Friday, June 14, 2013

PERKEMBANGAN PERDAGANGAN DI ASIA TENGGARA : EMAS

Maharaja Rom : Vespasian 

Pedagang India mula berlumba-lumba keluar mencari Pulau / Semenanjung / Bumi Emas ini apabila bekalan emas dari empayar Rom terhenti ekoran Maharaja Vespasian (69-79 Masihi) telah mengharamkan pengeksportan wang-wang syiling emas Rom yang merupakan punca emas bagi India setelah bekalan emas dari kawasan Siberia tersekat akibat kekacauan yang berlaku di Asia Tenggara.

Penciptaan kapal-kapal layar dan teknik pelayaran yang lebih baik juga telah menggalakkan ahli pelayaran dan pedagang keluar mencari pulau-pulau emas itu. Sesetengah kapal itu dikatakan boleh membawa muatan seberat 600 – 700 tan kargo. Sejarahwan India menyatakan bahawa penduduk pesisir pantai India sudah pun mempunyai kemahiran belayar di laut lepas sejak beberapa abad selepas Masihi.

Perkembangan dalam agama Budha juga telah membawa kepada perhubungan perdagangan di antara India dengan Asia Tenggara. Mazhab pecahan yang dikenali sebagai Budha Mahayana telah membuka peluang kepada pengikut-pengikutnya menceburkan diri ke dalam dunia yang dinamik dan berkembang kerana ianya tidak menekankan aspek peningkatan diri untuk mencapai nirwana. Pada masa ini, pelaut-pelaut India lebih ramai menyembah dewa yang dikenali sebagai Budha Dipamkara, yang dianggap sebagai “dewa penenteram gelombang”. Disamping itu pedagang-pedagang India yang beragama Budha ini tidak terikat dengan hukum manu seperti pedagang Hindu yang mengharamkan pelayaran menyeberang laut.

Seawal abad ketiga masihi telah wujud sebuah pusat agama Budha di pinggir Delta Sungai Merah di Vietnam. Ia mempunyai tidak kurang dari 20 buah candi dan lebih dari 500 orang sami yang tinggal disitu. Di samping itu, Sriwijaya di pantai timur Sumatera juga telah menjadi pusat agama Budha Mahayana yang penting sekitar abad keenam masihi.

Kepentingan perdagangan Cina juga telah memabawa kepada kemajuan perdangangan kelautan melalui Asia Tenggara. Kekacauan di bahagian Asia Tengah telah menyebabkan oihak Cina terpaksa iaitu dari Dinasti Han 190-225 Masihi terpaksa mencari jalan dagangan melalui jalan laut di selatan bagi menghubungkan China dengan dunia Barat. Disamping itu galakan yang diberi oleh Dinasti Wu 220-264 Masihi di Selatan China untuk mengimport barang-barang dari barat seperti kain kapas India, barang-barang kemas, getah-getah pokok, mutiara, batu permata, barang-barang kaca dan sebagainya telah meningkatkan perdagangan melalui jalan laut ini, dan jalan ini pastilah melalui Kepulauan Nusantara.

Dalam usaha memperoleh barang-barang dagangan dari luar inilah, pelaut-pelaut Cina kemudiannya telah menemui jalan baru yang merentasi Laut China Selatan di sebelah timurnya. Jalan baru ini membawa kapal-kapal Cina ke Borneo, Jawa dan Sumatera Selatan. Dengan penemuan jalan baru ini telah menembungkan pedagang-pedagang Cina dengan pedagang-pedagang India yang memang telah lama berdagang di pelabuhan-pelabuhan Nusantara terutama di sekitar Selat Sunda. Pertembungan ini telah meningkatkan perdagangan yang sedia telah terjalin.

Kemunculan pedagang-pedagang dari China di pelabuhan-pelabuhan kepulauan ini telah menggembirkan pedagang tempatan kerana ianya telah memecahkan monopoli Funan dan pada ketika itu banyak pelabuhan-pelabuhan ini berlumba-lumba mengaku tunduk kepada kerajaan Cina. Di antara negeri-negeri ini ialah sebuah negeri di selatan Sumatera yang dikenali oleh orang Cina sebagai Ko-ying dan sebuah lagi ialah di barat Jawa yang orang Cina kenali sebagai Ho-lo-tan.

 Kemunculan negeri-negeri yang kaya dan kuat di sekitar selatan Sumatera telah berjaya mengekang aktiviti lanun di Selat Melaka dengan menggunakan khidmat pelaut-pelaut Melayu yang arif tentang perairan rantau ini dan jasa mereka telah dibayar cara pemberian hadiah (kekayaan) dan pangkat (kuasa). Setelah kegiatan lanun di selat Melaka dibenteras, pedagang dari India tidak lagi perlu merentasai Segenting Kra, keadaan ini telah mewujudkan beberapa negeri baru disekitar pantai timur Sumatera di pesisir Selat Melaka. Hal ini telah membolehkan sebuah negeri baru yang dikenali oleh orang Cina sebagai Kan-to-li muncul dan mengambil alih peranan ko-ying dan Ho-lo-tan sebagai penguasa kelautan sekitar Asia Tenggara kerana kedudukan negeri ini lebih strategik.   


Perdagangan secara terus dengan China telah menggalakkan lebih banyak negeri Kuala Sungai di Jawa dan Sumatera menghantar hasil-hasil mereka terus ke China. Kapal-kapal dari kawasan ini telah belayar terus ke China membawa barang-barang seperti rempah ratus dan membawa balik barang-barang China seperti seperti sutera, tembikar dan alat-alat besi. Hingga abad ke 11 Masihi, perdagangan kawasan Nusantara dan China dikawal oleh kapal-kapal orang Melayu. Kapal Melayu juga mengendalikan perdagangan antara Sri Lanka dan kepulauan Asia Tenggara kerana sehingga abad ke-6 masihi kapal-kapal Parsi tidak pernah melampaui pulau itu ke Timur.

