Monday, July 1, 2013

Penubuhan Kerajaan Silam di pengaruhi oleh Agama dan Kepercayaan  


Gambar Hiasan


 Asia Tenggara pada masa kini dahulunya dikenali dengan pelbagai nama berdasar kepada para pedagang dari India, Arab, China dan Eropah. Mereka merekod berdasarkan nama negara yang mereka singgah, menjadi kelaziman pengembara terutama dari China mencatat nama-nama negara seperti Po-li-fong, shi-li-fo-shi, Chih Tu, Tan-Tan, Pan-Pan, Mo-lo-yu dan sebagainya.

Hal ini berbeza dengan catatan dari India kerana pendeta hindu pada ketika itu merujuk rantau ini sebagai Suwarnadwipa (Semenanjung) dan Suwarnadbhumi (kepulauan). Ini menunjukkan ketika itu tiada kerajaan yang khusus wujud di rantau ini. Dalam rujukan yang dibuat Funan dan Champa adalah negara yang mengamalkan kepercayaan agama Hindu.

Di rantau kepulauan pada ketika itu pula, agama Buddha menjadi pilihan penduduk serta Raja nya. Hal ini telah mewujudkan negara-negara Budha di kawasan Kepulauan seperti dalam Record dan Memoir yang dihasilkan oleh i-Tsing.

Dalam kepercayaan Hindu, terdapat 3 mazhab utama iaitu Brahma, Siva dan Wisnu. Ketiga-tiga mazhab ini muncul dalam jangka masa yang berlainan, sebenarnya agama Hindu ini bukanlah agama yang universal dan ianya hanya untuk orang-orang Hindu sahaja, sekalipun terdapat orang yang memeluk Hindu, dia masih tidak dianggap Hindu yang sejati ditambah adanya halangan untuk belayar merentasi "air hitam".

Wujudnya halangan-halangan dalam agama Hindu telah menyebabkan pengaruhnya telah diatasi oleh agama Budha. Semasa pemerintahan Asoka, agama Hindu ini telah berkembang dengan  meluas kerana beliau telah menghantar pendakwah agama ini keseluruh dunia. Agama Budha lebih universal kerana ia boleh diamalkan tanpa mengikut kasta.

Pengaruh agama Budha ini juga telah mendorong kewujudan negara-negara berasas agama Budha seperti Sriwijaya, Langkasuka dan juga Ayuthya. Bagaimanapun, semasa pemerintahan Gupta agama Hindu ini muncul semula dan beliau telah memerintahkan India Selatan menukar kepercayaan mereka.

Keadaan ini telah tidak mengubah kepercayaan di rantau Asia Tenggara. Hal ini nantinya mendorong Kerajaan Chola menyerang Nusantara. Sebenarnya, agama Budha dan Hindu berkembang secara serentak di Asia Tenggara. Perkara ini berlaku kerana orang-orang di Asia Tenggara pada waktu itu berpegang teguh kepada kepercayaan tauhid yakni kepercayaan kepada kuasa tuhan dan bukan bergantung kepada individu tertentu hinggalah datangnya Islam.

Kerajaan silam di Asia Tenggara yang menerima pengaruh Hindu dan Budha masih menerima konsep anarki iaitu rakyat di perintah oleh seorang Raja dan raja mempunyai kuasa mutlak ke atas rakyat dan tanah takluknya.

Resmi berterusan dengan ketibaan pengaruh agama Islam yang datang semejak dari zaman Rasulullah s.a.w. dan diteruskan oleh khalifah-khalifah ar-Rasyidin dan dikuatkan oleh Kerajaan Muawiyyah dan diteruskan oleh legasi Kerajaan Uthamaniyyah.

Perkembangan Islam juga masih mengekalkan sistem beraja, cuma istilah raja ditukar dengan gelaran Sultan. 80% Asia Tenggara ketika itu menganut agama Islam dan perkembangan ini dirancakan lagi dengan kedatangan tokoh dari keturunan Ahlul Bait iaiu Sayid Hussien Jamadil Qubra bersama 7 saudaranya. Keturunan Sayid Hussien ini dikenali sebagai Wali Songo dan ada antaranya menjadi Sultan.

