Sebelum ini kami pernah terbitkan artikel yang bertajuk
“Melayu darimana kah kita”. Sudah kita jelaskan tentang teori penghijrahan itu hingga
berkembangnya negeri-negeri Melayu pada kurun yang lalu. Kali ini, kami ingin
mengetengahkan kepada umum sebuah negeri yang bernama MELAYU/MALAYU.
Sebut tentang Melayu pasti kita
skeptikal dengan 14 buah negeri di
Malaysia. Cuba luaskan sedikit pemikiran anda.... lalu pastinya anda akan
membilang negeri-negeri seperti Patani, Champa dan Acheh. Jika anda seorang
pengkaji wajib terlintas akan kerajaan di Palembang dan sinonim terpaut dengan
Sriwijaya. Maka berlangsunglah perbahasan yang tidak sudah melalui media sosial
popular, Facebook.
Namun, kita tidak salahkan anda. Maklumat tentang Sriwijaya amat banyak
sekali dan perbincangan mengenainya amat menarik ditambah lagi, saban hari
terdapat artifak baru dijumpai di Sumatera itu. Ambil nafas dalam-dalam dan
renungkan seketika peta Sumatera, pasti anda akan nampak Jambi, bawah sikit
Palembang anda akan jumpa perkataan Malayu dan Tasik Malaya. Lantas kita akan
berkata;
Aik cam mana ada nama Malaya
ni? Bukan ke Orang Putih bagi istilah ni...kenapa ada di Sumatera?
Kami akan menjelaskan mengenai misteri nama Malaya dan Melayu wujud
di Sumatera dalam untaian seterusnya.
LOKASI DAN KERAJAAN SILAM
Sungai seringkali menjadi pilihan untuk kerajaan-kerajaan silam
membina kota pentadbiran. Pelbagai faktor mengapa kota ini dibina berdekatan
dengan sungai dan ramai antara kita sudah maklum mengenai perkara ini. Begitu
juga dengan Malayu, dalam hal ini kita akan menyoroti tentang sebatang sungai
di Sumatera yang dikenali sebagai Sungai
Batanghari di Jambi.
Kota maritim yang berkembang menjadi kota besar kebiasaannya terletak
di tepi sungai besar. Begitu juga dengan Jambi yang sejak dahulu terletak di
tepi Sungai Batanghari. Pelabuhan Jambi dahulunya dipercayai merupakan sebuah pelabuhan
sungai. Sungai Batanghari yang lebarnya kira-kira 500 meter dan panjangnya
lebih dari 800 km, sesuai untuk pelayaran sungai, sekurang-kurangnya bermula
dari muara sungai hingga ke Kota Jambi sekarang.
Sejak diawal peradaban manusia di Sumatera, Pulau ini dikenali sebagai
sebuah pulau yang menghasilkan emas. Kawasan yang mengandungi emas terletak di
daerah kaki Bukit Barisan yang terkandung dalam Provinsi Bengkulu dan Sumatera
Barat. Banyaknya emas dibumi bertuah itu
maka pulau ini dikenali sebagai Suvarnadwipa (Pulau Emas) oleh
pedangang India pada zaman silam. Oleh kerana itu, banyak kerajaan di Pulau Sumatera berusaha meguasi daerah penghasil
emas ini.
Lantas di kawasan Sungai Batanghari telah muncul dua kerajaan yang
saling berkait rapat dengan Jambi iaitu Kerajaan Malayu dan Kerajaan Sriwijaya.
Dua kerajaan ini saling mendominasi daerah Batanghari dan Jambi. Antara dua
kerajaan ini, Kerajaan Malayu yang paling menonjol dan paling lama
kewujudannya.
Catatan sejarah menyatakan bahawa kerajaan ini disebut pada
pertengahan abad ke-7 Masihi dan masih memegang peranan penting hingga abad
ke-14. Setelah zaman itu, walaupun nama Malayu masih digunapakai tetapi bentuk
pentadbirannya sudah berubah menjadi bentuk pemerintahan yang bercorak Islam
(Kesultanan).
CATATAN SILAM
Sejarah Negara China pada Dinasti Tang (abad ke-7 hingga abad ke-10)
buat pertama kali ada menyatakan kunjungan utusan dari negeri Mo-lo-yeu ke China pada tahun 644-645
Masihi, dalam catatan Arab zaman Khalifah Muawiyah (661-681 Masihi) ada disebut
tentang nama negeri Zabag sebagai
bandar lada terbesar di Sumatera bahagian selatan. Istilah Zabag dapat dikenalpasti dengan (muara) Sabak, di daerah muara
Sungai Batanghari.
Namun catatan kuno seterusnya menyatakan bahawa Kerajaan Malayu ini
telah diatasi oleh Kerajaan Sriwijaya dalam penguasaan lubuk emas ini. Ketika
Sriwijaya menjadi lemah akibat dari serangan Cola, Malayu telah bangkit kembali.
Sebuah Prasasti yang ditemui di Srilanka menyebutkan bahawa pada zaman
pemerintahan Vijayabhanu di Srilanka (1055-110 Masihi), Raja Suryanarayana di Malayapura (Malayu) berjaya menguasi
tampuk pemerintahan di Swarnnapura (Sumatera).
Malayu merupakan sebuah kerajaan yang dianggap penting. Kewujudan
kerajaan ini selalu diakui oleh kerajaan-kerajaan lain. Sebuah kerajaan besar
lain akan menghintung kewujudan kerajaan Malayu, misalnya Sriwijaya dan
Majapahit.
Nagarakertagama menyebutkan bahawa Malayu lebih
dahulu dan menyatakan sebagai sebuah negara terpenting di bawah kekuasaan
Majapahit. Wilayah kekuasaan kerajaan ini meliputi seluruh daratan Pulau
Sumatera, dari hujung barat laut hingga hujung tenggara. Beberapa daerah
merupakan “bawahan” Malayu seperti Jambi,
Dharmmasraya, Kandis dan Manankabwa
yang berlokasi di daerah Sungai Batanghari. Jambi mula-mula disebut kerana
Jambi mungkin merupakan tempat yang
paling penting, bukan sahaja sebagai ibu kota kerajaan. Pada zaman Majapahit,
ibu kota Kerajaan Malayu sudah berlokasi di Dharmmasraya,
iaitu di hulu Batanghari.
Begitulah pengenalan tentang kerajaan yang bernama Malayu
ini. Artikel seterusnya akan kami paparkan tentang kesan-kesan kerajaan yang
wujud di Jambi terutama kesan Kerajaan Malayu ini.