PERDAGANGAN ANTARA BANGSA ZAMAN GANGSA NUSANTARA : “jalan” perkembangan Pengaruh INDIA

PERDAGANGAN AWAL ORANG-ORANG MELAYU (KUN-LUN)

Kehebatan Melayu : Bukti Orang Melayu dalam bidang Pelayaran

Sejarahwan menyatakan bahawa perdangangan Nusantara dengan India, China dan Eropah telah bermula semenjak Zaman Neolitik lagi.

Namun yang jelas, sejak abad pertama Masihi terlah wujud jalan laut yang biasa digunakan di atara pantai timur India dan Sri Lanka kepelabuhan-pelabuhan di Asia Tenggara. Justeru itu, wujudlah jalan ke pasaran China yang kaya. Pelabuhan persinggahan mereka yang utama adalah disekitar bahagian utara Pantai Barat Semenanjung, kemudian menyeberangi  Segenting Kra ke Teluk Siam. Selepas itu dengan menaiki kapal lain belayar ke Pelabuhan Oc-Eo di Funan. Sebenarnya Penggunaan jalan merentasi Segenting Kra yang terawal diketahui ialah pada sekitar tahun 141-87SM apabila Maharaja Han Wu Ti mengirim utusan ke India untuk mendapatkan mutiara, kaca dan batu-batu permata yang ganjil.

Hal ini menunjukkan pada masa ini pelaut-pelaut Melayu merupakan golongan penghubung yang menghubungkan pedagang-pedagang dari India/barat dengan pedagang-pedagang dari timur/China. Jalan Perdagangan ini semakin penting pada abad ke-2 Masihi apabila jalan darat yang menghubungkan barat dan timur melalui Asia Tengah terganggu akibat kekacauan yang sering berlaku di kawasan itu. Catatan-Catatan China ada menyatakan tentang kehadiran kapal-kapal Melayu (Kun-lun po) di pelabuhan-pelabuhan tenggara China pada abad pertama dan kedua Masihi. Kapal-kapal Melayu (Kun-Lun-Po) ini dikatakan besar-besar belaka, antaranya ada yang sampai 50 meter panjang dan timbul di permukaan air setinggi empat atau lima meter. Ia sanggup membawa 6000-7000 orang dan muatan seberat 250-1000 tan.

Dalam satu laporan yang dicatatkan oleh seorang pendeta Budha pada abad ke-8 masihi menyatakan:

“Po ini merupakan kapal lautan. Enam atau tujuh kaki daripada bahagiannya di dalam air. Kapal-kapal ini laju dan mampu membawa 1000 orang, selain daripada kargo. Ia juga dikenali sebagai Kun-lun-po. Kebanyakkan  mereka yang menjadi kelasi dan ahli-ahli teknikal terdiri daripada orang Kun-lun.
Denga gentian kulit pokok kelapa, mereka membuat pintal( ikatan) yang mengikat bahagian-bahagian kapal itu. ...Paku dan pengapit tidak digunakan kerana takut pemanasan besi akan menyebabkan kebakaran. (kapal-kapal itu) dibina dengan cara menyusun (beberapa) tebal papan dinding, kerana papan itu nipis dan mereka takut ia pecah. Panjang papan-papan itu melebihi enam puluh meter... Layar dikembangkan untuk menggunakan angin, dan kapal-kapal itu tidak boleh digerakkan dengan tenga manusia semata-mata.”

Orang-orang Barat juga mengenali akan Kun-Lun-Po ini melalui catatan Yunani dalam Periplus of the Erythrean dengan menyatakan tentang Kolandio Phonta yang merupakan kepelatan bahasa Yunani dalam menyebut Kun-Lun-Po.

Pada abad pertama hingga kelima Masihi, jelas kelihatan Funan menguasai perdagangan di rantua ini. Dari Funan, barangan diangkut dengan kapal ke pelabuhan-pelabuhan di selatan China. Pada masa ini Selat Melaka jarang digunakan oleh pedagang dan pelaut kerana bukan sahaja dianggap jauh dan menyulitkan tetapi juga berbahaya kerana kegiatan lanun. O.W. Wolters menyatakan, sehingga pertengahan abad ke-3 Masihi, kapal-kapal dari China terpaksa belayar menyusur pantai Indo-China dan timur Semenanjung Tanah Melayu jika henda ke pelabuhan-pelabuhan di barat Nusantara.

Negara-negara pinggir kawasan pedalaman yang didiami menjadi entrepot perdagangan, membekalkan kelengkapan yang sesuai kepada pelaut dan pedagang, membekalkan makanan, air dan tempat menginap serta gudang simpanan barang dan pasar. Dengan itu membolehkan pertukaran barang-barang timur dan barat dapat dijalankan.

Akan tetapi tidak lama kemudian, pedagang-pedagang rantau Asia Tenggara mula memasarkan barangan mereka sendiri seperti rempah-ratus, wangi-wangian (minyak nilam), kapur barus dan hasil-hasil hutan sebagai barang gantian untuk komoditi asing. Rempah ratus dan hasil-hasil tempatan yang diperkenalkan itu mula mendapat perhatian dan kemudiannya menjadi barangan yang diminati. Hasil-hasil dari kepulauan ini mula mengalir keluar ke pasar-pasar antarabangsa dalam abad-abad keempat dan kelima. Perdagangan antarabangsa ini telah membantu membina negara-negara di rantau ini.

Kajian arkeologi di kawasan pantai timur Semenanjung India telah berhasil menemui satu tapak yang dikenali sebagai Arikamedu. Tapak ini membuktikan kewujudan perhubungan dagang yang meluas di antara timur dan barat pada sekitar abad pertama masihi. Di kawasan ini diketahui bahawa eksportnya adalah ke Barat termasuklah lada hitam, mutiara, batu permata, tembikar, kulit penyu, gading dan sutera. Barangan ini dijual pada harga yang lebih tinggi di Rom. Pada abad pertama masihi, harga sepaun lada hitam di Rom adalah 15 denarii. Semua ini merupakan hasil-hasil dari Asia Tenggara dan China. Import dari Barat merupakan logam-logam seperti plumbum, tembaga dan timah. Selain daripada itu diimport juga kaca, pasu-pasu tembikar, lampu, arak dan wang syiling.

