Monday, June 10, 2013

PERADABAN AWAL DI ASIA TENGGARA : HOABINHIAN


3 Artikel yang telah dipost sebelum ini dengan tajuk Melayu dari Mana KitaSebenarnya, Melayu Siapa kita Sebenarnya: Peradaban Melayu Prasejarah dan Melayu Siapa kita sebenarnya : TeoriPenghijrahan telah megupas dari mana sebenarnya Bangsa Melayu ini. Namun ia tidak menjelaskan dengan lanjut tentang peradaban manusia Asia Tenggara pada masa itu.

Peradaban adalah bermaksud kebudayaan, tamadun,kemajuan (fizikal dan mental) serta kecerdasan secara zahir dan batin, dari maksud ini kita boleh jelaskan peradaban manusia ialah kemajuan yang dicapai dalam membuatkan kehidupan manusia itu lebih baik dan maju dari segi mental dan fizikal.

Balik kepada peradaban awal di Asia Tenggara, manusia yang menghuni Asia Tenggara sejak bermulanya Zaman Batu telah berusaha memajukan rantau ini. Faktor geografi memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun mereka. Justeru itu, manusia pada waktu itu berusaha meneroka di kawasan yang bercuaca panas dan mempunyai musim kering yang jelas (kawasan Monsun Tropika). Kawasan-kawasan ini juga mempunyai tanah yang subur hasil daripada letusan gunung berapi atau mendapan lanar dari sungai-sungai utama. Pada masa itu, kawasan Dataran Tinggi Korat (daratan/tanah besar) dan Timur Jawa (kepulauan) merupakan pilihan.

Menjelang 12.000 – 8.000 SM telah terbentuk beberapa peradaban di sekitar kawasan yang diteroka itu. Wujud perbezaan yang agak jelas di antara dua peradaban yang berkembang di kawasan yang berlainan ini. Di tanah besar telah wujud beberapa peradaban dalam zaman Mesolitik, akan tetapi yang jelas diikuti ramai ialah satu tamadun yang dikenali sebagai tradisi Hoabinihian. Tradisi ini dikatakan telah berkembang antara 9.000 – 5.000 SM. Namun, sebelum berkembangnya tradisi ini telah sedia wujud satu tradisi yang lebih tua dan dikenali sebagai Son vi yang telah berkembang sekitar 16.000 – 9.000 SM. Di tanah Kepulauan, kecuali di kawasan Sumatera Utara telah berkembang satu peradaban yang berlainan sedikit daripada tradisi Hoabinhian. Tradisi ini tidak diberi nama khas, ia hanya dikenali sebagai tradisi alat-alat batu serpih (flaked-tools tradition).

Berikut dikongsikan ciri-ciri antara dua peradaban ini:

TRADISI HOABINHIAN
TRADISI ALAT-ALAT BATU SERPIH
Tradisi ini dipercayai telah wujud dalam Zaman Mesolitik di Asia Tenggara. Ciri-cirinya adalah:
(a)    Alat pemotong daripada batu yang agak kasar diperbuat daripada batu-batu sungai yang ditajamkan di sebelahnya sahaja. Terdapat juga alat-alat yang diperbuat dari tulang.
(b)   Orang zaman ini telah pandai membuat takar air daripada tanah liat.
(c)    Mereka hidup berburu binatang besar dan menangkap ikan.
(d)   Mereka dipercayai telah mempunyai kepercayaan kepada alam ghaib.
(e)   Mereka mengamalkan upacara pengkebumian yang teratur.
(f)     Mereka juga telah mempunyai tradisi kesenian yang agak halus.
(g)    Mereka dikatakan telah pandai menggunakan damar untuk pelita/suluh.
(h)   Di samping berburu mereka memungut makanan terutama daripada jenis kacang. Jumpaan daripada tempat peradaban ini, mereka nampaknya telah menggunakan sirih.
(i)      Mereka hidup berpuak-puak dan berpindah randah.
Tradisi ini berkembang di kawasan kepulauan dan kawasan tengah Sumatera hinggalah ke Irian. Ia terbahagi kepada 2 kumpulan utama. Satu kumpulan terdapat di pulau-pulau di selatan, dari Sumatera tengah hingga ke timur dan satu kumpulan lagi dijumpai di kepulauan yang keutara seperti di Filipina dan Sulawesi.

