan membunuh Parameswarawarman serta menawan ibu kotanya, Indrapura. Penggantinya iaitu Indrawarman IV telah cuba untuk mendapatkan bantuan dari China pada tahun 985 Masihi tetapi gagal.

Setelah kemangkatan Indrawarman IV, takhta telah dirampas oleh seorang bangsa Vietnam yang bernama Luu Ki-tong dan mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Campa pada 986 Masihi. Tindakan orang Vietnam ini telah menimbulkan marah seluruh rakyat, akan tetapi mereka tidak sanggup melawan orang Vietnam yang kuat dan ramai itu. Oleh kerana itu ramai rakyat Campa berhijrah ke Hainan dan Canton di tenggara China. Penghijrahan ini berlaku dalam masa tiga tahun iaitu pada tahun 986, 987 dan 988 Masihi. Penghijrahan ini dipimpin oleh rakyat Campa yang beragama Islam. Penghijrahan 986 Masihi dipimpin oleh Pu Lo E, kumpulan migran 987 dipimpin pula oleh Li Nian Bing dan kumpulan mingran 988 pula diketuai oleh Hu Xuan.

Perkataan Hu Xuan dikenal pasti sebagai nama Islam iaitu Husain, manakala perkataan Pu telah diterima umum sebagai ganti perkataan Arab yang bermaksud Abu.  Berkemungkinan besar, pelarian-pelarian Campa ini adalah orang Cam Islam yang mungkin dipaksa oleh Luu Ki-tong menukar agama mereka menyebabkan mereka meninggalkan Campa.

Setelah Luu Ki Tong meninggal pada 988 Masihi, orang Cam telah bangkit memberontak di bawah pimpinan seorang yang dikenali sebagai Hariwarman II dan beliau telah dirajakan di Wijayapura. Tidak lama kemudian baginda telah memindahkan pusat pentadbiran ke Indrapura. Semasa pemerintahan Hariwarman II ini, Campa sering diancam oleh pihak Vietnam. Oleh itu pasda masa pemerintah berikutnya yang hanya dikenali sebagai Yang Pu Ku Wijaya Sri, pusat pemerintahannya kembali ke Wijayapura di selatan.

Yang Pu Ku Wijaya Sri ini telah digantikan oleh seorang yang dikenali sebagai Hariwarman III pada tahun 1009 Masihi. Baginda hanya sempat memerintah selama 10 tahun. Dalam masa pemerintahan penggantinya yang dikenali sebagai Parameswarawarman II sekali lagi orang Campa dikalahkan oleh pihak Vietnam pada 1026 Masihi. Pada tahun 1044 Masihi tentera Dai Viet sekali lagi menyerang Campa dan kali ini memusnahkan ibu kotanya, Wijayapura. Pemerintah Campa pada waktu itu, Jaya Simhawarman II telah dikenakan hukuman pancung.

Penggantinya adalah seorang daripada panglima Campa yang dikenali sebagai Jaya Parameswarawarman I. Salah sebuah prasasti yang ditinggalkannnya menyatakan bahawa baginda tidak diterima oleh penduduk Pandurangga (Phan-rang) sebagai raja mereka. Hal ini berlaku kerana penduduk Pandurangga ketika itu sudah beragama Islam dan mereka menolak seorang Raja yang beragama Hindu. Berpunca dari penolakan ini Jaya Parameswarawarman I telah menyerang penduduk Pandurangga yang beragama Islam dan menawan mereka pada tahun 1050 Masihi. Sebagai simbol kemenangan ini, Jaya Parameswarawarman telah mendirikan sebuah lingga di atas bukit Po Klaung Garai yang berhampiran dan menegakkan tugu kemenangan. Baginda juga telah menjalinkan perhubungan berbaik-baik dengan pihak Dai Viet dan China. Campa telah mengirimkan utusan ke China pada tahun 1050, 1053 dan 1056 Masihi.