Kelangsungan ini berterusan sehingga muncul imperialis Barat iaitu Belanda dan Portugis hinggalah datangnya British dan mereka mula menjajah dan memperkenalkan demokrasi. Ketika ini institusi beraja telah goyah dan ada beberapa kerajaan telah hilang identiti seperti Legeh, Reman, Grahi dan Juempa serta Palembang. Pengenalan fahaman baru ini telah menggantikan pengaruh agama dalam sesebuah kerajaan silam di Asia Tenggara.

Saturday, June 22, 2013

Ringkasan Hipotesis Pengindiaan Nusantara



Pendahuluan

Pengaruh India menjadi istilah terpenting disini bagi merungkai kekeliruan masyarakat umum Asia Tenggara tentang skeptikal mereka tentang kewujudan agama Budha dengan agama Hindu di rantau ini. Sebenarnya kedua-dua agama ini berasal dari India. Justeru itu, kajian ilmiah mengenai perkara ini merujuk kepada istilah pegindiaan.

Dalam blog ini, telah dimuatkan 3 hipotesis utama bagaimana pengaruh kebudayaan India ini boleh berasimilasi dalam kehidupan masyarakat Nusantara suatu ketika dahulu, malah di beberapa tempat di Asia Tenggara ini seperti di Bali, masih berpegang teguh dengan kepercayaan Hindu, dan mereka lebih tebal dari Hindu di India itu.

3 hipotesis utama tersebut adalah Visya, Kastria dan Brahmin

Melalui hipotesis Visya, kita telah dijelaskan bahawa pengaruh India dengan kebudayaan Hindu telah berkembang di sini namun ianya tidak terlalu ketara. Ianya berkembang melalui aktiviti perdagangan dan juga mencari sumber Emas akibat sekatan bekalan oleh Maharaja Rom, iaitu Vespasian (69-79 Masihi). Ketika itu, orang-orang India menggelarkan rantau ini sebagai Suwarnabhumi (bumi emas) dan Suwarnadvipa  (semenanjung emas). Bumi emas itu merujuk kepada kepulauan Sumatera dan Semenanjung Emas merujuk kepada Semenanjung Tanah Melayu.  Aktiviti ini dijalankan oleh orang-orang India dari kasta Visya (pedagang).

Melalui hipotesis Kastria pula, pengaruh india itu berkembang melalui peperangan dan juga penaklukan oleh kerabat-kerabat raja India yang kalah perang di India. Mereka ini dikatakan belayar keluar dari India dan akhirnya merampas takhta kerajaan di Nusantara melalui peperangan. Selain itu, hipotesis ini juga menyatakan bahawa orang-orang di Nusantara ini masih primitif dan menerima apa saja kebudayaan yang lebih maju dari penduduk asal disini. Ianya turut menjelaskan bahawa, ramai putera-putera raja yang tidak memperoleh takhta telah bertindak keluar dari India untuk membina kerajaan sendiri. Ketika ini agama yang disebarkan adalah agama Budha.

Hipotesis Brahmin pula telah muncul selepas perang Dunia kedua apabila sarjana sejarah mengutarakan bahawa proses Pengindiaan ketika Zaman Gupta telah mewujudkan satu upacara yang dikenali sebagai wratyastoma bagi memulihkan kasta seseorang itu setelah melanggar patang larang. Sebenarnya Brahmin ini adalah kasta paling tinggi dalam susun lapis masyarakat India dengan kaum Brahmin ini dianggap sebagai Tuhan. Namun mereka masih datang ke Asia Tenggara untuk menjadi penasihat (purohita) kepada golongan pemerintah dan sekembalinya ke India mereka menjalankan upacara ini bagi mengangkat semula kasta mereka.

Tiga hipotesis ini sebenarnya merangkumi tiga fasa masa yang berbeza namun ianya cukup untuk jelaskan bahawa di Nusantara ini pengaruh India kuat bertapak hinggalah datangnya Islam ke rantau ini. Hal ini akan disambung dalam entri berikutnya.

Terima kasih, kerana mengikuti  blog Admin Pasir Mas (APM).

Hipotesis Brahmin

Lambang Om salah satu falsafah dalam agama Hindu

Pendahuluan:

Proses perkembangan pembudayaan India di Nusantara telah dijelaskan pada posting sebelum ini iaitu ianya terdapat 3 hipotesis iaitu Visya, Kastria dan yang akan dijelaskan ini iaitu Brahmin.