CIRI-CIRI UTAMA MEREKA
Kumpulan Pertama
Kumpulan Kedua
-Menggunakan alat-alat batu yang kecil tetapi tajam yang dikenali sebagai mikrolit
-Hidup dengan memburu binatang kecil, menangkap ikan dan mengumpul siput dan kerang.
-Mula menggunakan tembikar sekitar 6.000-5.000SM
-Mula berternak sekitar 3.000SM
-Mereka menggunakan alat-alat batu yang lebih besar.
-Mereka memburu binatang yang lebih besar.
-Mereka mula berternak dan menanam padi sekitar 6.000-4.000SM

Pengebumian Tradisi Hoabinhian

Perkembangan budaya ini telah bermula dari Zaman Mesolitik hingga memasuki Zaman Neolitik. Akan tetapi di sesetengah tempat di Asia Tenggara ini, Zaman Neolitik ini tidak jelas. Seolah-olah berlaku satu lompatan dari Zaman Mesolitik kepada Zaman Logam. Hal ini telah dijelaskan oleh Semanov bahawa perkara ini berlaku kerana alat-alat tukang Hoabinhian telah digunakan untuk membuat alat-alat kayu dan buluh yang lebih canggih. Alat-alat ini tidak mungkin dapat kekal untuk dikaji oleh ahli-ahli kaji purba kerana ia mula mereput dan terbakar. Sementara itu, di kepulauan jawa upamanya telah menghasilkan alat-alat batu yang lebih licin dalam Zaman Neolitik, di Korat pada waktu yang sama iaitu kira-kira 3500SM telah menghasilkan bahan-bahan gangsa (perunggu). Perkara ini menjelaskan perkembangan budaya yang tidak selari walaupun dalam kawasan yang berhampiran.


Perkara ini telah mewujudkan terdapat komuniti yang maju sebagai masyarakat pertanian,ada yang sebagai pelaut, manakala pada masa yang sama terdapat puak-puak yang meneruskan cara hidup berburu dan mengumpul makanan.

Pada Zaman Neolitik juga terdapat pendatang baru dari utara, iaitu golongan Mongoloid-Indonesiod dan bermulalah satu peradaban baru disekitar Asia Tenggara. Peradaban ini berkembang di sekitar kepulauan dan disemenanjung dikenali dengan alat-alat tukang yang diperbuat daripada batu-batu keras yang diasah dan digilap. Alat-alat itu sama ada berbentuk segi empat atau sudut empat bujur. Salah satu hujungnya merupakan mata pemotong seperti beliung atau pahat. Beliau digunakan untuk membuat perahu atau rumah manakala pahat digunakan untuk membuat ukiran. Peralatan sebegini banyak dijumpai di Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Beliung-beliung yang diperbuat daripada batu-batu permata (semi-precious) banyak dijumpai di Jawa menunjukkan bahawa telah wujud satu tamadun yang agak tinggi di pulau itu dalam Zaman Neolitik.

Sebenarnya penduduk di sekitar tanah besar terutama di Korat lebih maju berbanding pendudk di kepulauan kerana mereka telah mengenali alat-alat logam terutama gangsa. Teknologi membuat peralatan dari gangsa ini telah mereka kuasai sekitar 3500 – 3000 SM. Hal ini telah memudahkan mereka membuka kawasan pertanian. Kerana  itu, sejak 3500 SM kawasan timur laut Thailand telah pun mula bercucuk tanam dan membela haiwan.

Teknologi tentang logam ini hanya sampai ke kepulauan sekitar 2000 SM. Ianya dipercayai diimport dari tanah besar. Perhubungan perdagangan dipercayai telah wujud di sekitar Asia Tenggara seawal 2000 SM, walaupun kajian mendalam mengenai hal ini masih belum sempurna, dipercayai perdagangan antarabangsa di antara kawasan Asia Tenggara ini dengan India telah bermula sejak 1000 SM.


Seperti kita ketahui bahawa logam telah diperkenalkan ke kepulauan sekitar 2000 SM, ianya tidak bermakna Zaman Batu berakhir di sini. Zaman Batu Baru (Neolitik) terus wujud disesetengah tempat Asia Tenggara ini hingga ke-300 SM. Alat-alat batu ini terus digunakan bersama-sama logam sehingga logam menjadi bahan mudah diperolehi dan sedikit demi sedikit alat-alat batu itu dikurangkan.