Bersambung : Bahagian 4

CAMPA : Bahagian 2

Candi Po Nagar di Campa (Vietnam)

Pada tahun 629 Masihi, Chambuwarman telah membina kembali candi Siva-Bhadreswara iaitu candi pertama Campa telah terbakar dalam zaman ayahandanya Rudrwarman. Candi baru ini dinamakannya Chambubhadreswara iaitu sempena namanya. Pemerintahan Cambhuwarman ini diikuti oleh beberapa orang raja dari Dinasti Brahmin iaitu:
  • -          Kandarpadharma (Fan T’eou-li)
  • Prabhasadharma (Fan Tche-long), beliau mati dibunuh pada 645 Masihi.
  • Bhadreswarawarman anak saudara Prabhasadharma
  • Seorang raja perempuan yang tidak dikenali namanya
  • Prakacadharma, gelarannya Vikrantawarman, naik takhta pada 653 Masihi
  • Vikrantawarman II
Semasa pemerintahan Vikrantawarman I dan II, Campa berada dalam keadaan aman. Beliau menghantar beberapa utusan ke China pada 653, 657, 669, 670 Masihi; 687 dan 731 Masihi. Dua perwakilan terakhir itu dikirimkan oleh Vikrantawarman II.  

Satu perubahan besar telah berlaku di Campa sekitar abad ke-8 Masihi. Tumpuan pemerintahannya telah beralih ke Selatan dengan mengubah ibu kotanya dari Thua-thein ke Quang-nam di utara, selepas itu pusat pemerintahannya berubah lagi ke Pandu-rangga (Phanrang) di selatan. Di sini sebuah ibu kota telah dibina yang dikenali sebagai Wirapura. Sumber China tidak lagi memanggilnya sebagai Lin-yi tetapi kita menggelarkan Campa sebagai Houan-wang.

Di bahagian selatan ini walaupun tidak lagi diganggu oleh China, Campa menghadapi gangguan dari pihak lain pula. Pada 774 Masihi, semasa pemerintahan Satyawarman (Ichwaraloka), Campa telah diserang oleh Jawa. Serangan ini telah mengakibatkan Candi Po-Nagar dimusnahkan. Namun serangan Jawa ini dapat dipatahkan oleh Satyawarman dan membina kembali Candi Po-Nagar pada tahun 784 Masihi.

787 Masihi, sekali lagi Jawa menyerang Campa. Ketika itu ia diperintah oleh adik Satyawarman iaitu Indrawarman. Dalam serangan kedua ini orang Jawa telah merosakkan pula sebuah candi lagi iaitu candi Bhadradhipaticwara berhampiran Wirapura. Serangan ini juga dapat dipatahkan oleh pihak Campa.
Raja-raja Campa selepas Indrawarman adalah:
-          Hariwarman I (802 – 817 Masihi)
-          Vikrantawarman III (817 – 854 Masihi)

875 Masihi, sekali lagi Campa memindahkan pusat pentadbirannya ke Utara iaitu di Indrapura. Orang China memanggilnya Tchan-tch’eng (Kota Cam atau Campapura). Pengasas Dinasti Indrapura ini mengakui dirinya daripada keturunan raja Campa Selatan (Houan-wang). Baginda yang bernama Lakshmindra Bhumicwara Gramaswamin telah menaiki takhta Indrapura dengan gelaran Indrawarman II.

Vikrantawarman III telah meninggalkan takhta tanpa pewaris dan baginda telah melantik Indrawarman II sebagai pengganti. Pemerintah baru ini telah memindahkan ibu kota dari Wirapura ke Indrapura di utara kerana berlakunya perubahan kepercayaan daripada agama Hindu kepada agama Budha. Pada tahun 875 Masihi, Indrawarman II telah mendirikan sebuah biara Budha yang besar dan ianya dikenali sebagai Biara Laksmindralokeswara. Dalam zaman pemerintahan raja berikutnya iaitu dibawah Jaya Simhawarman I, telah menunjukkan bahawa terjalin hubungan yang erat antara Campa dan Yawadwipa Pura (Kota Jawa) dan ianya berlangsung pada akhir abad ke-9 dan awal abad ke-10 Masihi. Hubungan yang erat ini boleh dilihat melalui kesenian Campa mula dipengaruhi oleh kesenian Jawa.