Hipotesis Visya telah dijelaskan bahawa ianya berlaku ekoran perkembangan aktiviti perdagangan antara rantau ini dengan India yang digerakkan oleh orang dari kasta Visya. Hipotesis Kastria pula adalah melalui proses peperangan dan penjajahan yang dilakukan oleh orang dari Kasta Kastria.

Jadi, bagaimana pula dengan Hipotesis Brahmin ini?

Mengikut hipotesis ini kebudayaan India telah disebarkan oleh golongan kasta tertinggi dalam susun lapis peringkat tertinggi dalam masyarakat India iaitu kasta Brahmin. Mereka ini dikatakan telah belayar bersama golongan Visya ke timur. Sebagai contoh, penubuhan KERAJAAN FUNAN membuktikan penglibatan golongan Brahmin di Asia Tenggara, hal ini dapat dilihat apabila KAUNDINYA seorang Brahmin telah datang ke FUNAN bersama-sama dengan pedagang (Visya) dan berkahwin dengan puteri tempatan. Beliau kemudiannya telah ditabal menjadi raja negeri itu dan dengan itu perkara ini telah menyatakan pengaruh India di rantau ini.

Namun, hipotesis ini mempunyai kelemahan dan beberapa persoalan telah diutarakan berkenaan hipotesis iaitu:
1) Kenapakah Brahmin ini mahu meninggalkan India sedangkan dengan berbuat demikian mereka akan hilang martabat yang tinggi itu?

2) Brahmin bukan mubaligh dan agama Hindu bukan bersifat universal kerana seseorang itu akan dianggap sebagai seorang Hindu apabila dia dilahirkan dalam keluarga Hindu.

3) Berkahwin dengan penduduk tempatan merupakan pantang larang bagi golongan Brahmin kerana orang asing dianggap tidak bersih.

Bagaimanapun, dalam satu laporan Cina tentang Tun-sun di utara Segenting Kra pada abad ke-5 masihi ada menyatakan bahawa terdapat lebih daripada 1000 orang Brahmin berada disana. Penduduk Tun-sun dikatakan mengikut agama mereka dan ramai antara mereka itu (Brahmin) mengahwini wanita-wanita tempatan dan kebanyakkan mereka telah menetap di Tun-sun.

Teori-Teori lain

Bosch menyatakan bahawa pengembangan kebudayaan India dimulakan oleh mubaligh agama Budha kerana sekitar abad ke-2 SM, ramai mubaligh Budha telah dihantar keserata dunia oleh Asoka, pemerintah kerajaan Mauraya (330 - 180 Masihi). Bosch menjelaskan, antara mubaligh ini telah sampai ke Asia Tenggara dan menyebarkan agama itu dirantau ini dan mereka tidak hanya berdakwah kepada orang biasa tetapi mereka juga memasuki istana-istana raja dan memujuk mereka supaya memeluk agama Budha. Pendeta-pendeta Budha ini telah mengajar pihak istana tentang kita-kita agama Budha yang tertulis dalam bahasa Sanskrit. Setelah ramai penduduk rantau ini memeluk agama Budha, ada antara mereka telah ke India untuk melanjutkan pelajaran dalam agama ini, kemudiaannya mereka inilah menyebarluaskan unsur-unsur India dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara.

Selepas Perang Dunia kedua, telah muncul satu hipotesis baru yang menyatakan penduduk Asia Tenggara itu sendiri yang memainkan peranan dalam proses pengindiaan di rantau ini. Orang Asia Tenggara, khususnya Bangsa Melayu Melayu merupakan pelaut yang handal mereka dikatakan telah lama menguasai perdagangan di antara India - Asia Tenggara - China. Sehingga abad ke-6 Masihi, jarang ada pelayaran terus dari India ke China dan sebaliknya. Para pedagang dari dua tamadun ini menjadikan pelabuhan di Asia Tenggara terutama di Segenting Kra sebagai hub perdagangan mereka. Barang-barang mereka akan dimuatkan dalam kapal tempatan untuk dihantar ke China atau India. Sebahagian kapal-kapal ini dimiliki oleh raja, oleh kerana itu apa yang berlaku di India diketahui oleh raja.