Saturday, June 8, 2013

Teori Penghijrahan yang membentuk Bangsa Melayu

Peta Penghijrahan Manusia Pra Sejarah




MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?
Teori Penghijrahan

Posting sebelum ini, kita telah menelusuri Zaman prasejarah yang berkaitan dengan Nusantara ini dan kita telah bincangkan bahawa wujudnya manusia pada zaman batu namun, kita tidak dijelaskan bagaimana manusia wujud di Nusantara ini.

PENGHIJRAHAN, cara inilah manusia mula menghuni kawasan Nusantara atau lebih dikenali sebagai Asia Tenggara pada masa ini. Sebelum 1940-an, ahli sejarah percaya bahawa pada akhir Zaman Ais dan awal Zaman Batu telah berlaku penghijrahan beramai-ramai manusia dari kawasan utara masuk ke Asia Tenggara. Teori ini telah dipelopori oleh dua orang ahli antropologi iaitu F.Sarasin dan P.E. Sarasin dan teori ini disokong oleh Heine-Geldern, Coedes, Hall dan ahli sejarah pada zaman itu.

Teori ini menegaskan tentang perpindahan dua kelompok utama manusia yang dikenali sebagai Melayu Proto dan Melayu Deutro ke kawasan ini secara berperingkat-peringkat. Dikatakan bahawa Melayu Proto ini telah membawa kebudayaan neolitik yang maju, manakala Melayu Duetro membawa kebudayaan gangsa dan besi. Teori ini berasaskan kepada kepercayaan yang manusia sebenar (Homosapiens) berasal dari Timur Tengah dan di situlah bermulanya peradaban manusia. Dikatakan bahawa kelompok pertama (Melayu Proto) itu telah berhijrah ke kawasan ini sekitar 3000-2500 SM dan kumpulan kedua (Melayu Duetro) sekitar 1500-300SM.

Ahli sejarah pada masa itu bersependapat tentang penghijrahan beramai-ramai ini tetapi mereka tidak sependapat tentang dimana bermulanya awal peradaban manusia. Ada yang berpendapat peradaban manusia bermula di Eropah, Mesir dan Lembah Mesopotamia atau di Timur Tengah. Dari sinilah manusia itu keluar bertaburan di permukaan bumi ini. Sebahagian mereka telah sampai ke kawasan Asia Tenggara setelah berhenti dan menetap lama di bahagian-bahagian yang dilalui oleh mereka seperti di India, Utara Burma dan Yunan (selatan China).

Namun teori dan pendapat ini disangkal oleh sejarahwan terkemudian seperti Huttere, Bayard, Bronson dan Glover. Mereka perpendapat walaupun ada penghijrahan tetapi ia bukanlah berlaku secara besar-besaran atau secara gelombang. Pun begitu, teori P.Rivert menyatakan bahawa wujud perpindahan secara gelombang dengan menganggap ras terawal yang memasuki Asia Tenggara adalah ras Australoid. Kemudian diikuti dengan gelombang kedua yang terdiri dari ras Melanesoid. Gelombang penghijrahan berikutnya dilakukan oleh ras Polynesoid kemudian diikuti oleh golongan Indonesoid. Kumpulan ras yang terakhir yang memasuki Asia Tenggara ini adalah golongan Indonesiod dan mereka memasuki kawasan Nusantara ini dalam zaman Neolitik.

Bagaimanapun, kajian mutakhir menunjukkan bahawa hanya wujud dua kumpulan manusia di kepulauan Asia Tenggara iaitu:

  • Melanisoid Tua (Old Malanisian) yang dipercayai berkembang setempat
  • Mongoloid – yang berhijrah dari utara.

Kumpulan kedua ini dikatakan telah bergerak ke selatan secara perlahan-lahan dalam jangka masa ribuan tahun dalam Zaman Batu. Sebagai muslim, kita tidak dapat menerima andaian yang mengatakan golongan Melanisoid Tua adalah manusia tempatan tidak dapat diterima. Justeru itu, golongan ini dipercayai telah berhijrah dari kawasan lain ke Asia Tenggara dan kemudian ke Australia di mana mereka dikenali sebagai Australoid.

Kumpulan ras Australoid (Melasinoid Tua) ini juga masih ada menghuni kawasan-kawasan yang pernah dilalui oleh mereka seperti di India dan pulau-pulau lautan pasifik. Di Kepulauan Pasifik ini mereka dikenali sebagai orang Melanesia manakala di India dan Sri Lanka mereka dipanggil Wedda. Ras ini juga ditemui di sekitar Kepulauan Melayu seperti orang Enggano dan Mentawai. Di Sumatera mereka dikenali sebagai Sakai, Ulu, Kubu, Lubu dan Mamak manakala di Sulawesi Selatan mereka dikenali sebagai Toala dan Takeo. Di semenanjung Tnaah Melayu, ras Melanesoid Tua ini terdiri daripada puak-puak Orang Asli, Senoi dan Sakai.


