Thursday, July 18, 2013

Kemboja Silam : Angkor 3

Angkor Wat yang dibina oleh Suryawarman II

1113 Masihi, salah seorang anggota keluarga dinasti baru itu telah merampas kuasa daripada Dharanindrawarman I, yang memerintah ketika itu. Baginda kemudian telah mengisytiharkan diri sebagai Suryawarman II  (1113 – 1150 Masihi). Suryawarman II dianggap sebagai raja yang teragung dalam sejarah orang Khmer. Mengkikut Sejarah Sung, wilayah kekuasaan Angkor ketika itu sangat luas dan mungkin teluas dalam sejarahnya. Kawasan takluknya meliputi bahagian wilayah utara Campa hingga ke Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, Suryawarman II gagal menguasai seluruh Campa dan Annam.

Semasa pemerintahan Suryawarman II, perhubungan diplomatik dengan China telah diadakan. Utusan Angkor yang pertama dikirimkan ke China adalah dalam tahun 1116 Masihi dan utusan kedua pada tahun 1120 Masihi dan diikuti oleh utusan ketiga pada 1128 Masihi.

Suryawarman bukan sahaja seorang wira perang yang handal tetapi juga seorang pencinta seni terutama seni bina. Di bawah pemerintahannyalah sebuah candi teragung di Kemboja telah dibina iaitu Angkor Wat dan sejarahwan mengandaikan bahawa ianya sebuah binaan keagamaan terbesar di dunia. Ia merupakan candi pemujaan tuhan Hindu iaitu Wisnu. Didalamnya terdapat sebuah patung wisnu yang diperbuat daripada emas sedang menunggang garuda. Walaupun wisnu diagungkan, siva juga disembah. Angkor Wat merupakan sebuah replika dalam bentuk batu tentang kosmologi (mikrokosm) orang Khmer-Melayu. Bangunan Candi ditengah-tengah dianggap sebagai Gunung Meru (Mahameru), paksi alam yang dikemuncaknya tinggal para dewa. Menaranya yang lima buah itu melambangkan lima puncak Gunung Meru dan tembok yang mengelilinginya mewakili banjarannya yang dipinggir dunia. Sementara parit yang melingkarinya melambangkan lautan.

Suryawarman II mangkat sekitar 1150 Masihi dan digantikan oleh sepupunya Dharanindrawarman II. Baginda adalah seorang penganut agama Budha dan menyebabkan segala monumen Hindu yang dibina oleh Suryawarman II dan raja-raja sebelumnya terbengkalai. Tambahan keadaan ekonomi Angkor pada masa itu amat teruk ekoran dari keghairahan Suryawarman dalam membina candi dan monumen. Setelah kemangkatan Dharaindrawarman II pada 1160 Masihi, baginda digantikan oleh Yasorwarman II (1160 Masihi – 1166 Masihi).

Semasa pemerintahan Yasorwarman II ini telah berlaku dua pemberontakan yang membawa kepada rampasan kuasa dan kematiannya. Yasorwarman telah digulingkan oleh seorang menterinya iaitu Thribhuwanadityawarman pada tahun 1166 Masihi. Pada tahun 1167 Masihi, JayaIndrawarman IV dari Campa telah menyerang Kemboja dan sepuluh tahunkemudiannya (1177 Masihi), baginda telah berjaya menawan dan merampas hartabenda dari Angkor dan Thribhuwanadityawarman telah terbunuh dalam pertempuranitu.

Pencerobohan dari Campa ini telah menyebabkan Kemboja huru hara dan keadaan anarki muncul kembali dalam negara itu. Kemboja yang hampir lumpuh telah dapat diselamatkan oleh Jayawarman, abang kepada Yasorwarman II. Jayawarman adalah perwaris yang sah kerajaan Kemboja-Angkor setelah kemangkatan ayahandanya Dharaindrawarman II. Namun baginda telah mengundurkan diri daripada perebutan takhta dengan adiknya Yasowarman dan menjadi pendeta Budha. Jayawarman telah kembali ke Angkor dan menyusun saki baki tentera Kemboja bagi menentang dan menghalau keluar orang Cam dari Angkor. Baginda kemudiannya telah mententeramkan kembali keadaan dalam negeri dan mengangkat dirinya sebagai raja Angkor pada tahu 1181 Masihi. Baginda dikenali dalam sejarah sebagai Jayawarman VII.

Dengan bantuan seorang putera pelarian dari Campa di Kemboja, Vidyanandana, Jayawarman VII telah berjaya menakluki Campa pada tahun 1190 Masihi.  Pemerintah Campa, Jaya Indrawarman IV telah ditawan dan dibawa ke Angkor. Campa kemudiannya dibahagia dua, satu berpusat di Pandurangga diperintah oleh Vidyanandana dan satu lagi berpusat di Wijaya yang diperintah oleh Putera In iaitu putera kepada Vidyanandana pada tahun 1192 Masihi. Kemudian Vidyanandana telah menggelarkan dirinya sebagai Suryawarman dan mengisytiharkan Campa merdeka daripada Angkor dan menyebabkan Campa sering diserang Jayawarman VII.

Pada tahu 1203, tentera Angkor telah berjaya sekali lagi menawan Campa dan seorang lagi pembesar Campa telah dilantik menjadi raja dan orang itu dikenali sebagai Ong Dhama Patigrama yang pernah tinggal di istana Angkor. Dalam masa Jayawarman VII ini, kekuasaan Angkor meluas hingga ke sempadan Annam di utara dan Tanah Melayu di Selatan.