Sekitar abad pertama masihi, berlaku perubahan drastik dalam aspek kepercayaan di India. Agama Brahmin (Hindu) yang telah pudar pada zaman Mauraya telah bangkit pada masa Gupta. Pada abad ke-4 masihi, berlaku perubahan kepercayaan di India Selatan, di mana pihak Brahmin telah dapat mempengaruhi pemerintah Pallawa untuk menukar agama mereka dari Budha kepada Hindu terutama Mazhab Siva. Dalam agama Brahmin yang baru ini kedudukan raja-raja dimuliakan.

Agama Budha yang bersifat universal dan tidak mementingkan kasta dan darjat itu tidak begitu diminati oleh raja-raja di Asia Tenggara walaupun ianya popular di kalangan rakyat. Sebagai langkah mengkuduskan kedudukan raja-raja ini, para Brahmin telah dijemput oleh raja-raja ini. Lantas, satu persoalan telah timbul sama dalam beberapa posting sebelum ini.... Kenapa para Brahmin ini mahu datang ke Asia Tenggara?

Para Brahmin yang datang ke Asia Tenggara ini pada masa itu bukanlah Brahmin asal yang merupakan orang Aria. Mereka adalah orang Dravadia yang telah dibrahmikan melalui upacara wratyastoma sebagai usaha golongan Brahmin untuk menambah bilangan pengikut agama Hindu setelah muncul agama-agama penentang seperti Bhagavataisme, Budhisme dan Jainisme.

Upacara ini juga boleh digunakan untuk memulihkan kasta seseorang itu kerana telah melanggar pantang larangnya. Upacara sama yang digunakan oleh para Brahmin yang dijemput itu untuk mengembalikannya ke kasta asal mereka setelah menyeberang lautan dan menghindukan masyarakat tempatan yang bukan Hindu, terutama golongan pemerintah. Justeru itu, apabila dijemput oleh pemerintah tempatan Asia Tenggara untuk datang menjadi purohita (penasihat) dan para Brahmin Draridia ini sanggup menerimanya. Dan  dengan cara beginilah budaya India telah berkembang dengan pesatnya di Istana raja-raja tempatan di sini.

Catatan APM:


Artikel ini membicarakan tentang hipotesis-hipotesis utama yang menjadi rujukan oleh para pengkaji tentang pengembangan Budaya India di Asia Tenggara antaranya Hipotesis Visya, Hipotesis Kastrya dan Hipotesis Brahmin. 3 hipotesis ini menemukan satu persoalan utama Kenapa golongan Brahmin mahu datang ke Asia Tenggara? 

Jawapannya : Mereka ini datang dalam pelbagai fasa berdasarkan kepada 3 teori ini dan proses pengembangan budaya India ini lebih memuncak ketika perkembangan agama Budha semasa zaman Mauraya dan ianya luntur semasa zaman Gupta dengan wujudnya upacara wratyastoma di mana golongan Brahmin boleh memulihkan semula kasta mereka setelah melanggar pantang larang. Namun, agama Budha tetap menjadi pilihan masyarakat di Asia Tenggara waktu itu.

Faktor kelumpuhan Empayar Mauraya juga menyebabkan pusat agama Budha berpindah dari India ke Indo China.

Sent from my iPad

Thursday, June 20, 2013

Hipotesis Kastria

Gambar Hiasan : Gambaran tentang peperangan dikalangan wira-wira India Purba

Pedahuluan

Kita sudah membincangkan tentang Hipotesis Visya yang dikemukakan oleh N.J. Krom dan G.Coedes yang pada posting sebelum ini. Ringkasnya Hipotesis Visya ini menjelaskan bahawa pembudayaan India telah dibawa oleh orang India dari Kasta Visya. Dalam hipotesis ini, Krom menjelaskan orang Visya ini datang untuk berdagang dan kemudiannya berkahwin dengan wanita tempatan dan bermastautin di rantau ini, kemudiannya mereka telah menjemput pendeta-pendeta Hindu dari India untuk melengkap pelajaran anak-anak mereka. Walaupun begitu, teori Visya oleh Krom ini telah dipersoalkan oleh Coedes dan beliau telah menyatakan bahawa orang Visya ini datang ke Nusantara kerana mencari Emas melalui aktiviti perdagangan. Coedes juga menyatakan bahawa pendeta yang berjaya mempengaruhi raja di Nusantara itu bukan pendeta Hindu tetapi pendeta Budha. Ini kerana fahaman Brahminisme tidak membenarkan mereka bercampur dengan orang asing dan juga menyeberangi "air hitam" dan ianya berlainan dengan Budha.     