Selepas pemerintahan Jaya Simhawarman II, beliau telah digantikan oleh puteranya Jayacaktiwarman (908 Masihi) dan kemudian oleh Bhadrawarman II (908 – 910 Masihi). Dalam masa Bhadrawarman II, orang Islam telah ramai di Campa. Berkemungkinan telah wujud perkampungan orang Islam di Campa semenjak ibu kotanya di Wirapura lagi.  Semasa pemerintahan Bhadrawarman II, beliau telah menghantar utusan yang diketuai oleh seorang yang beragama Islam yang dikenali sebagai P’ou Ho-san (Abu Hasan), ini jelas menunjukkan bahawa Islam sedang berkembang pesat di Campa.

ISLAM telah mula bertapak di Campa semejak abad ke-7/8 Masihi lagi. Mengikut al-Dimashki, pada abad ke-7 Masihi ramai orang Arab penyokong Ali (Aliwiyah) telah melarikan diri dari Timur Tengah akibat tekanan daripada pihak Umaiyah. Mereka telah menetap di sekitar Phanrang (Pandu-rangga). Justeru itu, Islam di Campa pada peringkat awal ini adalah Islam Syiah. Bukti-bukti yang ditinggalkan oleh mereka ini merupakan sebuah batu bersurat yang bertarikh 1035 Masihi dan sebuah nisan yang bertarikh 1039 Masihi.

Bersambung : Bahagain 3

Thursday, July 11, 2013

CAMPA : Bahagian 1

Bunga Kemboja asas kepada Campa


PENDAHULUAN


Funan telah huraikan secara umumnya dan hampir terperinci. Maklumat lain, kami kira agak kurang bersesuaian dengan objektif blog APM ini. Pada posting mengenai Funan sebelum ini, kami ada juga menyentuh tentang negara bernama Lin-yi (Campa) dan kaitan dengan seorang raja Funan yang melarikan diri ekoran kekalahan dalam merebut kuasa di Funan.Oleh itu, dalam posting ini akan menceritakan tentang sebuah negara yang bernama Campa.


KISAH BERMULA

192 Masihi adalah tarikh kewujudan KERAJAAN CAMPA dan ianya dikesan melalui rekod China yang merujuk kerajaan ini sebagai Lin-yi . Seperti Funan, Campa ini juga didirikan oleh BANGSA MELAYU. Pada peringkat awal penubuhan Campa adalah sebuah negara agresif. Ia sering menyerang dan menggangu selatan China. Antara serangan Campa yang direkodkan oleh China adalah pada tahun 248 Masihi dan 270 Masihi. Pada tahun 270 Masihi, Campa telah dibantu oleh Funan menyerang wilayah K’iu-sou sehinggalah satu perjanjian damai telah ditandatangi antara kedua-dua pihak pada tahun 280 Masihi.

284 Masihi, Campa telah menghantar perutusannya yang pertama ke China dan berdasarkan rekod China, mereka menamakan pemerintah Campa yang menghantar utusan itu sebagai Fan-yi. Baginda kemudian digantikan oleh jeneralnya yang bernama Fan Wen pada 336 Masihi. Di bawah penguasaan Fan Wen, wilayah Campa telah meluas sehingga ke perbatasan Tonkin di Je-nan.

Di awal penubuhannya, tidak dapat dikesan adakah ianya menerima pengaruh India ataupun tidak. Namun, semasa pemerintahan  anak Fan Wen iaitu Fan Fo atau nama sanskritnya Bhadrawarman, pengaruh India telah terserap masuk dalam Bangsa Cam ini termasuklah dalam bidang agama dan kepercayaan. Di katakan Bhadrawarman merupakan pendiri Candi pertama di Campa di Lembah Mi-son. Candi ini adalah candi Hindu mazhab Siva dan dikenali sebagai Candi Siva-Bhadreswara sempena nama Fan Fo. Berpandukan kepada Inskripsi @ Prasasti Vo-Chanh, dipercayai pengasas dinasti yang bercorak India adalah seorang yang dikenali sebagai Sri Mara dan Dinasti ini telah ditubuhkan sekitar abad ke-2 Masihi.