Jayawarman VII telah mengukuhkan pertahanan Angkor untuk mengelakkan serangan-serangan luar. Baginda telah membina sebuah kota yang berbenteng teguh yang dikenali sebagai Angkor Thom. Kota ini dikelilingi oleh parit dan benteng laterit yang kukuh dan teguh. Ia mempunyai 5 pintu gerbang yang besar. Di tengah-tengah kota ini dibina sebuah candi yang dikenali Candi Bayon yang berbentuk piramid dengan sebuah menara emas yang berbentuk empat muka manusia yang besar. Muka-muka itu sebenarnya merupakan wajah Jayawarman sendiri sebagai Awalokiteswara (Lokeswara), iaitu salah satu bentuk Bodhisttwa Mahayana yang merupakan sembahan utama mazhab Mahayana. Mengikut Coedes, tugu itu bukan sahaja pengganti Siva tetapi sebagai gantian agama Budha untuk Dewaraja fahaman Siva. Ia juga merupakan jelmaan raja pengasas dinasti itu. Kult ini dikenali sebagai Budharaja.


Di samping membina candi, Jayawarman VII juga terkenal sebagai pembina rumah-rumah rehat dan hospital. Dikatakan baginda telah membina 57 buah rumah rehat di sepanjang perjalanan di antara Angkor dengan ibu kota Campa di Wijaya. Baginda telah mendirikan 102 buah hospital di seluruh negaranya. Jayawarman telah mangkat pada 1218 Masihi dan digelar Mahaparamsaugata.

Wednesday, July 17, 2013

Kemboja Silam : Angkor 2

Pintu Selatan Candi Baphuon

Indrawarman telah digantikan oleh puteranya, Yasowardhana yang bergelar Yasowarman I. Beliau adalah seorang raja yang kuat berpegang kepada agama Hindu kesan dari ajaran gurunya, Brahman Wamasiva yang merupakan pemelihara kultur Dewaraja. Sebaik sahaja menaiki takhta pada 889 Masihi, baginda memerintahkan supaya didirikan lebih kurang 100 buah biara di sekitar wilayah kekuasaannya. Setiap biara mempunyai pentas diraja yang khas untuk raja yang ketika baginda dalam perjalanan.

Pada tahun 893 Masihi, Yasowarman telah membina sebuah biara ditengah-tengah Indrataka, sebuah tasik buatan yang dibina oleh bapanya. Pada mulanya baginda tinggal di Hariharalaya, namun baginda telah membina sebuah kota baru yang dikenali kota Yasodharapura yang merupakan bandar asal Angkor. Kemudian baginda telah membina Gunung Pusat (Gunung Suci) untuk kerajaan di mana ditengah-tengahnya didirikan lingga suci. Baginda kemudiannya telah membina jalan bagi menghubungkan ibu kotanya dengan ibu kotanya Hariharalaya. Baginda juga telah membina tasik tiruan yang luas di bahagian timur laut kota Yasodharapura. Tasik ini dikenali sebagai Yasodharatataka. Di bahagian selatan tasik ini didirikan beberapa biara untuk mazhab-mazhab agama Hindu yang dianuti oleh penduduk negaranya seperti Sivaisme, Visnuisme dan juga Budha. Yasowarman memerintah hingga tahun 900 Masihi. Dalam zaman baginda ini, wilayah kekuasaan Kemboja dikatakan seluas jajahan Funan semasa kegemilangannya.

Kemudian baginda digantikan oleh pemerintahan Hashawarman I pada tahun 922 Masihi, Isnawarman II pada tahun 928 Masihi, dan Jayawarman IV pada 928 – 942 Masihi. Jayawarman IV ini tidak jelas tentang keturunannya. Mengikut G.D. Hall, beliau adalah seorang perampas kuasa daripada pemerintah yang lebih berhak. Beliau telah dihalau keluar dari Yasodharapura (Angkor) dan membina ibu kotanya di Koh Kar.

Semasa pemerintahan Hashawarman II, putera kepada Jayawarman IV telah berlaku satu rampasan kuasa daripada kalangan keturunan Yasowarman yang dipimpin oleh Rajendrawarman II (944 – 968 Masihi). Baginda telah memindahkan kembali ibu kota Kemboka ke Angkor (Yasodharapura). Angkor kekal menjadi ibu kota orang Khmer hingga 1432 Masihi apabila ia ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebab yang jelas. Dalam masa pemerintahan Rajendrawarman II ini Kemboja menjadi sebuah negara yang kuat hingga sanggup menyerang jirannya, Campa. Baginda dikatakan telah membangun dan memperindahkan lagi kota Angkor dengan bangunan-bangunan yang berkilau-kilauan.

Dalam masa pemerintahan Suryawarman I (1002 – 1050 Masihi) yang dianggap salah seorang raja teragung Angkor, kerajaan Angkor menjadi lebih agung. Suryawarman I mungkin menaiki takhta Angkor setelah merampas kuasa daripada raja sebelumnya Udayadityawarman I (1001-1002). Baginda bukan sahaja keturunan Rajendrawarman II (944 – 968 Masihi) atau Jayawarman (968 – 1001 Masihi), akan tetapi menuntut takhta Angkor kerana keturunan sebelah ibunya. G.D.Hall menyatakan bahawa Suryawarman adalah putera Kerajaan Tambralingga di Semenanjung Tanah Melayu dan melibatkan dirinya dalam perang saudara yang berlaku di Angkor sekitar 1001 Masihi. Akhirnya pada 1002 Masihi, baginda telah berjaya menaikit takhta Angkor. Namun begitu, baginda terpaksa menghadapi tentangan daripada seorang lagi penuntut takhta yang bernama Jayawirawarman. Namun Suryarwarman telah berjaya mematahkan tentangan ini pada 1007 Masihi.