Hipotesis Kastria

Kini mari kita lihat tentang satu lagi Hipotesis pembudayaan India iaitu Hipotesis kastria. Ianya diperkenalkan oleh C.C Berg dan mendapat sokongan sebahagian besar dari anggota Greater India Society serta seorang sarjana Belanda, Moens. Hipotesis ini dikatakan bahawa Budaya India ini telah disebarkan ke Asia Tenggara ini melalui kegiatan pahlawan atau anak raja India iaitu dari golongan kasta Kastria. Mereka dikatakan telah keluar dari India untuk mencari tanah-tanah jajahan baru kerana perebutan kuasa dalam negeri atau sebagai pelarian politik.


Mengikut adat yang biasa diamalkan di India, hanya putera sulung yang berhak keatas takhta setelah kematian bapanya. Justeru itu, putera-putera yang lain akan keluar mengembara mencari tanah jajahan mereka sendiri. Ada juga antara mereka yang terpaksa meninggalkan negara mereka sendiri akibat kalah perang. Mereka bersama-sama pengikut telah belayar ke rantau ini dan ada antara mereka telah menjadi lanun. Di kawasan ini dikatakan mereka telah dapat mengalahkan pembesar-pembesar tempatan dan menguasai negeri mereka. Putera-putera ini kemudiannya telah mengahwini wanita-wanita tempatan dan mendirikan kerajaan-kerajaan yang bercorak Hindu. Hipotesis ini mengandaikan bahawa penduduk di kawasan Asia Tenggara pada masa itu masih gasar (barbarian).

Teori sebenarnya lemah untuk diketengahkan dan ianya telah ditentang hebat oleh F.D.K. Bosch yang mengatakan seandainya ada seseorang raja atau pahlawan India yang menakluki wilayah-wilayah di rantau ini sudah tentu mereka atau keturunan mereka akan mencatatkan kejayaan-kejayaan mereka pada prasasti atau sebagainya. Prasasti atau catatan seumpamanya tidak pernah ditemui di Asia Tenggara.

Juga tidak terdapat tanda-tanda kacukan bangsa Melayu-Dravidia dalam kalangan penduduk Jawa atau Bali yang didakwa oleh penyokong teori ini sebagai tempat putera-putera raja itu menubuhkan kerajaan mereka. Begitu juga dengan bahasa, istilah dan perkataan-perkataan India yang terdapat dalam bahasa Melayu adalah perkataan-perkataan Sanskrit tulen, bukan bahasa orang Dravidia. Berdasarkan pendapat kumpulan yang mengetengahkan hipotesis ini, mereka mengatakan putera dan pahlawan India itu datang dari Selatan India, iaitu daripada kalangan bangsa Dravidia.

Selain itu, Ahmad Jelani Helmi dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu juga mempersoalkan tentang teori ini dengan menyatakan sekiranya terdapat koloni India di sini, kenapa tidak wujud susun lapis masyarakat seperti yang terdapat di India di sini. Walaupun mengikut teorinya memang wujud kasta-kasta tertentu di sini, akan tetapi pada praktiknya sistem ini tidak diamalkan langsung di Asia Tenggara. Golongan Brahmin di sini hanya merupakan purohita (penasihat) raja. Kedudukan raja dianggap lebih mulia daripada Brahmin kerana raja merupakan titisan para dewa.

Selain daripada itu, Ahmad Jelani juga menyatakan bahawa senibina candi dan istana di Asia Tenggara berbeza sama sekali daripada bangunan-bangunan sama yang terdapat di India. Binaan Angkor Wat dan Candi Borobudur contohnya tidak sama dengan binaan candi Hindu dan Budha yang ada di India.

Bersambung : Hipotesis Brahmin



Sent from my iPad

Wednesday, June 19, 2013

Hipotesis perkembangan pengaruh India di Asia Tenggara



 
Patung Budha Dipankara (Penenang Gelombang)

 Pembuka Bicara

Terdapat 3 hipotesis utama tentang proses perkembangan pengaruh India dia Asia Tenggara ini, iaitu hipotesis Visya, Kastria dan Brahmin. Hipotesis Visya buat pertama kali dikemukakan oleh N.J. Krom dan disokong oleh G.Coedes dan beberapa sarjana lain. Krom menyatakan bahawa orang India yang mula-mula datang ke Asia Tenggara sebagai pedagang dan ada antara mereka telah berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap disini. Demi kepentingan anak-anak mereka, pendeta-pendeta Brahmin telah dijemput dari India untuk mengajar anak-anak mereka. Pendeta-pendeta ini kemudiannya dikatakan telah berjaya mempengaruhi pemimpin tempatan dan menyusun Pentadbiran mengikut sistem raja-raja India. Mereka juga dikatakan telah memperkenalkan undang-undang, adat istiadat DiRaja, kesusateraan dan kepercayaan India dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara.