Kumpulan ras Mongoloid dipercayai telah berhijrah ke Asia Tenggara dari Asia Tengah ke timur dan selatan dalam jangka masa beribu-ribu tahun. Mereka kemudiannya mendiami Yunan dan Indo-China. Dari daerah ini ramai antara mereka meneruskan penghijrahan ke selatan memasuki kepulauan Asia Tenggara dan mereka inilah yang dikenali sebagai Melayu Proto dan Melayu Duetro oleh ahli sejarah. Mengikut teori Hendrik Kern dan Winstead, kawasan asal Bangsa Melayu adalah di Champa, Coachin-China dan Kemboja. Penghijrahan ini tetap berterusan walaupun paras air laut semakin tinggi dan menenggelamkan kawasan-kawasan pesisir yang dahulunya kering dan dihuni oleh penghijrah-penghijrah awal. Tanah-tanah tinggi kini telah menjadi pulau dan semenanjung dan perhubungan hanya dapat dijalankan melalui jalan air.

Friday, June 7, 2013

Peradaban Melayu Zaman PraSejarah

MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?
Peradaban Melayu Zaman PraSejarah
(Baca dahulu artikel ini)

Ukiran-ukiran yang terdapat di dalam sebuah gua di TambunPerakyang dianggarkan dilukis pada tahun 3000 SM.

PRASEJARAH satu subjek yang jarang diambil perhatian dalam kajian sejarah Purba. Ramai di antara kita sering menyebut mesolitik, paleolitik dan juga neolitik tetapi mereka tidak memaklumkan bahawa ini adalah aspek “prasejarah”.

Apakah yang dimaksudkan dengan zaman Prasejarah? Perkataan “pra” itu membawa maksud “sebelum” jadi prasejarah bermaksud “sebelum sejarah”. Sejarah itu sebenarnya mempunyai dua maksud;

  1. Yang Umum, sejarah itu adalah masa lalu itu sendiri 
  2. Yang Khusus, sejarah merupakan catatan ataupun rekod mengenai sesuatu peristiwa yang telah berlaku pada satu masa yang lalu.


Kita tinggalkan maksud umum ini kerana ianya tidak menjelaskan sebarang tinggalan sejarah. Tumpuan kita adalah pada maksud khusus iaitu sejarah merupakan catatan ataupun rekod mengenai sesuatu peristiwa yang telah berlaku pada masa lalu. Suatu masa dahulu satu-satunya alat terpenting untuk merekod dan mencatat adalah tulisan. Justeru itu, tulisan merupakan alat terpenting yang digunakan oleh sejarahwan bagi menentukan perzamanan itu; iaitu Zaman Prasejarah dengan Zaman Sejarah. Hal ini menjelaskan bahawa sebelum terciptanya tulisan, zaman itu dianggap Prasejarah. Setelah wujudnya tulisan untuk merekod sesuatu peristiwa itu, maka zaman itu dianggap Zaman Sejarah.

Zaman Prasejarah dapat dibahagikan kepada 3 zaman:
        I.            Zaman Ais (Pleistocene)
      II.            Zaman Batu
    III.            Zaman Logam

Zaman Sejarah juga dapat dibahagikan kepada 3 zaman:
        I.            Zaman Kuno
      II.            Zaman Pertengahan (Medieval)
    III.            Zaman Moden

Dalam menyelidik tentang prasejarah di Nusantara, kita tidak akan menumpukan kepada zaman ais kerana pada masa itu sebahagian dunia ini diselaputi oleh ais menyebabkan paras laut menjadi rendah. Disamping itu tidak ada kesan atau bukti yang menunjukkan wujudnya manusia pada zaman itu di kawasan ini.  

Menjelang 25.000 – 30.000 tahun yang lampau iaitu ketika diakhir Zaman Ais, Nusantara atau lebih tepat Asia Tenggara ini bercantum antara satu sama lain kecuali beberapa buah pulau yang dipisahkan oleh jurang-jurang yang dalam ini disebabkan paras laut yang rendah dengan sebahagian besar air laut membeku di utara dan selatan bumi. Pada masa inilah berlakunya penghijrahan dari satu kawasan ke satu kawasan. Dipercayai bahawa pada masa ini juga baru wujud manusia di sekitar Asia Tenggara.