Semasa pemerintahan Suryawarman ini banyak bangunan indah telah dibina. Di antaranya Phimeanakas atau Istana Langit yang berbentuk piramid dan Ta Kee sebuah candi yang diperbuat daripada batu pasir. Pada waktu ini, empayar Angkor meluas hingga meliputi negara Dwarawati orang Mon dan negara Tambralingga orang Melayu. Ia juga meliputi lembah Mekong sampai ke Luang Perabang di Laos.

Apabila sesebuah empayar itu menjadi terlalu luas, maka ia menjadi semakin sukar untuk ditadbir. Kebangkitan dan pemberontakan sering berlaku di wilayah-wilayah yang dikuasai itu. Oleh kerana itu, selepas pemerintahan Udayadityawarman II (1050 – 1066 Masihi), raja-raja Angkor seterusnya sentiasa sibuk untuk memadamkan pemberontakan. Semasa pemerintahan Udayadityawarman, baginda telah membina candi yang terbesar di Kemboja untuk penyembahan Dewa Siva. Candi ini dikenali sebagai candi Baphuon. Ia disaluti dengan emas dan didalamnya didirikan sebatang Lingga emas. Dinasti ini berakhir sekitar tahun 1080 Masihi apabila Harshawarman III (1066 – 1080 Masihi) digulingkan oleh seorang putera daripada jajahan takluk Angkor yang bernama Jayawarman. Baginda dikatakan berasal dari sebuah kota yang bernama Mahidharapura. Jayawarman telah mewujudkan satu dinasti baru di Angkor. Baginda dikenali dalam sejarah sebagai Jayawarman VI. Baginda terpaksa pula berhadapan dengan pemberontakan daripada keturunan Harshawarman III dan pemberontakan ini berterusan sehingga 1113 Masihi.


Dalam tahun 1113 Masihi, salah seorang anggota keluarga dinasti baru itu telah merampas kuasa daripada Dharanindrawarman I, yang memerintah ketika itu. Baginda kemudian telah mengisytiharkan Suryawarman (1113 – 1150 Masihi)

Kemboja Silam : Angkor 1

Salah Satu Ukiran Patung yang ada di Angkor

Pada akhir abad ke-8 Masihi, dikatakan kerajaan Jawa telah menyerang dan menawan Kemboja. Serangan ini tidak dapat dipastikan dari arah mana sebenarnya. Sejarahwan berpendapat Kemboja berkemungkinan diserang oleh Jawa sebenar, atau Sriwijaya atau Tanah Melayu. Campa juga telah diserang pada masa yang sama dan ianya berlaku pada 774 Masihi dan 787 Masihi. Mengikut catatan Arab, kerajaan Kemboja telah diserang oleh Zabaq (Muara Sabak / Sriwijaya) semasa pemerintahan rajanya yang bernama Mahipatiwarman kerana perbuatan raja itu menghina Maharaja Sriwijaya. G Akan tetapi jelas disini bahawa tindakan Jawa atau Sriwijaya menyerang Kemboja ini mengambil kesempatan kelemahan negara itu yang berada dalam pemerintahan yang lemah pada abad ke-8 Masihi. Mengikut satu prasasti, Kemboja ini dapat ditawan semasa pemerintahan Sanjaya.

Pembebasan Kemboja daripada penaklukan Sriwijaya ini telah dilakukan oleh pemerintah Cenla Air yang bernama Jayawarman II yang juga merupakan pengasas kerajaan Angkor. Jayawarman II dikatakan berasal dari Sriwijaya namun begitu, beliau masih mempunyai pertalian darah dengan kerajaan Cenla. Jayawarman II adalah anak saudara Raja Jayendradhiipatiwarman. Mengikut Coedes, keluarga Jayawarman telah melarikan diri ke Jawa semasa berlakunya kekacauan di Kemboja dan juga mungkin mereka telah ditawan oleh tentera Jawa yang sering menyerang negara itu. Jayawarman II dikatakan kembali ke Kemboja sekitar tahun 800 Masihi dan menaiki takhta pada 802 Masihi di Indrapura dan beliau telah berusaha menyatukan kembali Kemboja@Cenla yang ketika itu sudah berpecah belah.

Semasa pemerintahan Jayawarman II ini, baginda telah melantik seorang Brahman bernama Sivakaiwalya menjadi penasihatnya. Dengan bantuan daripada Brahman inilah akhirnya Jayawarman berjaya mewujudkan sebuah kuil Hindu (fahaman Siva) di Asia Tenggara, iaitu Dewaraja (Raja-Tuhan). Kultus ini menumpukan kepada penyembahan lingga sebagai peribadi suci raja yang diberikan Siva kepadanya. Kemakmuran Kemboja dianggap bergantung kepada lingga itu. Ia didirikan diatasa kemuncak gunung suci, sama ada gunung asli atau gunung buatan yang didirikan di tengah-tengah ibu kota negara itu. Gunung ini dianggap sebagai paksi alam sejagat. Konsep Gunung Suci ini mungkin diperkenalkan oleh Jayawarman II daripada negara purba Funan dan juga mungkin dari Jawa kerana beliau pernah berada di Jawa sebelum mejadi Raja Kemboja. Disamping itu kedua-dua negara itu mengakui mempunyai raja-raja yang bergelar Sailendra yang bermaksud Raja Gunung atau Raja dari Gunung.