Hipotesis Visya

Hipotesis ini dikemukakan oleh Krom dan ianya telah dikembangkan lagi oleh Coedes yang mengatakan bahawa orang India datang secara beramai-beramai ke rantau ini untuk mencari Emas. Namun Coedes mempersoalkan tentang kedatangan orang Brahmin yang dikatakan oleh Krom.

Coedes telah mengemukakan pendapatnya tentang perkembangan kebudayaan India di Asia Tenggara ini berlaku dari kesan perdagangan. Para pedagang India yang terdiri daripada kasta Visya merupakan pembawa budaya India ini dan dalam masa perhubungan mereka dengan penduduk tempatan telah menyebarkan budaya mereka itu.

Coedes menjelaskan bahawa EMAS menjadi faktor utama kedatangan beramai-ramai pedagang India ke rantau ini. Pada dua abad sebelum memasuki tahun Masihi, India telah hilang sumber emas dari Siberia kerana berlaku kekacauan di Asia Tengah yang telah menyekat jalan perdagangan emas itu. Hal ini telah membuatkan India terpaksa mengimport bekalan emas dari ROM pada abad pertama Masihi. Namun aktiviti ini telah mengancam kestabilan ekonomi Rom hingga menyebabkan Maharaja Vespasian (69-79 Masihi) terpaksa mengharamkan pengeksportan syiling emas itu. Perkara ini telah menyebabkan India sekali terpaksa mencari sumber lain untuk bekalan emas dan tumpuan mereka kali ini mereka mengalihkan perhatian mereka ke Suwarnabhumi (Bumi Emas) dan Suwarnadwipa (Pulau/Semenanjung) yang terdapat di Asia Tenggara. 

Begitulah kenyataan tentang hipotesis Visya. Ianya telah membuka jalan buat para pengkaji dalam merintis jalan mencari asal usul dan ianya juga telah menimbulkan beberapa persoalan, antaranya ialah: 

1) Bagaimanakah para pendeta yang terdiri daripada golongan Visya itu dapat menyebarkan agama Hindu dan Bahasa Sanskrit yang kompleks dan hanya difahami oleh golongan kasta atasan  iaitu Brahmin.

2) Bagaimanakah mungkin golongan Brahmin ini yang menganggap menyeberangi lautan atau "air hitam" dan berhubung dengan orang gasar asing  sebagai satu pencemaran.

Untuk soalan pertama, Krom telah menjelaskan bahawa para Brahmin itu telah dijemput oleh golongan Visya untuk menjadi guru kepada anak-anak mereka. Namun ini tidak menyelesaikan persoalan ini malah telah merumitkannya lagi. Kasta Brahmin ini merupakan kasta tertinggi dalam masyarakat Hindu dan mereka dilarang bercampur gaul dengan kasta-kasta rendah tetapi juga di luar kasta.

Soalan kedua ini juga telah dikemukakan Coedes dengan alasan untuk mewajarkan bahawa golongan Visyalah yang telah membawa budaya India ke Asia Tenggara dengan menyatakan bahawa bukan golongan Brahmin tetapi pendeta-pendeta Budha yang menyuburkan Budaya India ini.

Coedes mengatakan dengan tertubuhnya agama Budha sekitar abad ke 6 SM, ramai orang India yang telah memeluk agama ini dan dengan berbuat demikian membolehkan mereka menghapuskan halangan-halangan kasta dan kepercayaan tidak boleh bergaul dengan orang asing. Mengikut pandangan Coedes pendeta-pendeta Budha ialah golongan cendiakiawan yang mengikuti golongan Visya belayar ke Asia Tenggara dengan tujuan untuk menyebarkan agama Budha. Mereka ini jugalah yang menyebarkan budaya India dan bahasa Sanskrit yang kompleks itu kepada penduduk tempatan. Pada peringkat awal, ramai penduduk Asia Tenggara yang menyembah salah satu daripada dewa agama itu yang dikenali sebagai Budha Dipankara (Penenteram Gelombang) yang dianggap sebagai dewa pelindung pelaut-pelaut. Berhala-berhala dewa ini banyak ditemui di sekitar Semenanjung.