Clandius Ptolemaeus (Ptolemy)

Pengembara Mesir bernama Clandius Ptolemaeus (Ptolemy) pada sekitar 100 – 170 Masihi, telah merekod satu daftar yang lengkap tentang pelabuhan-pelabuhan dan pusat perdagangan di Timur dan Barat pada abad ke-2 masihi. Ptolemy juga telah menjelaskan sedikit sebanyak tentang pantai Coromendal (timur India) yang tidak pernah disebut oleh penulis-penulis terdahulu.

Catatan Ptolemy ini telah memperkenalkan Asia Tenggara khususnya Semenanjung Tanah Melayu kepada dunia Barat. Ptolemy memanggil semenanjung ini sebagai Golden Khersonese yang bermaksud Semenanjung Emas. Di samping itu kawasan ini memang telah terkenal di India sejak abad pertama masihi atau mungkin lebih awal lagi. Dalam kesusasteraan India seperti Ramayana dan Jataka, kawasan ini dipanggil Suwarnadwipa (Semenanjung Emas) atau Suwarnabhumi (Bumi Emas).

Golden Khersonese mengikut catatan Ptolemy

Bersambung dengan tajuk : PERKEMBANGAN PERDAGANGAN DI ASIA TENGGARA : EMAS


Wednesday, June 12, 2013

ANIMISME DAN DINAMISME KEPERCAYAAN AWAL MASYARAKAT DI ASIA TENGGARA

 Kepercayaan awal masyarakat di Asia Tenggara mula wujud sejak dari Zaman Mesolitik, namun bentuk kepercayaan ini tidak jelas, apa yang dikesan hanya yang dapat dikesan adalah daripada cara-cara pengebumian mayat. Sebagai contoh di Gua Niah telah ditemui satu rangka pemuda dari Zaman Mesolitik dimana pengebumian pemuda ini telah dilakukan dengan sempurna dan dilengkapkan dengan alat-alat kegiatan seharian seperti kapak, beliung, perahu, alat-alat menangkap ikan dan sebagainya yang menunjukkan bahawa mereka telah mempunyai kepercayaan tentang hidup selepas mati, iaitu wujud satu alam lain selain daripada alam fizikal ini dan wujud roh.

Sekitar Zaman Logam Awal (gangsa), iaitu sebelum kedatangan pengaruh India ke Nusantara, telah wujud pengebumian secara membakar mayat. Debu-debu mayat itu kemudiannya disimpan dalam takar. Pembakaran mayat ini dapat dikesan di Jawa Barat, Bukit Tinggi, di Sumatera Barat, Sabang di Sulawesi Tengah, Pulau Salayar dan Melolo di Sumba. Sejarahwan I.C Clover menjelaskan bahawa pembakaran mayat ini tertumpu di kawasan pesisir dan tidak berlaku di kawasan pedalaman kecuali di Bukit Tinggi, Sumatera.

Sejarahwan B.Harrison percaya bahawa upacara pembakaran mayat telah mula dilakukan dalam Zaman Dong-Son, takar-takar yang digunakan untuk menyimpan debu-debu itu dikatakan berasal daripada tradisi Sahuynh-Kalany, iaitu satu tradisi tembikar yang mempunyai betuk patern yang unik.

Gambar Hiasan.

Sungguhpun begitu, kepercayaan asas mereka adalah animisme dan dinamisme. Animisme adalah kepercayaan kepada serba jenis roh/semangat. Dinamisme pula merupakan kepercayaan kepada wujudnya kekuatan atau mana di mana-mana sahaja. Akan tetapi para sarjana sering meyamakan sahaja kedua-dua istilah itu sebagai animisme.

Mengenai kepercayaan dinamisme, S.Wojowasito menjelaskan bahawa setiap makhluk dan benda dikatakan mempunyai mana (kekuatan). Sesuatu benda atau makhluk boleh mempunyai lebih banyak mana daripada benda dan makhluk lain. Mana juga dikatakan terdapat lebih banyak di dalam satu bahagian tubuh daripada bahagian yang lain, umpamanya di kepala lebih banyak daripada di kaki, di belakang lebih banyak daripada di hadapan. Dikatakan juga orang yang mempunyai lebih banyak mana lebih berbahaya.

Mana ini boleh dipindahkan kepada benda atau orang lain. Sebagai contoh, jika orang menerima satu hadiah daripada orang lain, bermakna dia akan menerima mana daripada pemberi itu. Perkara ini mungkin membahayakan dirinya, kerana perimbangan mana yang ada pada dirinya akan terganggu. Oleh kerana itu, untuk menghindarkan bahaya orang yang menerima hadiah itu mestilah seberapa yang boleh membalas hadiah yang diberikan itu supaya perimbangan mana yang terganggu itu dapat dibaiki kembali.

Masyarakat yang mengamalkan kepercayaan dinamisme percaya semua benda dan hidupan mempunyai mana atau kekuatan.

Sebab itu terdapat dalam kalangan masyarakat di Asia Tenggara ini mengamalkan ngayau (memburu kepala) dan kanibalisme. Perbuatan itu semata-mata bertujuan untuk merampas mana musuhnya untuk memperkuatkan mana dirinya.

Anamisme pula dikatakan bahawa setiap makhluk, benda atau tumbuh-tumbuhan itu mempunyai roh (semangat). Roh ini tidak boleh mati dan hancur seperti jasad. Jika seseorang itu meninggal dunia, rohnya akan meninggalkan jasad dan tinggal di tempat-tempat tertentu. Disamping mempercayai semangat-semangat ini, animisme juga percaya tentang wujudnya “makhluk halus”, iaitu makhluk yang wujud tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk ini seperti orang bunian, mambang, jembalang, hantu, pontianak dan sebagainya.