Dalam menelusuri Prasejarah Nusantara kita harus bermula pada Zaman Batu iaitu pada peringkat kedua dalam zaman prasejarah. Zaman Batu ini dapat dibahagikan kepada tiga zaman iaitu:
        I.            Zaman Batu Awal (Paleolitiki) – 300.000 – 8.000 SM
      II.            Zaman Batu Pertengahan (Mesolitik) – 8.000 – 2700 SM.
    III.            Zaman Batu Muda (Neolitik) – 2700 – 900 SM.

Persoalan utama di sini ialah dari mana mereka ini sebenarnya?

Sejarahwan yang berpegang teguh kepada Teori Darwanisme percaya bahawa penduduk di kawasan ini pada masa itu berasal atau sedia wujud di sini. Mereka mengandaikan manusia mawas (Petikentropos erektus) yang fosilnya banyak ditemui di Jawa itu sebagai penduduk asal kawasan ini. Manusia mawas yang mereka gelarkan sebagai Javaman itu dipercayai sebagai salah satu leluhur manusia moden. Mereka percaya bahawa evolusi dari Javaman ini kepada Homo soloensis (Orang solo) dan kemudian berubah kepada Homo australicus dan barulah menjelma kepada manusia sebenar iaitu Homosapiens. Sekitara 50.000 tahun yang lampau, homosapiens ini telah berpecah membentuk 3 ras tempatan iaitu Paleo-Mongoloids, Veddoids, dan Pigmi.

Pada pengkaji  yang yakin dengan ciptaan Allah s.w.t, teori Darwanisme sebagai leluhur manusia ditolak sama sekali, malah tidak ada bukti yang kukuh dapat dikemukakan tentang pertalian antara manusia mawas dengan manusia sebenar. Apa yang ada hanyalah spekulasi, justeru mereka lebih kuat berpegang kepada teori migrasi penduduk.

Manusia diciptakan oleh Allah s.w.t. daripada tanah iaitu Adam a.s. Dia diciptakan lengkap seperti manusia pada hari ini. Manusia sebenar tidak melalui proses evolusi untuk menjadi manusia seperti manusia hari ini. Justeru itu, manusia dipercayai berpindah dari kawasan asal kelahirannya, iaitu di Timur Tengah ke kawasan-kawasan lain di dunia ini. Oleh kerana asal kejadian, perbezaan iklim dan suasana, rupa bentuk manusia ini mula berbeza dan meraka juga mencipta bahasa-bahasa yang berlainan serta perangai yang berlainan.

Namun kewujudan manusia mawas yang dikatakan itu tidak dapat diabaikan begitu sahaja kerana wujud bukti yang menunjukkan mereka ini mempunyai budaya yang mirip kepada budaya manusia.  Mereka dipercayai hidup dengan cara berburu dan memungut makanan. Mereka juga dipercayai telah menggunakan pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang. Manusia mawas ini dikatakan menggunakan alat-alat tukang yang diperbuat daripada batu yang kasar dan tajam di sebelahnya sahaja.

Di Malaysia, peninggalan Zaman Paleolitik (Batu Awal) telah ditemui di Kota Tampan, Perak, Gua Niah, Sarawak dan Tingkayu, Sabah. Bekas-bekas tinggalan di Kota Tampan itu dianggarkan berusia antara 30.000 hingga 40.000 tahun. Namun, penemuan baru di Perak oleh Zurina Majid pada tahun 1987 disahkan berusia lebih tua, iaitu di antara 50.000 – 100.000, tapak itu ditemui di Bukit Jawa, Lenggong, Perak. Ia juga disahkan sebagai tapak paleolitik yang terbesar dan tertua di dunia.

Selepas zaman batu awal itu, manusia mawas ini tidak lagi kelihatan di kawasan ini malah telah pupus seluruhnya dari dunia tanpa meninggalkan baka. Kepupusan ini berlaku sekitar 40.000 tahun yang lalu. Kepupusan mereka dipercayai akibat wabak penyakit dan ketidakmampuan mereka mengatasi kuasa alam. Apabila masuk Zaman Batu Pertengahan (Mesolitik), baru jelas muncul manusia sebenar di Asia Tenggara. Kemunculan manusia sebenar ini mengikut golongan Muslim adalah hasil daripada migrasi penduduk dari Timur Tengah atau dari Barat.




sIkuti sambungan artikel ini dengan tajuk seperti berikut:
MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?
Teori Penghijrahan

MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?