Ibu kota Kerajaan Campa ketika itu terletak di Tra-kieu. Di sini telah dijumpai tiga inskripsi@Prasasti@Batu Bersurat menyatakan tentang sempadan Campa dan tentang mantera penyembahan kepada dewa pelindung tempatan yang mereka panggil “raja naga”. Di samping fahaman Siva, agama Budha juga berkembang di Campa berikutan sebuah patung Budha abad ke-4 Masihi yang diperbuat daripada gangsa telah ditemui di Dong-duong. Seperti juga di Funan, ada kemungkinan agama Budha lebih dahulu disebarkan daripada agama Hindu.

Memasuki abad ke-5 Masihi, kerajaan ini berkembang dengan pesat. Dalam masa pemerinthan Yang Mah, Campa sekali lagi telah menggangu wilayah-wilayah selatan China. Pada tahun 420 Masihi, baginda telah menyerang Tongkin dan meminta Mahajara China mengiktiraf kekuasannya. Pada tahun 431 Masihi, sekali lagi Campa menyerang Tongkin. Serangan-serangan ini telah menyebabkan Gabenor Tongkin, Tan Ho-tche melancarkan serangan habis-habisan ke atas ibu kota Campa iaitu K’iu-sou. Kota itu dapat ditawan dan Yang Mah II, pemerintah Campa ketika itu telah terbunuh dalam pertempuran. Pemerintah berikutnya Fan Chen tch’eng (Dewanika) telah berdamai dengan China dan mengirim tiga utusan menghadap Maharaja China, iaitu pada tahun 456, 458 dan 472 Masihi.

CAMPA DENGAN KESINAMBUNGAN FUNAN

484 Masihi, nampaknya pemerintahan Campa telah diambil oleh seorang putera pelarian dari Funan yang dikenali sebagai Fan Tang-ken-tch’ouen(Fan Tang). Gunawarman iaitu putera kepada Jayawarman dan abang Fan Tang, telah meminta bantuan daripada China untuk menundukan Fan Tang, akan tetapi permintaan itu tidak diperkenankan oleh Maharaja China.

492 Masihi, satu rampasan kuasa telah berlaku dalam Istana Campa. Fan Tang telah digulingkan oleh Tchou Nong, daripada keturunan Yang Mah. 6 tahun kemudian iaitu pada 498 Masihi, Tchou Nong dikatakan telah karam dilaut dan digantikan oleh Fan Wen-k’ouan, kemudian Fan Tien-k’ai dan P’i-ts’ouei-pa-mo (Vijayawarman). Vijayarman ini telah mangkat pada 529 Masihi dan meninggalkan takhta tanpa pewaris. Rakyat Campa kemudiannya telah melantik seorang Brahmin yang mengahwini salah seorang puteri Campa daripada keturunan raja-raja yang terdahulu sebagai pemerintah Campa. Brahmin tersebut dikenali sebagai Rudrawarman.

Rudrawarman telah digantikan dengan Chambuwarman (Fan Fan-tche), dan beliau telah mengisytiharkan Campa merdeka dari China semasa Dinasti Tch’en (557 – 589 Masihi) berada dalam keadaan huru-hara. Pada tahun 605 Masihi, tentera China telah menyerang Campa dan menawan ibu kotanya Tra-kieu, justeru itu Chambuwarman terpaksa menyembah Maharaja Yang Kien untuk meminta maaf.

Bersambung : Bahagian 2

Tuesday, July 9, 2013

KERUNTUHAN KERAJAAN FUNAN


Bahagian kedua abad ke-4 Masihi, Dinasti Chin yang menguasai China telah kehilangan jalan perdagangannya melalui Asia Tengah. Kekacauan di Asia Tengah telah menyebabkan Jalan Sutera yang biasa digunakan untuk membawa masuk barang-barang mewah dari barat tidak dapat digunakan lagi. Satu-satunya jalan yang terbuka masa itu adalah melalui jalan laut.