Berbagai-bagai upacara dilakukan untuk memuja semangat-semangat itu. Semangat-semangat ini dikatakan boleh membantu dan juga merosakkan. Justeru itu semua tindakan yang dilakukan harus berhati-hati supaya tidak menggangu semangat itu. Kepercayaan kepada semangat dan kepada roh orang mati ini kemudian berkembang kepada kepercayaan tentang roh yang lebih berkuasa iaitu roh nenek moyang (Hyang).

Kepercayaan Hyang ini menjadi lebih kompleks dalam Zaman Neolitik. Kesan dari kepercayaan ini telah membentuk sebuah budaya yang dikenali sebagai budaya megalitik. Budaya ini dapat dikesan oleh longgokan meja-meja batu yang dikenali sebagai menhir dan dolmen. Menhir adalah ketulan-ketulan batu yang menegak yang merupakan kaki meja itu dan dolmen merupakan batu leper yang mendatar yang biasanya diletakkan di atas menhir bagi tujuan penyembahan Hyang. Diyakini bahawa batu-batu megalit itu digunakan untuk tempat menjalankan upacara-upacara korban (manusia atau binatang) dan kadangkala merupakan keranda batu.

Di Berhala Lima, berhampiran Kota Bharu, Kelantan terdapat sebuah kompleks batu megalit yang terdiri daripada kubur dolmen dan sebuah menhir “tempat bersemayam” Hyang. Winstedt percaya kompleks ini di dirikan sekitar 300SM.

Dalam masa ini kepercayaan kepada Hyang menjadi lebih kompleks. Roh anggota keluarga yang mati dipercayai menjadi pelindung terkuat kepada sesebuah keluarga itu. Roh itu dikatakan tidak meninggalkan tempat kediamannya, walaupun jasadnya telah dikebumikan. Mereka percaya roh-roh ini boleh dibangunkan dengan beberapa amalan ritual seperti nyanyian puji-pujian, tarian dan sajian. Pada ketika ini mula muncul kegiatan membuat bayangan-bayangan sebagai ganti bayangan roh orang yang meninggal. Biasanya upacara memangil roh nenek moyang ini dijalankan pada waktu malam, ketika bayang-bayang banyak berkeliaran.

Pada awalnya upacara ini dikendalikan oleh ketua-ketua keluarga atau ketua-ketua puak, akan tetapi kemudian iala telah dijalankan oleh golongan profesional yang dipanggil dalang. Daripada kegiatan memuja nenek moyang melalui bayang-bayang inilah kemudian lahirnya pertunjukan wayang dan wayang kulit. Pertunjukan wayang ini dipercayai telah bermula sekitar 2.000 – 1.500 SM.

Apabila  berlaku bencana alam, masyarakat ini sering mengadakan upacara-upacara ritual dalam bentuk tarian ianya bertujuan untuk mengharmonikan kembali alam. Bencana alam itu dipercayai berlaku disebabkan oleh gangguan kepada rentak alam. Justeru itu tarian dengan gerak geri tertentu diadakan. Dengan cara itu dipercayai akan mempengaruhi alam itu supaya kembali kepada rentak yang betul atau kepada landasan asalnya.

Begitulah kepercayaan awal masyarat di Asia Tenggara ini termasuklah di Kelantan, kepercayaan kepada alam dan roh menjadi pegangan. Disini kalau dikesan sudah ada unsur-unsur tauhid namun, mereka tidak menerima nur yang sebenar. Selepas ini akan dihuraikan pengaruh agama Hindu dalam masyarakat Nusantara. Ikuti tajuk seterusnya:

PERDAGANGAN ANTARA BANGSA ZAMAN GANGSA NUSANTARAPemangkin perkembangan Pengaruh HINDU 

Monday, June 10, 2013

PERADABAN AWAL DI ASIA TENGGARA : HOABINHIAN


3 Artikel yang telah dipost sebelum ini dengan tajuk Melayu dari Mana KitaSebenarnya, Melayu Siapa kita Sebenarnya: Peradaban Melayu Prasejarah dan Melayu Siapa kita sebenarnya : TeoriPenghijrahan telah megupas dari mana sebenarnya Bangsa Melayu ini. Namun ia tidak menjelaskan dengan lanjut tentang peradaban manusia Asia Tenggara pada masa itu.

Peradaban adalah bermaksud kebudayaan, tamadun,kemajuan (fizikal dan mental) serta kecerdasan secara zahir dan batin, dari maksud ini kita boleh jelaskan peradaban manusia ialah kemajuan yang dicapai dalam membuatkan kehidupan manusia itu lebih baik dan maju dari segi mental dan fizikal.

Balik kepada peradaban awal di Asia Tenggara, manusia yang menghuni Asia Tenggara sejak bermulanya Zaman Batu telah berusaha memajukan rantau ini. Faktor geografi memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun mereka. Justeru itu, manusia pada waktu itu berusaha meneroka di kawasan yang bercuaca panas dan mempunyai musim kering yang jelas (kawasan Monsun Tropika). Kawasan-kawasan ini juga mempunyai tanah yang subur hasil daripada letusan gunung berapi atau mendapan lanar dari sungai-sungai utama. Pada masa itu, kawasan Dataran Tinggi Korat (daratan/tanah besar) dan Timur Jawa (kepulauan) merupakan pilihan.

Menjelang 12.000 – 8.000 SM telah terbentuk beberapa peradaban di sekitar kawasan yang diteroka itu. Wujud perbezaan yang agak jelas di antara dua peradaban yang berkembang di kawasan yang berlainan ini. Di tanah besar telah wujud beberapa peradaban dalam zaman Mesolitik, akan tetapi yang jelas diikuti ramai ialah satu tamadun yang dikenali sebagai tradisi Hoabinihian. Tradisi ini dikatakan telah berkembang antara 9.000 – 5.000 SM. Namun, sebelum berkembangnya tradisi ini telah sedia wujud satu tradisi yang lebih tua dan dikenali sebagai Son vi yang telah berkembang sekitar 16.000 – 9.000 SM. Di tanah Kepulauan, kecuali di kawasan Sumatera Utara telah berkembang satu peradaban yang berlainan sedikit daripada tradisi Hoabinhian. Tradisi ini tidak diberi nama khas, ia hanya dikenali sebagai tradisi alat-alat batu serpih (flaked-tools tradition).