Berdasarkan inskripsi Sdok Kak Thom, Jayawarman II diiringi oleh Sivakaiwalya kemudian telah memindahkan ibu kotanya ke bahagian utara Tonle Sap dan membina sebuah kota yang dikenali sebagai Hariharalaya. Kemudian, Jayawarman telah meninggalkan Hariharalaya dan membina Kota Amarendrapura setelah itu, Jayawarman ini memerintah pula dari Mahendraparwata. Di sini beliau telah menjemput seorang Brahman dari Janapada bernama Hiranyadama untuk mengangkat martabatnya sebagai chakrawartin, (pemerintah alam sejagat) dan membebaskan dirinya daripada bergantung kepada Jawa. Hiranyadama telah mengadakan ritual (upacara) vinasikha untuk menempatkan Jayawarman II sebagai “tuhan seluruh alam” (dewaraja). Beliau dikatakan telah mengajar Sivakaiwalya cara-cara mengendalikan upcara-upacara suci vinasikha, nayottata, samoha dan siraocheda. Sivakaiwalya dan keluarganya telah dipilih sebagai orang yang bertanggungjawab dalam pengendalian penyembahan dewaraja ini. Orang lain tidak dibenarkan dan Sivakaiwalya diangkat sebagai purohita (Ketua Sami@Penasihat).

Jayawarman II telah meninggal dunia di Hariharalaya pada tahun 850 Masihi setelah memerintah selama 48 tahun. Setelah kemangkatannya, beliau digelar Parameswara. Baginda telah digantikan oleh puteranya iaitu Jayawardhana (850 – 857 Masihi) dengan gelaran Jayawarman III. Setelah kemangkatakan Jayawarman III, baginda telah digantikan oleh Indrawarman pada tahun 877 Masihi. Indrawarman bukanlah putera Jayawarman III tetapi putera seorang raja yang kurang jelas latarbelakangnya yang dikenali sebagai Raja Prithivindrawarman.


Dalam pemerintahan Indrawarman, usaha-usaha telah dijalankan untuk memajukan pertanian. Baginda telah membina empangan bagi membentuk tasik-tasik tiruan yang airnya digunakan untuk pertanian dalam musim kemarau. Pada tahun 879 Masihi, baginda memerintahkan dibina sebuah menara yang diperbuat daripada bata di Preah Ko untuk memperingati bapa, ibu, datuk neneknya di sebelah ibu Jayawarman II serta isterinya (isteri Jayawarman II). Patung kedua yang terakhir ini disembah sebagai Siva dan Dewi. Pada tahun 881 Masihi pula Indrawarman telah membina sebuah tugu yang besar daripada batu untuk menempatkan lingga diraja Indreswara. Setelah mangkatnya pada 889 Masihi, baginda digelar Isvaraloka.

Tuesday, July 16, 2013

Kemboja Silam : Cenla

Lokasi Kerajaan Cenla

Nama Cenla (Kemboja) mula diketahui daripada catatan Sejarah Sui. Berdasarkan catatan tersebut, kita dapat ketahui bahawa Cenla ini pada asalnya merupakan wilayah takluk Funan. Namun, semasa pemerintahan Raja She-to-ssu-ma (Chitrasena), Cenla telah menjadi begitu kuat sehingga berjaya menawan Funan. Tidak seperti Funan dan Campa yang didirkan seluruhnya oleh suku bangsa Melayu, kerajaan Kemboja ini didirikan oleh gabungan Bangsa Melayu dan Khmer. Pada peringkat awal meman jelas Kerajaan Kemboja ini diasaskan oleh Dinasti Melayu akan tetapi kemudian ianya telah dikuasai oleh orang Khmer khususnya setelah terbentuk kerajaan Angkor.

Mengikut lagenda Kemboja, asal usul  bangsa Kemboja ini adalah daripada seorang petapa bernama Kambu Swayambhuwa yang berkahwin dengan seorang bidadari bernama Mera hadiah daripada Dewa Siva. Dari merekalah lahirnya zuriat raja-raja Kemboja. Raja yang pertama adalah Srutawarman dan diikuti oleh puteranya Sreshthawarma. Sebuah inskripsi yang ditemui  di Kemboja mencatatkan tentang penubuhan kerajaan Kemboja. Inskripsi itu telah diterjemahkan oleh seorang sejarahwan Asia Tenggara yang terkemuka iaitu R.C. Majumdar :

Adityavamsa, raja Indraprastha telah murka terhadap salah seorang puteranya dan membuangnya dari negeri. Baginda telah sampai ke sebuah negara yang bernama Kok Thlok dan menjadikan dirinya tuan dengan mengalahkan raja asal negara itu. Pada satu petang baginda berjalan-jalan di atas sebuah beting pasir apabila secara mengejut air naik pasang dan menyebabkan baginda terpaksa bermalam di situ. Seorang Nagi (bidadari) yang sangat rupawan telah datang bermain di atas pasir itu dan raja tadi kerana tertawan dengan kecantikkanya bersetuju mengahwininya. Dengan itu Naga-raja, bapa kepada gadis itu telah memperluaskan lagi kawasan pemerintahan bakal menantunya dengan meminum air yang menyeliputi negara itu, membina sebuah ibu kota untuknya menukar nama kerajaan itu kepada Kemboja.

Orang Kemboja menganggap diri mereka sebagai Bangsa Matahari manakala orang Funan sebagai Bangsa Bulan. Dalam masa pemerintahan kedua-dua raja ini, Kemboja (Cenla) telah mengisytiharkan mereka merdeka dari Funan. Semasa pemerintahan Raja Bhawawarman yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemerintah Funan, Cenla telah menjadi kuat hingga mampu memerangi wilayah-wilayah berhampiran. Bhawawarman yang merupakan cucu kepada pemerintah Funan ketika itu berjaya menjadi raja Cenla hasil daripada perkahwinannya dengan salah seorang Puteri Cenla. Hal ini diperkuatkan dengan jumpaan sebuah prasasti di Kemboja yang mencatatkan asal keturunan raja-rajanya daripada Kaundinya dan Naga Soma seperti leluhur pemerintah Funan dan Raja Rudrawarman dari Funan sebagai pengasas dinastinya.