Oleh kerana itu Kerajaan Chin mula menumpukan perhatian terhadap perdagangan laut. Dengan pembinaan kapal-kapal layar yang lebih baik, pihak China kemudian berjaya menemui jalan laut yang baru merentasi Laut China Selatan terus ke Borneo (Kalimantan), Laut Jawa dan Selat Sunda. Jalan ini tidak lagi menyusuri pantai Vietnam dan Teluk Siam serta merentasi jalan darat di Segenting Kra yang  rumit itu. Penemuan jalan  baru ini telah mempertembungkan terus pedagang-pedagang Cina bukan hanya dengan pedagang-pedagang tempatan Asia Tenggara tetapi juga pedagang-pedagang India yang memang telah lama berdagang dengan pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara di kawasan itu seperti di Ho-lo-tan di Jawa dan Ko-ying di Selat Sunda.

Dengan wujudnya perhubungan baru ini, pedagang-pedagang Asia Tenggara telah mengambil kesempatan mengadakan perdagangan terus dengan China. Sebelum ini semua perdagangan dengan China dijalankan melalui pedagang dan pelabuhan-pelabuhan Funan. Dengan wujudnya perdagangan terus ini telah melumpuhkan sama sekali perkhidmatan pengangkutan darat menyeberangi Segenting Kra. Kapal-kapal dari India dan Sri Lanka kini belayar terus melalui Selat Melaka ke pelabuhan-pelabuhan di pinggir barat Laut Jawa di mana mereka dapat berhubung terus dengan pedagang-pedagang tempatan dan China. Dalam masa yang sama hasil-hasil rempah ratus kepulauan ini juga mula mendapat tempat dalam perdagangan antarabangsa. Dengan tidak menggunakan jalan rentas Segenting Kra, Funan telah ditinggalkan. Perubahan jalan ke Selat Melaka dan tidak singgah di pelabuhan-pelabuhan Funan menyebabkan pemerintah Funan kerugian hasil kutipan cukai.

Di samping itu, perubahanan jalan perdagangan ini telah memerosotkan perhubungan diplomatik antara China dengan Funan. Justeru itu, apabila Funan meminta bantuan China untuk menentang Lin-yi pada 484 Masihi, permintaan itu tidak dilayan malah pada tahun 491 Masihi, Fan Tang iaitu pemerintah Lin-yi telah dianugerahkan gelaran “Jeneral Penenteram Selatan, Pemerintah Tertinggi Hal Ehwal Ketenteraan Pesisir dan Raja Lin-yi”. Di sini telah jelas bahawa semenjak selepas pemerintahan Jayawarman, Funan sudah tidak penting lagi bagi China. Lin-yi yang baru dibangunkan oleh pelarian dari Funan telah mengambil alih peranannya pada akhir abad ke-5 Masihi.

Kelemahan Funan ini semakin jelas kelihatan apabila kegiatan lanun semakin berleluasa di laut yang dahulu dibawah penguasaan Funan. G.D. Hall, seoarang Sarjana Sejarah Asia Tenggara menyatakan bahawa, kegiatan lanun ini berlaku sama ada kesan daripa percubaan Funan untuk mengekalkan kekuasaan ke atas jalan kelautan itu dengan cara memaksa kapal-kapal singgah di pelabuhannya atau kerana kelemahan Funan telah menyebabkan penduduk-penduduk Melayu yang tinggal di pesisir menjadi lanun. Kemiskinan kerajaan Funan untuk menjaga pelaut-pelaut Melayu telah menyebabkan mereka mencari pekerjaan yang lebih menguntungkan iaitu melanun.