Berikut dikongsikan ciri-ciri antara dua peradaban ini:

TRADISI HOABINHIAN
TRADISI ALAT-ALAT BATU SERPIH
Tradisi ini dipercayai telah wujud dalam Zaman Mesolitik di Asia Tenggara. Ciri-cirinya adalah:
(a)    Alat pemotong daripada batu yang agak kasar diperbuat daripada batu-batu sungai yang ditajamkan di sebelahnya sahaja. Terdapat juga alat-alat yang diperbuat dari tulang.
(b)   Orang zaman ini telah pandai membuat takar air daripada tanah liat.
(c)    Mereka hidup berburu binatang besar dan menangkap ikan.
(d)   Mereka dipercayai telah mempunyai kepercayaan kepada alam ghaib.
(e)   Mereka mengamalkan upacara pengkebumian yang teratur.
(f)     Mereka juga telah mempunyai tradisi kesenian yang agak halus.
(g)    Mereka dikatakan telah pandai menggunakan damar untuk pelita/suluh.
(h)   Di samping berburu mereka memungut makanan terutama daripada jenis kacang. Jumpaan daripada tempat peradaban ini, mereka nampaknya telah menggunakan sirih.
(i)      Mereka hidup berpuak-puak dan berpindah randah.
Tradisi ini berkembang di kawasan kepulauan dan kawasan tengah Sumatera hinggalah ke Irian. Ia terbahagi kepada 2 kumpulan utama. Satu kumpulan terdapat di pulau-pulau di selatan, dari Sumatera tengah hingga ke timur dan satu kumpulan lagi dijumpai di kepulauan yang keutara seperti di Filipina dan Sulawesi.

CIRI-CIRI UTAMA MEREKA
Kumpulan Pertama
Kumpulan Kedua
-Menggunakan alat-alat batu yang kecil tetapi tajam yang dikenali sebagai mikrolit
-Hidup dengan memburu binatang kecil, menangkap ikan dan mengumpul siput dan kerang.
-Mula menggunakan tembikar sekitar 6.000-5.000SM
-Mula berternak sekitar 3.000SM
-Mereka menggunakan alat-alat batu yang lebih besar.
-Mereka memburu binatang yang lebih besar.
-Mereka mula berternak dan menanam padi sekitar 6.000-4.000SM

Pengebumian Tradisi Hoabinhian

Perkembangan budaya ini telah bermula dari Zaman Mesolitik hingga memasuki Zaman Neolitik. Akan tetapi di sesetengah tempat di Asia Tenggara ini, Zaman Neolitik ini tidak jelas. Seolah-olah berlaku satu lompatan dari Zaman Mesolitik kepada Zaman Logam. Hal ini telah dijelaskan oleh Semanov bahawa perkara ini berlaku kerana alat-alat tukang Hoabinhian telah digunakan untuk membuat alat-alat kayu dan buluh yang lebih canggih. Alat-alat ini tidak mungkin dapat kekal untuk dikaji oleh ahli-ahli kaji purba kerana ia mula mereput dan terbakar. Sementara itu, di kepulauan jawa upamanya telah menghasilkan alat-alat batu yang lebih licin dalam Zaman Neolitik, di Korat pada waktu yang sama iaitu kira-kira 3500SM telah menghasilkan bahan-bahan gangsa (perunggu). Perkara ini menjelaskan perkembangan budaya yang tidak selari walaupun dalam kawasan yang berhampiran.


Perkara ini telah mewujudkan terdapat komuniti yang maju sebagai masyarakat pertanian,ada yang sebagai pelaut, manakala pada masa yang sama terdapat puak-puak yang meneruskan cara hidup berburu dan mengumpul makanan.

Pada Zaman Neolitik juga terdapat pendatang baru dari utara, iaitu golongan Mongoloid-Indonesiod dan bermulalah satu peradaban baru disekitar Asia Tenggara. Peradaban ini berkembang di sekitar kepulauan dan disemenanjung dikenali dengan alat-alat tukang yang diperbuat daripada batu-batu keras yang diasah dan digilap. Alat-alat itu sama ada berbentuk segi empat atau sudut empat bujur. Salah satu hujungnya merupakan mata pemotong seperti beliung atau pahat. Beliau digunakan untuk membuat perahu atau rumah manakala pahat digunakan untuk membuat ukiran. Peralatan sebegini banyak dijumpai di Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Beliung-beliung yang diperbuat daripada batu-batu permata (semi-precious) banyak dijumpai di Jawa menunjukkan bahawa telah wujud satu tamadun yang agak tinggi di pulau itu dalam Zaman Neolitik.

Sebenarnya penduduk di sekitar tanah besar terutama di Korat lebih maju berbanding pendudk di kepulauan kerana mereka telah mengenali alat-alat logam terutama gangsa. Teknologi membuat peralatan dari gangsa ini telah mereka kuasai sekitar 3500 – 3000 SM. Hal ini telah memudahkan mereka membuka kawasan pertanian. Kerana  itu, sejak 3500 SM kawasan timur laut Thailand telah pun mula bercucuk tanam dan membela haiwan.

Teknologi tentang logam ini hanya sampai ke kepulauan sekitar 2000 SM. Ianya dipercayai diimport dari tanah besar. Perhubungan perdagangan dipercayai telah wujud di sekitar Asia Tenggara seawal 2000 SM, walaupun kajian mendalam mengenai hal ini masih belum sempurna, dipercayai perdagangan antarabangsa di antara kawasan Asia Tenggara ini dengan India telah bermula sejak 1000 SM.