Pengganti Bhawawarman, Chitrasena telah menaiki takhta sekitar 600 Masihi dengan gelaran Mahendrawarman telah meluaskan kuasanya. Walau bagaimanapun, ia tetap menjalinkan hubungan berbaik-baik dengan Campa. Kemudian beliau digantikan oleh anakandanya, Isanawarman, wilayah Cenla menjadi bertambah luas dengan menguasai wilayah-wilayah yang dahulunya dikuasai oleh Funan. Semasa pemerintahan Isanawarman inilah, Cenla menghantar utusan ke China buat pertama kalinya pada 616 Masihi dan berterusan sehingga beliau mangkat pada 635 Masihi. Semasa pemerintahan Isanawarman ini, pusat pemerintahan Cenla terletak di Isanapura.

Catatan Sejarah Sui dan tulisan Ma Tuan-li, ada menyebut semasa pemerintahan Isanawarman 616 – 635 Masihi, ibu kotanya didiami oleh dua puluh ribu keluarga. Ditengah-tengah kota terdapat balairong  tempat raja menerima penghadapan oleh pegawai dan rakyat jelatanya. Direkodkan juga, bahawa Cenla menguasai 30 buah kota lain yang setiap satunya dihuni oleh beberapa ribu keluarga. Setiap kota itu ditadbirkan oleh seorang gabenor. Tamadun Kemboja (Cenla) pra-Angkor ini banyak dipengaruhi oleh jirannya Campa terutama dalam hal-hal pertanian, agama dan seni. Isanawarman sendiri telah mengahwini seorang puteri Campa.

Selepas pemerintahan Isanawarman, Cenla telah diperintah oleh seorang yang tidak jelas asal keturunannya iaitu Bhavawarman dan baginda digantikan pula oleh puteranya iaitu Jayawarman 1 sekitar 657 Masihi. Baginda mangkat pada tahun 690 Masihi. Oleh kerana baginda tidak mempunyai perwaris lelaki, Cenla telah diperintah oleh seorang raja perempuan yang dikenali sebagai Jayadewi. Ketika di bawah pemerintahan Jayadewi ini, keadaan di Cenla menjadi teruk dengan berlakunya pemberontakan demi pemberontakan hingga Cenla berpecah menjadi dua. Kawasan utaranya yang terdiri daripada gunung dan lembah-lembah dikenali sebagai Cenla Darat, manakala bahagian selatannya yang dipinggir laut dan diselaputi tasik dikenali sebagai Cenla Air.

Pihak China mencatatkan bahawa pada 717 Masihi, Cenla Darat yang dikenali oleh orang Cina sebagai Wen-tan telah mengirimkan utusan ke Cina dan telah menghantar satu pasukan ke Vietnam bagi membantu satu ketua puak bagi menentang China pada 722 Masihi. Tidak catatan China tentang wujudnya perwakilan dari Chenla air. Hal ini berlaku kerana pada masa itu Cenla Air sendiri terbahagi kepada beberapa wilayah yang bebas. Akan tetapi pihak China ada mencatatkan bahawa kota utama Cenla Air itu adalah P’o-lo-ti-po dan pemerintahnya mendakwa berasal daripada keturunan Kaundinya dan Naga Soma, pemerintah pertama kerajaan Funan. Salah seorang daripada pemerintahnya, Baladitya telah dianggap sebagai pemerintah Angkor, kemudiannya sebagai leluhur mereka dengan Kaundinya. Pihak yang berebut kuasa di Cenla Air pada masa itu adalah Dinasti Bulan dan Dinasti Matahari. Dinasti Bulan berpusat di Aninditapura, mana Dinasti Matahari berpusat di Sambhupura.


Sekitar 753 Masihi, Cenla Darat telah mengirim utusan ke China yang dipimpin oleh putera rajanya sendiri. Kemudian beberapa utusan lain telah dihantar iaitu sekitar 771 – 799 Masihi. Namun Cenla Air masih tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan China. Daripada batu bersurat yang ditemui di kawasan Sambhupura (Sambor) bertarikh 770 – 781 Masihi diketahui salah seorang rajanya bernama Jayawarman. Namun tidaklah diketahui bilakah sebenarnya raja seluruh Cenla Air ini ditabalkan.

Friday, July 12, 2013

CAMPA : Bahagian 5

Kublai Khan, Maharaja China dan Pengasas Dinasti Yuan

Peperangan dan perbalahan antara orang Cam dan Khmer ini akhirnya tamat setelah Jaya Parameswarawarman II menaiki takhta. Ketika itu, orang Khmer sibuk untuk menangkis serangan-serangan musuhnya dari barat iaitu Siam dan puak-puak gasar yang sering menganggu wilayahnya. Oleh itu Jaya Parameswarawarman II mempunyai masa aman yang lama. Baginda dikatakan meluangkan masa pemerintahannya membaiki sistem parit dan tali air serta bangunan-bangunan yang rosak akibat yang begitu lama. Mengikut satu prasasti, semua lingga di selatan telah didirikannya kembali. Baginda juga telah membaiki candi-candi yang terdapat di komplek Mi-son di utara. Namun di akhir pemerintahannya, perbalahan dengan Dai Viet telah timbul kembali ekoran tuntutannya ke atas tiga wilayah yang diserahkan oleh Rudrawarman II pada tahun 1069 Masihi sebagai penebus dirinya. Dai Viet telah menyerang Campa kerana tuntutan ini pada 1252 Masihi. Orang Vietnam telah berjaya menewaskan tentera Campa  dan merampas banyak harta benda serta menawan ramai pegawai dan kerabat diraja Campa. Raja Jaya Parameswarawarman dipercayai telah terbunuh dalam peperangan itu.