Sejarah Ban T’ang (618 – 906 Masihi) merupakan catatan rasmi Cina yang terakhir menyebut tentang Funan. Ia menyatakan sebuah negeri bernama Chen-la (Kemboja) secara mengejut telah menawan Funan. Pemerintah Funan pada masa itu terpaksa melarikan diri ke selatan ke sebuah tempat bernama Na fou-na. Perwakilan terakhir Funan yang sampai ke Istana China adalah di sekitar separuh pertama abad ke-7 Masihi, iaitu dalam zaman kerajaan T’ang.  Selepas itu tidak adala lagi berita tentang Funan. Namun I-Tsing dalam pelayarannya ke India pada tahun 671-695 Masihi ada menyatakan sedikit tentang Funan iaitu “selepas meninggalkan Campa dan menghala ke barat daya akan tiba di negara Pan-nan. Pada asalnya negara ini dikenali sebagai Funan.

Ada kemungkinan besar kerajaan Funan ini hilang terus daripada sejarah kesan daripada banjir besar yang melanda ibu kota dan bandar-bandar utamanya sekitar separuh pertama abad ke-6 Masihi. Kejadian ini telah menyebabkan penduduk-penduduknya terpaksa berpindah ke tempat-tempat yang lebih tinggi di tengah Kemboja. Dan sekitar 550 Masihi, Raja Bharawarman dari kerajaan Chenla telah menjadikan wilayah Funan ini sebagai sebahagian daripada wilayah kekuasaannya dan membentuk kerajaan Khmer.

KESIMPULAN: Negara Funan menjadi lemah akibat perubahan teknologi perkapalan dari negara China yang menyebabkan mereka mampu membina kapal-kapal yang hebat dan tahan lasak yang membolehkan mereka mencari jalan perdagangan baru dan memecahkan monopoli Funan. Kelemahan pemerintahan kerajaan Funan menyebabkan ramai rakyatnya berpindah ke Lin-yi dan ada rakyatnya mula tidak mengikut undang-undang hingga menjatuhkan moral mereka. Melanun adalah aspek kelemahan mental rakyat Funan ekoran dari kelemahan pemerintahan kerajaan Funan itu sendiri.


Kelemahan ini juga, menyebabkan banyak negara taklukan Funan mula mengisytiharkan merdeka dan ada beberapa buah kerajaan yang dahulunya di bawah Funan telah mengadakan hubungan terus dengan China. Sebagai contoh Chi Tu@Raktamrittika dahulunya adalah negara Funan, namun mereka telah isytihar merdeka dan menamakan kerajaan tersebut sebagai Sriwijaya Mala.

Monday, July 8, 2013

Funan: Pemerintahan dan sistem Politik Bahagian 2


Pengaruh India semakin mendalam

Pemerintah-pemerintah Funan juga terdiri daripada kalangan orang tempatan selain daripada Seorang Brahma dari India, Kaundinya dan keturunannya. Namun, pemerintahan daripada orang tempatan berkahir sekitar abad ke-5 Masihi, apabila penduduk-penduduk Funan menjemput seorang Brahmin dari P’an P’an menjadi raja mereka.

Sarjana sejarah berpendapat bahawa pada abad itu telah berlaku perbalahan antara puak-puak yang terdapat di Funan. Perbalahan ini menyebabkan telah berlaku kekacauan dan peperangan saudara. Ekoran dari masalah dalaman ini, ketua-ketua puak telah mejemput seorang pemimpin daripada P’an P’an yang juga bernama Kaundinya untuk mengamankan keadaan. Dalam perkara ini, para sarjana turut mengandaikan Raja P’an P’an merampas kuasa dan menjadi Raja Funan ekoran dari kelemahan pentadbiran Funan, terdapat juga sarjana sejarah membuat usul bahawa Raja P’an P’an itu juga dari kerabat Raja Funan dan sudah menjadi amalan kepada pemerintah Funan untuk menempatkan keturunan mereka sebagai pegawai di kawasan-kawasan mereka takluki. Apa pun andaian sekalipun, kekacauan antara puak di Funan telah mewujudkan satu Dinasti P’an P’an yang lebih keindiaan di Funan.