Tengkolok DiRaja, dipakai kebanyakkan Sultan-Sultan Melayu

Bangsa Melayu adalah bangsa yang paling ramai menghuni Alam Nusantara yang kini kita kenali sebagai Asia Tenggara. Bangsa Melayu dalam konteks Malaysia adalah sebuah bangsa peribumi yang sejak turun temurun berasal dari satu bahagian Dunia yang dikenali sebagai Tanah Melayu iaitu di Semenanjung ini. Namun, tahukah kita dari mana asal kita yang sebenarnya?

Penghuraian mengenai perkara ini, generasi kini terpaksa merujuk kepada catatan dan rekod bangsa imperialis kerana rujukan Bangsa Melayu ini sudah hilang entah kemana.

Pengembara barat pada abad ke-16 masihi seperti Tom Pires, John Davis, William Dampier dan J.A.Pope menyatakan bahawa semua penduduk di kawasan Selat Melaka ini dikenali sebagai Malayan/Malay (Melayu). Namun, hal ini masih dipersoalkan kerana ianya tidak dapat menentukan siapakah Malayan dan siapa pula Malay. Sekiranya mereka ini membuat penafsiran pada bahasa yang dituturkan ianya tidak dapat memastikan siapakah benar-benar Bangsa Melayu itu kerana pada waktu itu, Bahasa Melayu merupakan Lingua Franca dan ianya digunakan hingga abad ke-20 Masihi di Kepulauan Nusantara ini. Setiap bangsa yang singgah pada pelabuhan-pelabuhan di kawasan ini perlu menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan perdagangan. Mereka yang tidak pandai berbahasa Melayu dianggap Kampungan (Ahmad Jelani Halim: 2008).

J.B. Tavernier, seorang pengembara Perancis menyatakan bahawa bahasa Melayu telah digunakan di seluruh kawasan timur wilayah Maharaja Mongul. Bahasa Melayu ini sangat penting sama seperti pentingnya Bahasa Latin di Eropah.

Orang Melayu tidak tertumpu dalam sesebuah negara bangsa atau nation state seperti bangsa India yang dikenali mengikut negara mereka. Tidak ada sempadan fizikal bagi Bangsa Melayu. J.W.Crawfurd menyatakan bahawa orang Melayu menghuni separuh daripada Pulau Sumatera, termasuk seluruh pantai timur dan sebahagian dari pantai barat pulau itu. Mereka juga menghuni sekitar Pulau Borneo (Kalimantan) dan merupakan seluruh penduduk Semenanjung Tanah Melayu, kecuali orang Aslinya. Crawfurd juga menjelaskan bahawa dalam kumpulan bangsa Melayu itu terdapat juga ramai yang bukan daripada keturunan Melayu tulen, akan tetapi telah menerima  pakai bahasa, adat resam dan agama orang Melayu dan akhirnya setelah masa berlalu tidak dapat dibezakan lagi daripada orang Melayu sebenar.

Kenyataan Crawfurd ini mungkin tepat kerana Tun Seri Lanang, penyusun Kitab Sejarah Melayu mengakui bahawa beliau berbangsa Melayu, namun beliau juga mengaku adalah keturunan Mani Purindam, seorang pedangang India yang datang ke Melaka dalam zaman Sultan Muhammad Syah.

Sebenarnya, pengertian bangsa Melayu itu lebih luas dari apa yang dibincangkan di atas. Perkataan bangsa itu lebih kepada membawa pengertian ras (ras melayu). Ras Melayu ini merangkumi seluruh kelompok manusia daipada ras Melayu-Polinesia.

Ikuti artikel seterusnya dengan tajuk:

MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?

Peradaban Melayu Zaman Pra Sejarah

Saturday, May 25, 2013

CATATAN CHINA TENTANG “PAN-PAN” DAN KAITANNYA DENGAN PANTAI TIMUR SEMENANJUNG MALAYSIA

Lakaran Perjalanan  I-Tsing dari Canton ke Tan mo lo ti
Sudah tersurat, catatan tentang Nusantara ini banyak dijumpai dalam rekod orang-orang Tionghua. Di Nusantara ini juga mempunyai rekod pada batu bersurat atau ianya lebih digemari dengan memangil prasasti. Dalam kajian ilmiah, prasasti ini penting sebagai sumber rujukan untuk pengesahan dari rekod-rekod pengembara Tionghua itu.