Seperti kita ketahui bahawa logam telah diperkenalkan ke kepulauan sekitar 2000 SM, ianya tidak bermakna Zaman Batu berakhir di sini. Zaman Batu Baru (Neolitik) terus wujud disesetengah tempat Asia Tenggara ini hingga ke-300 SM. Alat-alat batu ini terus digunakan bersama-sama logam sehingga logam menjadi bahan mudah diperolehi dan sedikit demi sedikit alat-alat batu itu dikurangkan.

Saturday, June 8, 2013

Teori Penghijrahan yang membentuk Bangsa Melayu

Peta Penghijrahan Manusia Pra Sejarah




MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?
Teori Penghijrahan

Posting sebelum ini, kita telah menelusuri Zaman prasejarah yang berkaitan dengan Nusantara ini dan kita telah bincangkan bahawa wujudnya manusia pada zaman batu namun, kita tidak dijelaskan bagaimana manusia wujud di Nusantara ini.

PENGHIJRAHAN, cara inilah manusia mula menghuni kawasan Nusantara atau lebih dikenali sebagai Asia Tenggara pada masa ini. Sebelum 1940-an, ahli sejarah percaya bahawa pada akhir Zaman Ais dan awal Zaman Batu telah berlaku penghijrahan beramai-ramai manusia dari kawasan utara masuk ke Asia Tenggara. Teori ini telah dipelopori oleh dua orang ahli antropologi iaitu F.Sarasin dan P.E. Sarasin dan teori ini disokong oleh Heine-Geldern, Coedes, Hall dan ahli sejarah pada zaman itu.

Teori ini menegaskan tentang perpindahan dua kelompok utama manusia yang dikenali sebagai Melayu Proto dan Melayu Deutro ke kawasan ini secara berperingkat-peringkat. Dikatakan bahawa Melayu Proto ini telah membawa kebudayaan neolitik yang maju, manakala Melayu Duetro membawa kebudayaan gangsa dan besi. Teori ini berasaskan kepada kepercayaan yang manusia sebenar (Homosapiens) berasal dari Timur Tengah dan di situlah bermulanya peradaban manusia. Dikatakan bahawa kelompok pertama (Melayu Proto) itu telah berhijrah ke kawasan ini sekitar 3000-2500 SM dan kumpulan kedua (Melayu Duetro) sekitar 1500-300SM.

Ahli sejarah pada masa itu bersependapat tentang penghijrahan beramai-ramai ini tetapi mereka tidak sependapat tentang dimana bermulanya awal peradaban manusia. Ada yang berpendapat peradaban manusia bermula di Eropah, Mesir dan Lembah Mesopotamia atau di Timur Tengah. Dari sinilah manusia itu keluar bertaburan di permukaan bumi ini. Sebahagian mereka telah sampai ke kawasan Asia Tenggara setelah berhenti dan menetap lama di bahagian-bahagian yang dilalui oleh mereka seperti di India, Utara Burma dan Yunan (selatan China).

Namun teori dan pendapat ini disangkal oleh sejarahwan terkemudian seperti Huttere, Bayard, Bronson dan Glover. Mereka perpendapat walaupun ada penghijrahan tetapi ia bukanlah berlaku secara besar-besaran atau secara gelombang. Pun begitu, teori P.Rivert menyatakan bahawa wujud perpindahan secara gelombang dengan menganggap ras terawal yang memasuki Asia Tenggara adalah ras Australoid. Kemudian diikuti dengan gelombang kedua yang terdiri dari ras Melanesoid. Gelombang penghijrahan berikutnya dilakukan oleh ras Polynesoid kemudian diikuti oleh golongan Indonesoid. Kumpulan ras yang terakhir yang memasuki Asia Tenggara ini adalah golongan Indonesiod dan mereka memasuki kawasan Nusantara ini dalam zaman Neolitik.

Bagaimanapun, kajian mutakhir menunjukkan bahawa hanya wujud dua kumpulan manusia di kepulauan Asia Tenggara iaitu:

  • Melanisoid Tua (Old Malanisian) yang dipercayai berkembang setempat
  • Mongoloid – yang berhijrah dari utara.

Kumpulan kedua ini dikatakan telah bergerak ke selatan secara perlahan-lahan dalam jangka masa ribuan tahun dalam Zaman Batu. Sebagai muslim, kita tidak dapat menerima andaian yang mengatakan golongan Melanisoid Tua adalah manusia tempatan tidak dapat diterima. Justeru itu, golongan ini dipercayai telah berhijrah dari kawasan lain ke Asia Tenggara dan kemudian ke Australia di mana mereka dikenali sebagai Australoid.

Kumpulan ras Australoid (Melasinoid Tua) ini juga masih ada menghuni kawasan-kawasan yang pernah dilalui oleh mereka seperti di India dan pulau-pulau lautan pasifik. Di Kepulauan Pasifik ini mereka dikenali sebagai orang Melanesia manakala di India dan Sri Lanka mereka dipanggil Wedda. Ras ini juga ditemui di sekitar Kepulauan Melayu seperti orang Enggano dan Mentawai. Di Sumatera mereka dikenali sebagai Sakai, Ulu, Kubu, Lubu dan Mamak manakala di Sulawesi Selatan mereka dikenali sebagai Toala dan Takeo. Di semenanjung Tnaah Melayu, ras Melanesoid Tua ini terdiri daripada puak-puak Orang Asli, Senoi dan Sakai.