Dipankara sebenarnya salah seorang pendeta Budha yang pernah belayar ke Suwarnadwipa (Semenanjung Emas) untuk menuntut ilmu dari seorang pendeta Budha yang terkenal pada masa itu bernama Chandrakirti. Nama sebenarnya ialah Dipankara Sri Jnana atau Atisa. Beliau telah menuntut di Suwarnadwipa selama 12 tahun dan menjadi seorang pendeta yang terkenal. Beliau telah dijemput oleh pemerintah Tibet dan dijadikan ketua agama Budha Tibet dengan gelaran Supreme Lord (Tuhan yang agung). Di kalangan pelaut-pelaut beliau diingati sebagai seorang pendeta yang dapat mententeramkan laut yang bergelora dan akhirnya beliau disembah sebagai Dewa Penaung Pelaut.

Teori Visya yang dikemukakan Krom dan Coedes ini menggambarkan bahawa penyebaran Budaya India berlaku dalam keadaan aman dan beransur-ansur melalui perdagangan dengan golongan elit tempatan. Oleh kerana itu, didapati unsur-unsur Budaya India kebanyakkan terdapat di istana-istana pemerintah.

Bersambung : Hipotesis Kastria

Monday, June 17, 2013

Iktibar untuk Orang-Orang Muda


Artikel ini sewajarnya menjadi iktibar buat semua GenY (young generation) kerana kebanyakkan kita tidak ambil berat mengenai pentingnya Sejarah dalam kehidupan. Namun, kami yakin bahawa anda bukanlah tergolong dalam golongan yang buta sejarah.

Kerana blog ini memang khusus dalam kajian sejarah Bangsa Melayu yang menghuni rantau Nusantara. Para sarjana sejarah menggelarkan rantau ini sebagai Malay Archipelago yang bermaksud Kepulauan Melayu dan ianya merangkumi Kepulauan Indonesia, Semenanjung, Kalimantan dan Filipina.

Sebenarnya, apabila kita berbicara tentang Bangsa Melayu, ianya bukan sahaja merujuk kepada Bangsa Melayu yang menjadi penduduk teras di Malaysia, tetapi ianya merangkumi semua penduduk di Malay Archipelago itu. 

Kerana sejarah telah membuktikan bahawa Nusantara ini sering berada di bawah satu negara sama ada di bawah kekuasaan Champa, Sriwijaya, Majapahit ataupun Melaka dan penduduknya tetap di bawah satu bumbung dan sering berhubungan tanpa halangan walaupun bertukar kerajaan.

Disinilah pentingnya kita mengetahui sejarah silam ini, dan kami akan menghuraikan satu-satu persatu kerajaan Melayu Nusantara yang hilang ditelan zaman. 

Sunday, June 16, 2013

PENYEBARAN PENGARUH INDIA DI ASIA TENGGARA

Pertembungan 2 Budaya 

Hubungan Asia Tenggara dengan India telah lama terjalin dan ada yang mendakwa telah bermula semenjak 1000 SM. Perhubungan ini dilakukan oleh para pedagang dan pelaut yang keluar mencari barangan istimewa serta juga menjual barangan buatan negeri mereka. Pada peringkat awal, pengkaji sejarah mengetengahkan bahawa perhubungan itu dilakukan terlebih dahulu oleh orang India. Orang Asia Tenggara ini dianggap sebagai penerima yang pasif sahaja. Bagaimanapun, kajian terkini menemukan bukti bahawa pelaut-pelaut Melayu dari kawasan Asia Tenggara terlebih dahulu menggunakan kapal layar daripada pelaut-pelaut India. Dikatakan bahawa orang Melayu merupakan ahli-ahli pelayaran yang sangat handal dan mereka dikatakan telah pun sampai ke pelabuhan-pelabuhan di India dan Sri Lanka sejak Zaman Neolitik lagi.