I-Tcing @ I-Tsing adalah seorang pendeta Budha dari China yang banyak mencatat dengan lengkap tentang Nusantara ini melalui bukunya yang berjudul Nan-hai-chi-kuei-nai-fa-ch’uan (Record) dan Ta-T’ang-si-yu-ku-fa-kao-seng-chu’uan (Memoire). Dua buku ini telah menjadi bahan rujukan utama buat para pengkaji sejarah kuno nusantara.

I-Tsing ini sering berulang alik antara Kwan-Tung dan Tan-mo-lo-ti melalui pelbagai negara seperti yang tercatat dalam record dan memoire. Negara-negara penting dalam kedua-dua buku ini adalah : 
1)      Lo-jeng-kuo
2)      Ka-cha
3)      Mo-lo-yeu
4)      Shih-li-fo-shih
5)      Mo-ho-sin
6)      Ho-ling
7)      Po-li
8)      Tan-Tan
9)      Pan-Pan
10)   Fo-Shih-pu-lo
11)   A-Shan
12)   Lang-ya-hsiu
13)   To-ho-lo-po-ti

Sebelum ini, telah dihuraikan sedikit mengenai Tan-Tan, dan kali ini Pan-Pan akan disentuh mengikut pandangan I-Tsing dan juga beberapa sarjana moden untuk kita melihat apa itu Pan-Pan.

Kepulauan Nusantara ini telah mencatat sejarah sebelum masihi lagi dan kerajaan ketika itu menggunakan jalan laut untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan juga hubungan diplomatik mahupun ketika melakukan pencerobohan. Begitu juga dengan I-Tsing yang menggunakan kapal dari Canton ke India untuk mendalami  ajaran Budha. Beliau menjelaskan bahawa jalan pelayaran dalam proses ulang alik ini boleh dilalui dengan dua cara iaitu mengharungi terus Laut China Selatan atau menyusur pantai. Negara-negara dalam rekod I-Tsing boleh ditemui sekiranya menaiki kapal dan belayar menyusur pantai di Lautan Selatan dan ianya akan melalui Teluk Siam dan Pantai Timur Semenanjung Malaya (Malaysia), berikut adalah rekod-rekod tentang Pan-Pan:


  1. I-Tsing menyebut Pan-Pan dalam rangkaian negeri-negeri di Lautan Selatan yang memeluk agama Budha, sesudah Tan-Tan.
  2. Di tempat lain, I-Tsing menyatakan bahawa Tan-yuen berangkat dari Chio-chih (Tongkin), tetapi meninggal di Pan-Pan, di sebelah utara Ho-ling.
  3.  Chiu Tang Shu menghuraikan bahawa Pan-Pan terletak di sebelah barat daya Lin-i (Campa), di sudut laut. Di sebelah utara terpisah oleh laut sempit dengan Lin-i. Dari Chio-chou letaknya sejauh 40 hari pelayaran. Negeri ini bersempadan dengan Langya-hsiu.
  4. Negara Tou-ho-lo (Dvaravati) di sebelah selatan bersempadan dengan Pan-Pan, di sebelah utara dengan Kia-lo-sheh-fu, di sebelah timur dengan Chen-la, dan disebelah barat dengan laut besar. Dari Canton letaknya sejauh lima bulan perjalanan.
  5. Hsian Tang Shu menyatakan bahawa di sebelah selatan Pan-Pan terletak Ko-lo atau Ko-lo-fu-shao-lo.
  6.  Tung Tien mengatakan bahawa Ko-lo atau Ko-lo-fu-shao-lo, menurut huraian Dinasti Han, terletak di tenggara Pan-Pan.

Prof. G. Coedes berpendapat bahawa Pan-Pan terletak di Semenanjung di Pantai Teluk Siam, namun lokasinya tidak dinyatakan dengan tegas. Dr. Quaritch Wales mengira bahawa Wieng Sra adalah pusat pertama bagi Pan-Pan sama dengan Pran-puri (Pranpun), kerana menurut rekod Shui Shu, Tu-ho-lo di sebelah selatan Pan-Pan dan ianya harus ditafsirkan “di tenggara”. Demikianlah pendapat para sarjana sejarah tentang Pan-Pan. Nyata sekali di sini bahawa Pan-Pan itu merujuk kepada Patani sekarang ini, dan jika Patani dikaitkan kita tidak boleh lari lagi dari sejarah awal BANGSA MELAYU. Hubungan Tan-Tan, Pan-Pan dan Mo-lo-yu itu sendiri adalah akrab dan ianya terjalin sebelum wujudnya Empayar Sriwijaya.