Kumpulan ras Mongoloid dipercayai telah berhijrah ke Asia Tenggara dari Asia Tengah ke timur dan selatan dalam jangka masa beribu-ribu tahun. Mereka kemudiannya mendiami Yunan dan Indo-China. Dari daerah ini ramai antara mereka meneruskan penghijrahan ke selatan memasuki kepulauan Asia Tenggara dan mereka inilah yang dikenali sebagai Melayu Proto dan Melayu Duetro oleh ahli sejarah. Mengikut teori Hendrik Kern dan Winstead, kawasan asal Bangsa Melayu adalah di Champa, Coachin-China dan Kemboja. Penghijrahan ini tetap berterusan walaupun paras air laut semakin tinggi dan menenggelamkan kawasan-kawasan pesisir yang dahulunya kering dan dihuni oleh penghijrah-penghijrah awal. Tanah-tanah tinggi kini telah menjadi pulau dan semenanjung dan perhubungan hanya dapat dijalankan melalui jalan air.

Friday, June 7, 2013

Peradaban Melayu Zaman PraSejarah

MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?
Peradaban Melayu Zaman PraSejarah
(Baca dahulu artikel ini)

Ukiran-ukiran yang terdapat di dalam sebuah gua di TambunPerakyang dianggarkan dilukis pada tahun 3000 SM.

PRASEJARAH satu subjek yang jarang diambil perhatian dalam kajian sejarah Purba. Ramai di antara kita sering menyebut mesolitik, paleolitik dan juga neolitik tetapi mereka tidak memaklumkan bahawa ini adalah aspek “prasejarah”.

Apakah yang dimaksudkan dengan zaman Prasejarah? Perkataan “pra” itu membawa maksud “sebelum” jadi prasejarah bermaksud “sebelum sejarah”. Sejarah itu sebenarnya mempunyai dua maksud;

  1. Yang Umum, sejarah itu adalah masa lalu itu sendiri 
  2. Yang Khusus, sejarah merupakan catatan ataupun rekod mengenai sesuatu peristiwa yang telah berlaku pada satu masa yang lalu.


Kita tinggalkan maksud umum ini kerana ianya tidak menjelaskan sebarang tinggalan sejarah. Tumpuan kita adalah pada maksud khusus iaitu sejarah merupakan catatan ataupun rekod mengenai sesuatu peristiwa yang telah berlaku pada masa lalu. Suatu masa dahulu satu-satunya alat terpenting untuk merekod dan mencatat adalah tulisan. Justeru itu, tulisan merupakan alat terpenting yang digunakan oleh sejarahwan bagi menentukan perzamanan itu; iaitu Zaman Prasejarah dengan Zaman Sejarah. Hal ini menjelaskan bahawa sebelum terciptanya tulisan, zaman itu dianggap Prasejarah. Setelah wujudnya tulisan untuk merekod sesuatu peristiwa itu, maka zaman itu dianggap Zaman Sejarah.

Zaman Prasejarah dapat dibahagikan kepada 3 zaman:
        I.            Zaman Ais (Pleistocene)
      II.            Zaman Batu
    III.            Zaman Logam

Zaman Sejarah juga dapat dibahagikan kepada 3 zaman:
        I.            Zaman Kuno
      II.            Zaman Pertengahan (Medieval)
    III.            Zaman Moden

Dalam menyelidik tentang prasejarah di Nusantara, kita tidak akan menumpukan kepada zaman ais kerana pada masa itu sebahagian dunia ini diselaputi oleh ais menyebabkan paras laut menjadi rendah. Disamping itu tidak ada kesan atau bukti yang menunjukkan wujudnya manusia pada zaman itu di kawasan ini.  

Menjelang 25.000 – 30.000 tahun yang lampau iaitu ketika diakhir Zaman Ais, Nusantara atau lebih tepat Asia Tenggara ini bercantum antara satu sama lain kecuali beberapa buah pulau yang dipisahkan oleh jurang-jurang yang dalam ini disebabkan paras laut yang rendah dengan sebahagian besar air laut membeku di utara dan selatan bumi. Pada masa inilah berlakunya penghijrahan dari satu kawasan ke satu kawasan. Dipercayai bahawa pada masa ini juga baru wujud manusia di sekitar Asia Tenggara.

Dalam menelusuri Prasejarah Nusantara kita harus bermula pada Zaman Batu iaitu pada peringkat kedua dalam zaman prasejarah. Zaman Batu ini dapat dibahagikan kepada tiga zaman iaitu:
        I.            Zaman Batu Awal (Paleolitiki) – 300.000 – 8.000 SM
      II.            Zaman Batu Pertengahan (Mesolitik) – 8.000 – 2700 SM.
    III.            Zaman Batu Muda (Neolitik) – 2700 – 900 SM.

Persoalan utama di sini ialah dari mana mereka ini sebenarnya?

Sejarahwan yang berpegang teguh kepada Teori Darwanisme percaya bahawa penduduk di kawasan ini pada masa itu berasal atau sedia wujud di sini. Mereka mengandaikan manusia mawas (Petikentropos erektus) yang fosilnya banyak ditemui di Jawa itu sebagai penduduk asal kawasan ini. Manusia mawas yang mereka gelarkan sebagai Javaman itu dipercayai sebagai salah satu leluhur manusia moden. Mereka percaya bahawa evolusi dari Javaman ini kepada Homo soloensis (Orang solo) dan kemudian berubah kepada Homo australicus dan barulah menjelma kepada manusia sebenar iaitu Homosapiens. Sekitara 50.000 tahun yang lampau, homosapiens ini telah berpecah membentuk 3 ras tempatan iaitu Paleo-Mongoloids, Veddoids, dan Pigmi.

Pada pengkaji  yang yakin dengan ciptaan Allah s.w.t, teori Darwanisme sebagai leluhur manusia ditolak sama sekali, malah tidak ada bukti yang kukuh dapat dikemukakan tentang pertalian antara manusia mawas dengan manusia sebenar. Apa yang ada hanyalah spekulasi, justeru mereka lebih kuat berpegang kepada teori migrasi penduduk.

Manusia diciptakan oleh Allah s.w.t. daripada tanah iaitu Adam a.s. Dia diciptakan lengkap seperti manusia pada hari ini. Manusia sebenar tidak melalui proses evolusi untuk menjadi manusia seperti manusia hari ini. Justeru itu, manusia dipercayai berpindah dari kawasan asal kelahirannya, iaitu di Timur Tengah ke kawasan-kawasan lain di dunia ini. Oleh kerana asal kejadian, perbezaan iklim dan suasana, rupa bentuk manusia ini mula berbeza dan meraka juga mencipta bahasa-bahasa yang berlainan serta perangai yang berlainan.