Proses pengembangan pengaruh India bukanlah berkembang disebelah pihak sahaja iaitu dijalankan oleh orang India sahaja tapi juga dijalankan oleh orang Asia Tenggara. Mereka telah sampai di India dan menyaksikan tentang perkembangan tamadun yang lebih tinggi dan telah membawa pula serta menyebarkan  beberapa ciri tamadun India ke Asia Tenggara.

Ciri utama yang ditiru adalah dalam bidang-bidang:

·         Kepercayaan
Khususnya agama Budha dan Hinduisme (Brahman)

·         Bahasa
Banyak perkataan Sanskrit yang telah dipinjam oleh bahasa-bahasa tempatan seperti bahasa Melayu, Thai dan Khmer

  • Huruf India
Tulisan pertama yang digunakan oleh orang Asia Tenggara adalah tulisan Pallawa yang berasal dari India Selatan. Di Jawa, tulisan ini kemudiaanya telah diubahsuai menjadi tulisan kawi.

·         Kesenian
Corak-coran kesenian India tidak ditiru oleh penduduk tempatan yang memang kaya dengan keseniannya sendiri, akan tetapi motif kesenian India terutama tentang ketuhanan adalah berasal dari India.

·         Pentadbiran
Banyak teori dan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan serta gelaran raja dan pegawai ditiru dari India

·         Kesusasteraan

Banyak epik utama India yang telah diterjemahkan atau disadur ke dalam bahasa tempatan Asia Tenggara terutama epik Ramayana, Mahabharata dan Jataka.

Sungguhpun penduduk Asia Tenggara waktu menerima unsur-unsur baru yang lebih bertamadun tinggi, mereka tidaklah menolak terus kebudayaan mereka yang asal dan ini di ertikan sebagai local genius.

Local Genius atau kepandaian menyusun suai unsur baru kedalam kebudayaan sendiri adalah kemahiran orang-orang Melayu waktu itu. Menyoroti perkembangan pengaruh India  di Asia Tenggara, penduduk di rantau ini telah menapis kebudayaan dari India dan menyusun suai dengan kebudayaan asal serta kehendak masyarakat pada waktu itu. Teori yang menyatakan bahawa penduduk di Asia Tenggara ini berlaku pertembungan kebudayaan dan kebudayaan India telah diterima sepenuhnya ditolak sama sekali kerana penduduk di rantau ini hanya mengambil aspek yang sesuai dan relevan pada ketika itu. Pengaruh India ini mula meresap ke dalam budaya tempatan Asia Tenggara sekitar abad ke-2 Masihi walaupun perhubungan perdagangan antara rantau ini telah bermula semenjak Zaman Pra Sejarah lagi.

1926, sebuah persatuan yang dikenali sebagai Greater India Society  telah ditubuhkan. Persatuan ini menghimpunkan para intelek India. Mereka mengkaji hubungan diantara Benua Kecil India dengan kawasan Asia Tenggara. Sarjana-sarjana India ini mengandaikan bahawa kawasan Asia Tenggara ini adalah sebahagian daripada India atau jajahan takluk India pada satu masa yang lampau. Mereka juga mengandaikan bahawa ketika orang India sampai di rantau ini penduduk disini tidak bertamadun atau mempunyai tamadun yang rendah sehingga sanggup menerima apa sahaja budaya yang di bawa oleh orang India itu. Justeru itu, pada andaian mereka semua hasil budaya yang agung yang ditemui di sini adalah hasil ciptaan orang India termasuklah candi, biara, patung-patung dan sebagainya. Sarjana-sarjan India seperti R.C Majumdar, Mookerji, dan P.C Bagchi sering menggambarkan bahawa kawasan Asia Tenggara ini merupakan kawasan berkelana bagi anak-anak raja India untuk mencari kegemilangan dan kemasyhuran atau “fame” dan kekayaan. Merekalah yang dikatakan telah menubuhkan negeri-negeri awal di sini. Andaian-andaian mereka inilah telah menimbulkan Hipotesis Kastria, yang merupakan salah satu hipotesis tentang proses Pengindiaan di rantau ini.

Terdapat 3 hipotesis utama dalam proses pengindiaan di rantau ini iaitu Hipotesis Visya, Hipotesis Kastria dan Hipotesis Brahmin. Hipotesis ini akan dibincangkan dalam posting berikutnya dengan tajuk:


BUDAYA INDIA DI ALAM MELAYU DALAM KACA MATA SARJANA SEJARAH 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...