Dengan tertubuhnya Dinasti P’an P’an di Funan, didapati pengaruh budaya India semakin mendalam diamalkan. Sejak dari zaman ini, penggunaan bahasa Sanskrit semakin meluas sebagai bahasa rasmi. Takwim Saka India juga telah digunakan. Penyembahan terhadap dewa-dewi India juga mula jelas kelihatan terutama penyembahan linga-Siva dan Maheswara. Terdapat juga penyembahan terhadap lukisan-lukisan Lokeswara Bodhisattwa Mahayana dan Dewa Wisnu. Raja-Raja Funan juga mula menggunakan gelaran sanskrit iaitu warman pada nama-nama mereka.

Pengaruh India di Funan jelas dikembangkan oleh Dinasti P’an P’an, namun ianya berkembang sekitar kawasan P’an P’an yang terletak di Segenting Kra kerana di sini merupakan sebuah bandar pelabuhan entrepot yang merupakan tempat pertemuan pada pedagang dan saudagar-saudagar India dan para Brahmin. Ibu Kota Funan, Wijayapura yang terletak jauh ke pedalaman jarang-jarang dikunjungi saudagar India dan menyebabkan pengaruh India hanya tertumpu di kawasan-kawasan perdagangan antarabangsa sekitar utara Semenanjung itu sahaja. Perdagangan di antara pelabuhan tempatan dan China dijalankan oleh pedagang dan pelaut Melayu.

Sungguhpun hubungan Funan dengan India semakin rapat, ia masih menghantar utusan ke China yang ketika itu dibawah Dinasti Chin. Catatan Istana China tentang kerajaan baru Funan ini merekodkan telah mengirimkan utusannya pada 434 Masihi dan sekali lagi pada 484 Masihi.

Pengasas Dinasti P’an P’an ini tidak diketahui nama sebenarnya, namun ramai sejarawan seperti Coedes dan R.K. Hall menamakannya Kaundinya. Putera beliau kemudiannya telah mengambil alih kuasa dengan nama Jayawarman. Dalam zaman Jayawarman, Funan bangkit semula sebagai sebuah kuasa yang kuat sehingga kerajaan China telah menganugerahkan baginda dengan gelaran “Jeneral Penenteraman Selatan dan Raja Funan”.

Setelah kemangkatan Jayawarman berlaku perang saudara di Funan di mana putera sulungnya iaitu Gunawarman telah berjaya mengalahkan adiknya yang hanya dikenali oleh Fan Tang oleh orang Cina. Fan Tang telah melarikan diri ke Champa di mana beliau telah menubuhkan sebuah kerajaan yang dikenali Lin Yi. Mengikut Coedes, kebangkitan ini berlaku dalam zaman Jayawarman lagi dan Fan Tang bukanlah pengasas kerajaan Lin Yi. Fan Tang hanya meraja Lin Yi setelah kemangkatan rajanya yang bernama Chen-che’ng pada tahun 484 Masihi.

Untuk mengukuhkan kedudukannya dan untuk mengesahkan tuntutannya ke atas takhta Funan, pemerintah keturunan P’an P’an telah mewujudkan satu ciri baru yang dapat membezakan kedudukan raja-raja daripada pembesar-pembesar. Perkara ini dilakukan untuk mengelakkan rampasan kuasa daripada pembesar. Dengan ciri baru ini, sesiapa yang bukan dari keturunan raja tidak layak untuk menjadi raja. Perubahan-perubahan ini termasuk penggunaan lebih banyak kata-kata India, penyembahan dewa-dewi India, perwujudan birokrat Brahman telah menjadikan raja-raja Funan lebih istimewa daripada elit-elit lain. Organisasi baru ini bertujuan untuk mengelakkan perpecahan dan perebutan takhta yang merupakan ciri penting dalam era sebelumnya.

Sungguhpun pengindiaan pemerintahan ini berjaya dilaksanakan, ianya tidak menghalang dari wujudnya penentangan. Para elit lama berasa tidak puas hati dan telah menyertai Fan Tang dengan melarikan diri ke Lin Yi. Dari sini mereka menjadi kepada pengancam kepada kerajaan Funan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...