Namun kewujudan manusia mawas yang dikatakan itu tidak dapat diabaikan begitu sahaja kerana wujud bukti yang menunjukkan mereka ini mempunyai budaya yang mirip kepada budaya manusia.  Mereka dipercayai hidup dengan cara berburu dan memungut makanan. Mereka juga dipercayai telah menggunakan pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang. Manusia mawas ini dikatakan menggunakan alat-alat tukang yang diperbuat daripada batu yang kasar dan tajam di sebelahnya sahaja.

Di Malaysia, peninggalan Zaman Paleolitik (Batu Awal) telah ditemui di Kota Tampan, Perak, Gua Niah, Sarawak dan Tingkayu, Sabah. Bekas-bekas tinggalan di Kota Tampan itu dianggarkan berusia antara 30.000 hingga 40.000 tahun. Namun, penemuan baru di Perak oleh Zurina Majid pada tahun 1987 disahkan berusia lebih tua, iaitu di antara 50.000 – 100.000, tapak itu ditemui di Bukit Jawa, Lenggong, Perak. Ia juga disahkan sebagai tapak paleolitik yang terbesar dan tertua di dunia.

Selepas zaman batu awal itu, manusia mawas ini tidak lagi kelihatan di kawasan ini malah telah pupus seluruhnya dari dunia tanpa meninggalkan baka. Kepupusan ini berlaku sekitar 40.000 tahun yang lalu. Kepupusan mereka dipercayai akibat wabak penyakit dan ketidakmampuan mereka mengatasi kuasa alam. Apabila masuk Zaman Batu Pertengahan (Mesolitik), baru jelas muncul manusia sebenar di Asia Tenggara. Kemunculan manusia sebenar ini mengikut golongan Muslim adalah hasil daripada migrasi penduduk dari Timur Tengah atau dari Barat.




sIkuti sambungan artikel ini dengan tajuk seperti berikut:
MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?
Teori Penghijrahan

MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?

Tengkolok DiRaja, dipakai kebanyakkan Sultan-Sultan Melayu

Bangsa Melayu adalah bangsa yang paling ramai menghuni Alam Nusantara yang kini kita kenali sebagai Asia Tenggara. Bangsa Melayu dalam konteks Malaysia adalah sebuah bangsa peribumi yang sejak turun temurun berasal dari satu bahagian Dunia yang dikenali sebagai Tanah Melayu iaitu di Semenanjung ini. Namun, tahukah kita dari mana asal kita yang sebenarnya?

Penghuraian mengenai perkara ini, generasi kini terpaksa merujuk kepada catatan dan rekod bangsa imperialis kerana rujukan Bangsa Melayu ini sudah hilang entah kemana.

Pengembara barat pada abad ke-16 masihi seperti Tom Pires, John Davis, William Dampier dan J.A.Pope menyatakan bahawa semua penduduk di kawasan Selat Melaka ini dikenali sebagai Malayan/Malay (Melayu). Namun, hal ini masih dipersoalkan kerana ianya tidak dapat menentukan siapakah Malayan dan siapa pula Malay. Sekiranya mereka ini membuat penafsiran pada bahasa yang dituturkan ianya tidak dapat memastikan siapakah benar-benar Bangsa Melayu itu kerana pada waktu itu, Bahasa Melayu merupakan Lingua Franca dan ianya digunakan hingga abad ke-20 Masihi di Kepulauan Nusantara ini. Setiap bangsa yang singgah pada pelabuhan-pelabuhan di kawasan ini perlu menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan perdagangan. Mereka yang tidak pandai berbahasa Melayu dianggap Kampungan (Ahmad Jelani Halim: 2008).

J.B. Tavernier, seorang pengembara Perancis menyatakan bahawa bahasa Melayu telah digunakan di seluruh kawasan timur wilayah Maharaja Mongul. Bahasa Melayu ini sangat penting sama seperti pentingnya Bahasa Latin di Eropah.

Orang Melayu tidak tertumpu dalam sesebuah negara bangsa atau nation state seperti bangsa India yang dikenali mengikut negara mereka. Tidak ada sempadan fizikal bagi Bangsa Melayu. J.W.Crawfurd menyatakan bahawa orang Melayu menghuni separuh daripada Pulau Sumatera, termasuk seluruh pantai timur dan sebahagian dari pantai barat pulau itu. Mereka juga menghuni sekitar Pulau Borneo (Kalimantan) dan merupakan seluruh penduduk Semenanjung Tanah Melayu, kecuali orang Aslinya. Crawfurd juga menjelaskan bahawa dalam kumpulan bangsa Melayu itu terdapat juga ramai yang bukan daripada keturunan Melayu tulen, akan tetapi telah menerima  pakai bahasa, adat resam dan agama orang Melayu dan akhirnya setelah masa berlalu tidak dapat dibezakan lagi daripada orang Melayu sebenar.

Kenyataan Crawfurd ini mungkin tepat kerana Tun Seri Lanang, penyusun Kitab Sejarah Melayu mengakui bahawa beliau berbangsa Melayu, namun beliau juga mengaku adalah keturunan Mani Purindam, seorang pedangang India yang datang ke Melaka dalam zaman Sultan Muhammad Syah.

Sebenarnya, pengertian bangsa Melayu itu lebih luas dari apa yang dibincangkan di atas. Perkataan bangsa itu lebih kepada membawa pengertian ras (ras melayu). Ras Melayu ini merangkumi seluruh kelompok manusia daipada ras Melayu-Polinesia.

Ikuti artikel seterusnya dengan tajuk:

MELAYU : DARI MANA KITA SEBENARNYA?

Peradaban Melayu Zaman Pra Sejarah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...