Pada tahun 1283 – 1285, Kublai Khan dari China telah menghantar tenteranya untuk menundukkan negara-negara di Indo-China. Walaupun beberapa kejayaan telah diperoleh, namun akhirnya tentera Monggol ini telah dikalahkan dengan teruknya oleh pihak Vietnam dan Campa. Sogatou pemimpin tentera Monggol yang ditugaskan menawan Campa telah dibunuh dan dipenggal kepalanya sebaik sahaja mendarat di Campa. Setelah kekalahan tentera Monggol ini, Indrawarman V yang memerintah Campa pada masa itu telah mengirim utusan mengadap Kublai Khan. Utusan itu tiba di China pada 6 Oktober 1285 Masihi serentak dengan utusan dari Kemboja. Dengan itu, orang Champa dan Kemboja tidak lagi diganggu oleh orang Monggol.

Namun dalam hal ini ianya berlainan dengan catatan Marco Polo yang singgah di Campa itu pada tahun 1285 Masihi dimana beliau mengatakan Sogatou tidak mati di Campa. Dia dikatakan telah memimpin tentera Monggol memusnahkan negara itu sehingga rajanya (Indrawarman V) terpaksa mengirimkan utusan mengaku kalah kepada Kublai Khan. Marco Polo juga mencatatkan bahawa daja dan rakyat negeri itu masih kafir dan negeri itu banyak menghasilkan gajah, kayu gaharu dan kayu eboni.

Setelah kemangkatannya pada 1285 Masihi, baginda digantikan oleh puteranya yang bergelar Jaya Simhawarman III. Sekitar 1292 Masihi, Kublai Khan menghantar angkatan perangnya untuk menyerang Jawa. Simhawarman ini telah berjaya menghalang tentera itu dari mendarat di Campa. Dalam usahanya untuk berbaik-baik dengan jirannya, Simharwarman III telah mengahwini Puteri Tapasi, puteri Jawa dan kemudian berkahwin pula dengan puteri Vietnam iaitu Puteri Huyen Tran yang digelar Parameswari pada tahun 1306 Masihi. Simhawarman ini telah mangkat pada tahun 1307 Masihi.

Pada tahun 1312 Masihi, Maharaja Tran Anh-ton dari Dai Viet telah menyerang Campa dan menawan rajanya Jaya Simhawarman IV. Baginda telah ditawan dan mangkat di Tongkin pada 1313 Masihi. Selepas itu Maharaja Dai Viet dianggap sebagai Maharaja Penaung Campa. Pengganti Jayasimhawarman hanya dianggap sebagai pemerintah bahawahan oleh Dai Viet. Pada 1314 Masihi, orang Campa yang dipimpin oleh Che Nang telah bangkit memberontak dan cuba memerdekakan Campa. Akan tetapi pada tahun 1318 Masihi, beliau telah dikalahkan dan terpaksa lari berlindung di Jawa.

Dengan bantuan orang Monggul, seorang Panglima Campa yang dikenali sebagai Che A-nan telah berjaya memerdekakan Campa. Dalam masa pemerintahan baginda, seorang Padera Kristian dari fahaman Fransiskan yang bernama Odoric de Pordenone telah melawan Campa. Beliau mencatatkan bahawa penduduk dan raja Campa beragama Hindu dan adat sati di amalkan di sana. Adat Sati adalah merupakan amalan Hindu yang mana isteri si mati akan dibakar bersama-sama mayat suami yang meninggal terlebih dahulu.  Che A-nan telah meninggal duni pada tahun 1324 Masihi dan digantikan oleh menantunya Tra-hao Bo-de yang merampas kuasa dari putera mahkota, Che Mo. Dalam pemerintahannya inilah Ibnu Battuta telah melawat Campa dan beliau mencatat Campa sebagai Tawalisi.

Semasa zaman pemerintahan Che Bong Nga, Campa bangkit kembali dan menurut sejarahwan, Coedes menyatakan kebangkitan Campa ini ibarat “sinar penghabisan matahari terbenam” kerana selepas ini Campa terus mereput dan akhirnya hilang dari sejarah.

Pemerintahan Che Bong Nga ini bermula sekitar 1360 Masihi. Baginda telah berjaya mengadakan perhubungan berbaik-baik dengan pemerintah Ming yang pertama iaitu Ming Tsai-tsu yang telah mengesahkan baginda sebagai pemerintah Campa pada 1369 Masihi. Seterusnya, Che Bong Nga telah melancarkan kempen bagi menebus maruah orang Campa. Dari tahun 1361 – 1390 Masihi, baginda melancarkan serangan demi serangan ke atas kerajaan Dai Viet:

  • 1368 tentera Campa telah dapat mengalahkan tentera Vietnam di satu tempat bernama Gua Cam dan merampas harta benda di pelabuhan Da Li.
  • 1371 tentera Campa telah menyerang Tongkin dan merampas harta benda Hanoi.
  • 1377 tentera Vietnam dikalahkan berhampiran Wijayapura dan pada tahun juga pemerintah Dai Viet, Raja Tran Due-ton meninggal dunia. Sekali lagi tentera Cam menyerang Tongkin dan merampas harta benda Hanoi.
  • 1384 Tongkin sekali lagi diserang melalui jalan darat.
  • 1389, serangan ke atas Tongkin dan tentera Campa mara sampai ke daerah Hung-yen di bahagian utara wilayah itu.
Pada bulan Februari 1390, nasib malang telah menimpa Che Bong Nga akibat pengkhianatan pegawainya yang menyebabkan perahunya telah dikepung oleh orang Vietnam dan bagida telah dibunuh. Kematian baginda telah menyebabkan tentera Campa terpaksa berundur ke Tongkin.