Kedudukan Pan-Pan berdasarkan lakaran dari Wikipedia

Friday, May 24, 2013

Gua Cha : Tapak Arkeologi di Kelantan

1)         Malaysia mempunyai banyak tapak arkeologi yang membuktikan disini wujud peradaban pra-sejarah. Antara tapak yang popular adalah di Lembah Bujang iaitu tinggalan Candi zaman Sri Wijaya dan di Lenggong, Perak tempat penemuan Perak Man serta kajian arkeologi di Gua Niah.

2)      3 lokasi ini sering diwar-warkan sebagai tapak kajian yang tersohor hingga diberi pelbagai penghargaan. Masyarakat umum jarang didedahkan dengan tapak-tapak arkeologi lain yang tidak kurang penting dalam sejarah.CBerikut beberapa tapak penting yang jarang diketahui umum:
1)      Gua Cha, Nenggiri, Kelantan
2)      Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang
3)       Gua Bewah, Tasik Kenyir, Terengganu
4)      Kawasan Endau-Rompin sempadan Johor-Pahang
5)      Gua Bintong di Perlis

3)      Gua Cha, Gua ini terletak di kawasan Nenggiri iaitu sebuah kawasan yang tersohor zaman berzaman. Ia diingati kerana Paduka Che Siti Wan Kembang telah menubuhkan kerajaan baru kerana berundur akibat serangan Siam semasa berada di Chetok bersama-sama Raja Abdullah dan Puteri Saadong. Secara geografinya Gua Cha terletak ditebing kiri Sungai Nenggiri di Ulu Kelantan, 16 km ke hilir Kampung Kuala Betis. Ianya merupakan satu kawasan batu kukup atau batu lindungan yang mempunyai keluasan lantai hampir 300 meter persegi.

4)      Penemuan arkeologi di Gua Cha, dari sudut arkeologi, Gua Cha boleh dikatakan tapak yang paling aktif sekali diselidiki, di Semenanjung Malaysia. Penemuan gua ini telah dilaporkan oleh H.D. Noone pada tahun 1936 manakala kajian yang lebih mendalam dijalankan oleh G.de G. Sieveking pada tahun 1954 dan sekali lagi pada tahun 1979. Kajian terbaru pula dijalankan oleh Haji Adi bin Haji Taha ditapak yang sama.Hasil dari kajian-kajian yang dijalankan lebih dari 30 tinggalan manusia zaman ‘Hoabinhian’ dan Neolitik ditemui di Gua Cha.

5)      Tembikar-tembikar yang dibuat dalam pelbagai bentuk dan ragam dan alat-alat perhiasan juga ditemui dalam kuantiti yang banyak dan merupakan perkakas pengkebumian yang ditanam bersama mayat. Bukti tinggalan makanan yang ditemui di Gua Cha menunjukkan yang masyarakat tersebut bukan sahaja memburu haiwan kecil tetapi juga haiwan besar .

6)      Pentarikhan karbon menunjukkan yang Gua Cha telah didiami oleh masyarakat ‘Hoabinhian’ sejak 10,000 tahun yang silam dan diikuti oleh masyarakat Neolitik pada kira-kira 4,000 tahun yang lalu. Bukti beras terbakar juga ditemui di Gua Cha dibahagian lapisan atas menunjukkan bahawa disitu pernah wujud satu penempatan manusia disekitar Gua Cha.

7)      Penemuan rangka orang-orang Hoabinihian oleh Gale Sieveking telah dibawa lari dalam 10 kotak pada tahun 1954 melalui jalan sungai yang terus tembus ke pahang dan terus diangkut melalui Fort Chabai. Ekspedisi 1954 dikawal ketat oleh tentera dan bekalan makanan dihantar melalui udara berikutan kawasan ini tidak dapat diakses melalui darat. Ini membuktikan kepada kita bahawa kawasan Gua Cha ini adalah bukti penting dalam kita menyusun puzzle untuk mengetahui bangsa yang akan di akhir zaman.

8)      2009-2011 Gua Cha diselia oleh Jabatan Warisan Kebudayaan UMK di bawah kendalian Dato’ Haji Adi Taha (Allahyarham) dan ia terus dipantau UMK.

Rangka Manusia di Gua Cha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...