Friday, August 9, 2013

Kantoli

KUNTALA (KAN-T’O-LI)

Bunga Kantoli

Kuntala merupakan sebuah Negara Kota perdagangan yang penting dan telah muncul di Sumatera sekitar abad ke-5 Masihi. Kerajaan berkemungkinan wujud kesan dari aktviti perdagangan yang aktif di antara China dan kepulauan Asia Tenggara pada waktu itu. Daripada catatan-catatan China menunjukkan kerajaan ini menjalankan perdagangan hasil yang dibawa dari Asia Barat di samping barangannya sendiri. Pada abad ke-5 Masihi, barangan tempatan Asia Tenggara masih belum popular di China. Oleh kerana itu, barang dagangan Kan-T’o-Li yang di bawa ke China sebahagian besarnya adalah hasil-hasil dagangannya dengan Parsi atau negara-negara lain di Asia Tenggara.

Catatan China buat pertama kali menyebut tentang kerajaan ini pada tahun 441 Masihi, apabila Kuntala menghantar perwakilannya ke istana China. Utusan kedua dihantar pada tahun 455 Masihi ketika kerajaan itu diperintah oleh seorang raja yang dikenali sebagai Sri Waranarendra (454-464 Masihi). Raja ini dipercayai beragama Hindu. Utusan dari Kuntala ini berterusan sehinngga tahun 502 Masihi. Pada 502 Masihi, satu utusan telah dikirimkan oleh Raja Gautama Subhadra yang beragama Budha ke istana Liang yang baru mengambil alih pemerintahan  China Selatan sehingga tahun 556 Masihi. Utusan dari Kan-To-li yang berikutnya yang dihantar ke China adalah pada tahun 518 dan 520 Masihi ketika ianya diperintah oleh Raja Vijayawarman. Setelah pada itu, Kantoli tidak lagi mengirim utusan sehingga tahun 560 Masihi iaitu setelah Selatan China diperintah oleh Bangsa Ch’en. Perutusab terakhir dari Kantoli adalah pada tahun 563 Masihi. Seterusnya, tiada lagi nama kerajaan ini dicatat dalam rekod China.

Kantoli ini sering disebut dalam rekod China pada abad 5 dan 6 Masihi namun lokasinya tidak dapat dipastikan dengan tepat. Liang Shih (502 – 556 Masihi) mencatatkan bahawa negeri Kantoli ini terletak di sebuah pulau  di laut selatan. Adat istiadatnya sama dengan Kemboja dan Campa. Negeri ini dikatakan menghasilkan pakaian yang berbunga-bunga, kapas dan pinang. Catatan Liang Shih ini tidak menentukan lokasi yang tepat negeri ini di laut selatan. 7 abad kemudian, nama Kantoli ini disebut semula dalam Ming Shih (Sejarah Ming). Ming Shih mencatatkan bahawa Kantoli adalah nama lama bagi San-fo-tsi (Suwarnabhumi). Kenyataan daripada Ming Shih ini menjelaskan sedikit sebanyak tentang kedudukan Kantoli. Sekiranya catatan Ming Shih ini benar, maka Kantoli ini boleh dikatakan terletak di muara Sungai Batang Hari yang merupakan pelabuhan utama San-fo-tsi. Slamet Muljana menyatakan bahawa kantoli mungkin nama asal sebuah tempat yang bernama Tungkal berhampiran Jambi.

Pada abad ke-5 dan 6 masihi, Kantoli telah memainkan peranan penting dalam perdagangan Po-ssu (barang-barang dagangan Parsi). Mengikut O.W. Wolters, ketika Kantoli menghantar utusan, terdapat juga beberapa kerajaan dari Asia Tenggara menghantar utusan mereka ke China dan ini menunjukkan bahawa aktiviti perdagangan begitu memuncak di rantau ini ketika Kansu ditakluki  oleh Kerajaan Wei Utara. Peraka ini telah menyebabkan raja Liu Sung dari selatan terpaksa menggunakan jalan laut untuk mendapatkan barang mewah dari Barat. Justeru itu, Kantoli mengambil kesempatan ini untuk memainkan peranan penting dalam perdagangan timur-barat.

Setelah bangsa Liang mengambil pemerintahan bahagian selatan China pada tahun 502 Masihi, perdagangan antara China dan Kepulauan Asia Tenggara semakin meningkat. Oleh kerana itu, Kantoli telah menghantar lebih banyak utusan iaitu pada tahun 518, 520, 560 dan 563 Masihi. Antara barangan ufti yang dihantar ke China merupakan bau-bauan dan ubat-ubatan. Dupa, Mur, dan Kemenyan dari Asia Barat dan Gaharu, Kemenyan serta kapur barus dari Asia Tenggara mungkin barang yang dihantar oleh kerajaan Kantoli.

Menjelang abad ke 7 masihi, nama Kantoli tidak lagi disebut dalam rekod China. Hal ini berkemungkinan kerajaan ini sudah tidak lagi wujud atau ditakluki oleh kerajaan tetangga. Pada abad ke-7 masihi juga telah muncul berita tentang dua buah kerajaan lain di sekitar laut selatan dalam rekod Cina iaitu Kerajaan Malayu dan Sriwijaya. Berkemungknan besar, Kerajaan Malayu telah menakluki Kantoli ini, memandangkan kedua-dua kerajaan ini wujud di Muara Sungai Batang Hari, Jambi.

Mengikut Sejarah Baru Wangsa Tang kerajaan Malayu buat pertama kalinya  mengirimkan utusan ke China pada tahun 644 masihi, iaitu ketika kerajaan Kantoli sudah tidak lagi wujud. Kemungkinan besar, di antara tahun 563 Masihi hingga 644 Masihi itu telah berlaku pergolakan besar di Pantai Timur Sumatera hingga menyebabkan Kantoli runtuh dan wujudnya Kerajaan Malayu dan Sriwijaya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...