Setelah kembali ke Campa, salah seorang jeneralnya telah melakukan rampasan kuasa dan menyingkirkan putera Che Bong Nga. Jeneral ini dikenali sebagai Jaya Simhawarman atau Lai Khai oleh Vietnam telah menyerahkan wilayah utara Campa yang ditawan kembali oleh Che Bong Nga kepada kerajaan Dai Viet. Pada tahun 1400 Masihi, beliau telah digantikan oleh puteranya, Ngauk Klaung Vijaya dan pada tahun 1432, baginda menggelarkan dirinya sebagai Indrawarman VI.

Pada tahun 1402, Ngauk Klaung Vijaya telah menyerahkan wilayah Indrapura kepada Dai Viet untuk mengelakkan peperangan. Dengan ini, tanah suci orang Cam, di mana terletaknya kompleks candi Mi-son telah jatuh ke tangan orang asing. Akan tetapi pada 1407 Masihi, mengambil kesempatan kekalahan Dai Viet di tangan China, Campa telah merampas kembali tanah suci mereka itu. Selepas itu, Ngauk Klaung Vijaya telah menyerang Kemboja dan membebaskan wilayah-wilayahnya yang dikuasai oleh kerajaan itu.

Selepas pemerintahan Ngauk Klaung Vijaya atau Indrawarman ini yang berakhir pada 1411, Campa mula merosot dengan drastik. Pada tahun 1446, ibu kota Campa, Wijayapura telah diduduki buat pertama kali oleh pihak Vietnam. Tetapi kemudiannya dapat dirampas kembali. Akhirnya pada 1471, Wijayapura sekali lagi diduduki oleh Vietnam dan pendudukan kali ini telah menghancukan seluruh kerajaan Campa. Seramai 60.000 orang Campa telah terkorban dan kira-kira 30.000 orang termasuk rajanya telah ditawan oleh pihak Vietnam. Masyarakat Cam yang lain terutama yang beragam Islam telah melarikan diri ke Kemboja, Tanah Melayu terutama ke Melaka dan ke Jawa.

Selepas itu, keadaan Campa mula aman, barulah muncul satu pemerintahan baru, jauh di bahagian selatan. Kerajaan ini kemudiannya telah dapat dikuasai oleh orang Islam pada sekitar separuh kedua abad ke-17 Masihi.

BERSAMBUNG: CAMPA DI ERA KESULTANAN ISLAM



CAMPA : Bahagian 4

Aksesori orang-orang Dai Viet

Peperangan antara Campa dengan Dai Viet sekali lagi tercetus pada 1068 Masihi ketika pemerintahan Rudrawarman III yang naik takhta Campa pada 1061 Masihi. Kali ini Rudrawarman yang menyerang kedudukan Dai Viet di utara namun serangan ini berjaya dipatahkan. Pihak Dai Viet telah membalas serangan tersebut dengan Rajanya, Li Thanh-ton telah dapat merempuh masuk ke dalam Kota Wijaya dan membakar semua rumah yang dibangunkan di dalam dan di luar tembok Kota itu. Raja Rudrawarman telah ditawan dan di bawa ke Tongkin tetapi kemudian dibebaskan pada tahun 1069 Masihi setelah menyerahkan tiga wilayah Campa di utara kepada pihak Dai Viet sebagai bayaran untuk menebus pembebasan dirinya. Walaupun bebas, baginda gagal menduduki kembali takhtanya.

Pada tahun 1074 Masihi, seorang yang bernama Dewatamurti (Thang) telah naik takhta Campa dengan gelaran Hariwarman IV. Beliau telah berjaya menghalau orang Vietnam dari Campa tetapi kemudiannya mengaku tunduk dan membayar ufti kepada Dai Viet. Beliau juga telah dapat mengalahkan serangan-serangan dari Kemboja pada tahu  1074 dan 1080 Masihi. Hariwarman IV telah berusaha memulihkan kembali kemuliaan Campa seperti sebelumnya. Beliau hanya memerintah beberapa tahun sahaja sebelum turun takhta untuk mengabdikan diri kepada tuhan dengan bertapa dab beliau telah mangkat pada tahun 1081 Masihi.

Sekitar 1081 – 1086 Masihi, Campa berada dalam keadaan huru hara kerana perebutan takhta antara Jaya Indrawarman II anak Hariwarman IV dengan bapa saudaranya, Putera Pang. Akhirnya Jayaindrawarman II telah dapat mengatasi bapa saudaranya itu. Di bawah pemerintahan baginda, Campa aman seketika dengan hubungan antara Dai Viet dan China telah dapat dipulihkan.

Pada tahun 1145 Masihi, pihak Khmer telah menyerang Campa dan menawan sebahagian besar negara itu termasuk ibu kotanya. Pemerintah yang baru naik pada masa itu, Rudrawarman IV terpaksa berpindah lebih jauh ke selatan. Baginda kemudian telah dapat mengalahkan tentera Khmer yang datang dan meyerang wilaya Wijayapura. Kemudian baginda digantikan oleh Jaya Hariwarman I. Raja ini telah berjaya mematahkan serangan-serangan orang Vietnam dan Khmer ke atas Champa dan menyatukan kembali negeri itu yang telah berpecah-pecah akibat serangan daripada luar.

Di katakan bahawa di istana raja ini terdapat seorang pegawai bernama Jaya Indrawarman berasal dari Gramapura yang ahli dalam pelbagai bidang termasuk kepandaian bermain senjata, sastera, falsafah dan nujum. Dia juga banyak membina Candi di Mi-son yang merupakan sebuah kawasan di mana terdapatnya beberapa kompleks candi yang dibina oleh raja-raja dan pembesar Campa.

Pada tahun 1167 Masihi, Jaya Indrawarman berjaya merampas kuasa daripada putera Jaya Hariwarman I. Di bawah Jaya Indrawarman, Campa kembali kuat. Ia berjaya menyerang Kemboja dan merampas kekayaan Angkor (Chen la) pada tahun 1177 Masihi. Kerosakkan Angkor ini telah menimbulkan kebencian yang berpanjangan oleh pihak Kemboja. Oleh kerana itu, sekitar 1190 Masihi, pemerintah Kemboja iaitu Jayawarman III telah meminta bantuan seorang putera Campa iaitu Vidyanandana yang bermaustautin dinegaranya untuk menyerang Campa. Komplot ini telah berjaya dan Vidyanandana telah berjaya menangkap Jaya Indrawarman dan di bawa ke Kemboja.


Kekosongan takhta itu telah diisi dengan seorang kerabat Diraja bergelar Suryajayawarmandewa. Manakala Vidyanandana juga telah menubuhkan kerajaan di Pandurangga dengan gelaran Suryawarmandewa. Dengan ini, Campa telah terbahagi dua. Tidak lama kemudian Suryawarmandewa (Vidyanandana) telah dapat menyatukan seluruh Campa dan mengisytiharkan dirinya bebas daripada Kemboja.

Sambungan : Bahagian 5

CAMPA : Bahagian 3

Binaan Candi di Phanrang (Pandurangga) kini didalam Vietnam

Semasa pemerintahan Dinasti Song di China, raja-raja Campa seperti Jaya Indrawarman I dan Parameswarawarman begitu taat setia dan patuh kepada Kerajaan China itu. Diantara 960 – 979 Masihi, sebanyak 12 utusan telah dikirimkan menghadap Maharaja China.

Semasa pemerintahan Parameswarawarman, telah berlaku pergeseran antara Campa dengan Kerajaan Dai Viet (Vietnam). Pada tahun 982 Masihi, pemerintah Dai Viet, Le Hoan telah menyerang Campa dan membunuh Parameswarawarman serta menawan ibu kotanya, Indrapura. Penggantinya iaitu Indrawarman IV telah cuba untuk mendapatkan bantuan dari China pada tahun 985 Masihi tetapi gagal.

Setelah kemangkatan Indrawarman IV, takhta telah dirampas oleh seorang bangsa Vietnam yang bernama Luu Ki-tong dan mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Campa pada 986 Masihi. Tindakan orang Vietnam ini telah menimbulkan marah seluruh rakyat, akan tetapi mereka tidak sanggup melawan orang Vietnam yang kuat dan ramai itu. Oleh kerana itu ramai rakyat Campa berhijrah ke Hainan dan Canton di tenggara China. Penghijrahan ini berlaku dalam masa tiga tahun iaitu pada tahun 986, 987 dan 988 Masihi. Penghijrahan ini dipimpin oleh rakyat Campa yang beragama Islam. Penghijrahan 986 Masihi dipimpin oleh Pu Lo E, kumpulan migran 987 dipimpin pula oleh Li Nian Bing dan kumpulan mingran 988 pula diketuai oleh Hu Xuan.

Perkataan Hu Xuan dikenal pasti sebagai nama Islam iaitu Husain, manakala perkataan Pu telah diterima umum sebagai ganti perkataan Arab yang bermaksud Abu.  Berkemungkinan besar, pelarian-pelarian Campa ini adalah orang Cam Islam yang mungkin dipaksa oleh Luu Ki-tong menukar agama mereka menyebabkan mereka meninggalkan Campa.

Setelah Luu Ki Tong meninggal pada 988 Masihi, orang Cam telah bangkit memberontak di bawah pimpinan seorang yang dikenali sebagai Hariwarman II dan beliau telah dirajakan di Wijayapura. Tidak lama kemudian baginda telah memindahkan pusat pentadbiran ke Indrapura. Semasa pemerintahan Hariwarman II ini, Campa sering diancam oleh pihak Vietnam. Oleh itu pasda masa pemerintah berikutnya yang hanya dikenali sebagai Yang Pu Ku Wijaya Sri, pusat pemerintahannya kembali ke Wijayapura di selatan.

Yang Pu Ku Wijaya Sri ini telah digantikan oleh seorang yang dikenali sebagai Hariwarman III pada tahun 1009 Masihi. Baginda hanya sempat memerintah selama 10 tahun. Dalam masa pemerintahan penggantinya yang dikenali sebagai Parameswarawarman II sekali lagi orang Campa dikalahkan oleh pihak Vietnam pada 1026 Masihi. Pada tahun 1044 Masihi tentera Dai Viet sekali lagi menyerang Campa dan kali ini memusnahkan ibu kotanya, Wijayapura. Pemerintah Campa pada waktu itu, Jaya Simhawarman II telah dikenakan hukuman pancung.

Penggantinya adalah seorang daripada panglima Campa yang dikenali sebagai Jaya Parameswarawarman I. Salah sebuah prasasti yang ditinggalkannnya menyatakan bahawa baginda tidak diterima oleh penduduk Pandurangga (Phan-rang) sebagai raja mereka. Hal ini berlaku kerana penduduk Pandurangga ketika itu sudah beragama Islam dan mereka menolak seorang Raja yang beragama Hindu. Berpunca dari penolakan ini Jaya Parameswarawarman I telah menyerang penduduk Pandurangga yang beragama Islam dan menawan mereka pada tahun 1050 Masihi. Sebagai simbol kemenangan ini, Jaya Parameswarawarman telah mendirikan sebuah lingga di atas bukit Po Klaung Garai yang berhampiran dan menegakkan tugu kemenangan. Baginda juga telah menjalinkan perhubungan berbaik-baik dengan pihak Dai Viet dan China. Campa telah mengirimkan utusan ke China pada tahun 1050, 1053 dan 1056 Masihi.

Bersambung : Bahagian 4

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...